Selamat Hari Lahir, Puteri Ayah.

Terasa cepat sungguh masa berlalu. Dari seorang bayi kecil yang comel, dirimu sudah membesar menjadi kesayangan ayah dan ibu dan semua ahli keluarga.

Masih ayah ingat saat kelahiran dirimu, ayah tiada di sisi kerana berada nun jauh di seberang Laut China Selatan, Sarawak. Pada minggu sebelumnya, ayah menghantar ibumu ke Semenanjung untuk persediaan menyambut kelahiranmu bersama atuk dan nenek.

Jika mengikut perkiraan doktor, tarikh dirimu dijangka untuk lahir ialah jatuh 31 Ogos 2010 bersamaan tarikh kemerdekaan negara. Tetapi, mungkin dirimu yang sudah tidak sabar mahu menjengah dunia, di waktu hening Subuh, ayah yang masih terpisat-pisat di atas katil menerima panggilan telefon ibumu mengadu sedang menahan kesakitan ingin bersalin. Ayah terpinga keseorangan di dalam bilik. Tika sedar terus mengemas apa yang ada untuk bersedia ke lapangan terbang pagi itu. Belum sempat pagi menjengah dengan terang, nenekmu menelefon dari Hospital Sg.Buloh memberitahu dirimu sudah selamat dilahirkan detik 7.59 pagi, 21 Ogos 2010 bersamaan 11 Ramadan 1431H (Peristiwa sempat dicoretkan di sini). Hati ayah mana yang tidak gembira dengan berita ini, lebih-lebih lagi dirimu adalah kelahiran cahaya mata sulung ayah dan ibu. Ayah lantas sujud syukur dengan linangan air mata kegembiraan.

Setibanya di Hospital Sg. Buloh ditemani nenek, ayah melihat ibumu yang masih keletihan selepas menanggung kesakitan. Tetapi dari riak wajahnya, ibumu kelihatan tenang dan gembira dengan kelahiranmu dan kehadiran ayah di sisi. Terima kasih kepada Atuk Rosdi yang mengazankan dan mengiqamatkan kedua-dua belah pendengaranmu dengan permulaan kalimah Allah swt.

Puteri ayah

Semenjak kehadiran dirimu, kehidupan ayah dan ibu seakan lengkap dengan penuh kesyukuran. Dari teletahmu yang menggeletekkan. Dari tangisanmu yang dirindui. Dari kenakalan dan kebijakanmu, ia amat menghiburkan ayah dan ibu sepanjang membesarkanmu. Nyata sekali, membesarkanmu tidak menghadapi sebarang masalah. Seorang bayi yang kuat. Tidak kuat menangis.

Wahai puteri ayah dan ibu,

Sesungguhnya sepanjang dirimu dibesarkan, pelbagai ujian dan dugaan yang ibu dan ayah hadapi. Terpahat pada ingatan dan jiwa adalah bagaimana ayah dan ibu diuji dengan gangguan makhluk halus ke atas dirimu yang amat menguji tetapi dalam masa yang sama menyedarkan dan memuhasabahkan ayah dan ibu. Maafkan kealpaan ayah dan ibu.

Dari peristiwa itu, ia mengajar dan mencelikkan mata dan jiwa ayah untuk ingat tentang kesegeraan menunaikan hak Allah swt. Alhamdulilah, mulai saat itu, ayah turut merakamkan kesyukuran kerana Allah swt menurunkan musibah sedemikian untuk menegur lebih awal. Ia satu pengalaman dan pengajaran yang cukup menyedarkan.

Tidak cukup peristiwa itu, ketika usiamu masuk 3 tahun, sekali lagi ayah dan ibu diuji dengan penyakit ekzema yang dihadapi dirimu dari saat itu sehingga kini. Bayangkan bagaimana ayah dan ibu bergolok gadai mencari ikhtiar untuk menyembuhkanmu. Dalam masa yang sama suara-suara tipis yang tidak enak dengan tindakan ibu dan ayah betul-betul menguji. Ada masanya, ayah dan ibu bersengketa hanya kerana menegakkan kebenaran rawatan yang betul buat dirimu.

Mana tidaknya, luluh hati ayah melihat keadaanmu yang kesakitan setiap kali ayah memandikan dirimu. Setiap pagi dan petang, ayah melawan rasa mendengar esakan dan raungan tangisanmu yang kepedihan menanggung sakit akibat ekzemamu. Hati ayah benar-benar luluh, wahai anak. Tika kesunyian di akhir malam, ayah kekadang menitis air mata akan dosa ayah menyakiti dirimu yang masih kecil. Masih belum mengerti hakikat kehidupan sepenuhnya. Pernah satu ketika, ayah hampir berputus asa kerana terasa penatnya menguruskan dirimu seorang anak penghidap ekzema.

Namun, Allah swt Maha Penyayang. Allah itu Maha Mengetahui. Ayah dipertemukan dengan bingkisan-bingkisan hadis dan mutiara kata ulama akan hebatnya sifat sabar dan tentang hikmah di sebalik musibah.

Menurut mereka, semuanya adalah ujian Allah swt. Bukan Allah swt bertindak zalim tetapi hakikat yang sebenar adalah sebarang musibah yang Allah turunkan pada hamba-Nya adalah satu lambang atau cara bagaimana kecintaan Allah pada hamba-Nya. Dengan cara sedemikian, Allah swt merindui hamba-Nya untuk merintih dan menyebut nama-nama Allah dalam doa. Itulah motivasi buat ayah. Itulah sumber kekuatan ayah. Itulah yang menjadi azam kepada ayah untuk lebih dekat kepada-Nya dalam membesarkanmu.

Alhamdulilah, begitu banyak kenangan yang kita cipta bersama-sama. Kita ketawa bersama. Kita bermain bersama. Menyanyi bersama menghiburkan hati. Berzikir sama mengingat Ilahi sambil menonton Indahnya Iman, Astro Oasis. Sekarang, usiamu sudah mencapai umur 5 tahun. Banyak kelebihan padamu, wahai puteri ayah. Anak yang pintar, anak yang cantik, anak yang sentiasa menghiburkan, anak yang sentiasa  ingatkan ayah dengan Allah swt, anak yang sentiasa bersemangat, anak yang riang, anak yang menceriakan dan banyak lagi yang ayah tidak sempat titipkan.

5 tahunFoto ehsan : Daripada guru Tadika

Semoga dirimu terus membesar, puteri ayah. Menjadi kebanggaan ayah dan ibu. Menjadi kebanggaan buat ummah. Tiada yang lain ayah dan ibu harapkan, selain dirimu menjadi qudwah hasanah buat adik-adik. Berjaya dunia dan akhirat. Menjadi anak yang solehah menyejukkan hati ayah dan ibu. Yang paling utama, dirimu menjadi anak yang mendoakan ayah dan ibu bila tiba masanya, jasad ayah dan ibu sudah tiada lagi di muka bumi nanti..

Selamat hari lahir ke-5, N.A.

Ayahmu.

Konsep Matematik bagaimana 1-1 = 20-700 ???

Salam Ramadan dan Salam Hujung minggu.

Alhamdulilah. Pagi ini, cuaca di tempat saya sangat cerah. Terang dek sinar matahari yang baru terbit. Syukur, hari ini kita sudah masuk hari yang ke-3 berpuasa di bulan Ramadan. Sama-sama kita doakan agar diberi kekuatan dalam beramal soleh demi merebut kebesaran ganjaran yang dijanjikan oleh Allah swt.

Jom sedekah..

(Sumber foto : akuislam.com)

Selari dengan bulan Ramadan ini, salah satu antara amalan mulia yang dianjurkan adalah bersedekah. Menurut Dr.Zaharuddin Abdul Rahman dalam bukunya, Sedekah Luar biasa, sedekah boleh dimaksudkan sebagai mengeluarkan harta di jalan Allah. Ia menjadi bukti kejujuran atau kebenaran iman seseorang. Tambahan lagi, sedekah juga bermaksud mengeluarkan harta yang tidak wajib di jalan Allah. Misalnya bantuan yang bukan kebendaan atau ibadah-ibadah fizikal bukan kebendaan seperti menolong orang lain dengan tenaga dan pemikirannya, mengajarkan ilmu, bertasbih dan berzikir. Maka, apa yang dapat disimpulkan adalah sedekah merupakan satu perbuatan mulia untuk membantu orang lain demi mendapatkan ganjaran di akhirat.

Teringat kepada pesanan Ustaz Dato’ Ismail Kamus bagaimana beliau menjelaskan bahawa

Harta yang dimiliki di dalam poket adalah bukan milik kita sepenuhnya. Boleh jadi ia menjadi milik pomen, peniaga atau sesiapa sahaja. Tetapi harta yang yakin penuh menjadi milik kita, adalah harta yang kita sedekahkan.

Apabila di akhirat nanti, kita akan ditanya oleh Allah swt bagaimana dibelanjakan nikmat harta yang kita miliki secara pinjaman oleh Allah swt. Sudah pasti harta yang disedekahkan itu pada suatu masa dulu adalah bukti bekalan kita untuk menuju ke syurga Allah swt. Allahu Rabbi.

Buktinya melalui sabda Rasulullah saw ;

Sesungguhnya dunia ini hanya untuk empat golongan iaitu hamba yang dikurniakan oleh Allah harta dan ilmu lalu dia bertakwa kepada Allah dengan kedua-duanya serta menyambung silaturahim. Dia juga mengetahui atau menyedari bahawa dalam harta dan ilmunya ada hak Allah swt. Maka inilah martabat paling baik di sisi Allah swt.

Marilah kita bermuhasabah diri agar sentiasa menjadi seorang yang suka memberi atau “tangan yang berada di atas” bermula pada bulan mulia ini dan diteruskan pada bulan-bulan yang seterusnya. Sememangnya Matematik Allah swt tidak sama dengan Matematik insan bergelar manusia. Bagi manusia yang menghambakan dunia, istilah 1-1 = 0. Tetapi bagi mukmin yang yakin dengan Matematik Allah iaitu 1-1 = 10….bahkan sehingga 700 jawapannya. Subhanallah. Sesungguhnya sungguh satu kepercayaan dan keyakinan yang tinggi dalam mengamalkan sedekah untuk kehidupan dunia dan ganjarannya boleh didapati dunia dan akhirat sekaligus.

Firman Allah swt ;

Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan gandaan yang sangat banyak? (Surah al-Baqarah 2:245)

Bila jari memilih…

Assalamualaikum wbt,

Pertama sekali, alhamdulilah. Segala puji-pujian buat Allah swt. Atas nikmat-Nya dan keagungan-Nya, manusia dicipta bagi memimpin atau lebih tepat, dijadikan khalifah Allah swt untuk memakmurkan bumi yang serba indah dengan kenikmatannya tersendiri.

Dalam kekacauan minda dan isi jiwa kita pada hari ini dengan peristiwa gempa bumi yang melanda Sabah pagi tadi serta ‘peristiwa’ kehangatan dunia politik tempatan yang semakin menggila dan memalukan, mari kita memuhasabahkan diri agar merebut peluang di salah satu bulan mulia ini dalam mengerjakan amar makruf nahi mungkar.

Kali ini saya ingin berkongsi berkenaan Teknologi. Menurut dictionary.com, teknologi dieertikan sebagai the application of this knowledge for practical ends. Kehadiran teknologi dalam kehidupan manusia telah banyak mengubah banyak perspektif dunia. Seolah-olah sekarang manusia amat bergantung kepada apa sahaja yang berkaitan dengan benda ini. Dari bidang perindustrian, perubatan, pendidikan malahan pelbagai bidang lagi. Maka, ini adalah perkembangan yang sangat membantu dalam memudahkan urusan kehidupan manusia. Namun, perlu diingati bahwa setiap ciptaan manusia ada kelebihan dan kelemahannya. Dengan kemajuan teknologi juga, ia boleh menjadi bencana melalui penggunaan yang salah.

Tetapi hari ini, saya ingin mengupas konteks positif berkaitan teknologi.

Kini, masyarakat di Malaysia amnya sudah semakin peka dan berusaha untuk mendekati ajaran agama Islam. Buktinya, semenjak tsunami politik tahun 2008, di Selangor misalnya telah menampakkan usaha yang sangat memberangsangkan dalam mengimarahkan dan memakmurkan surau dan masjid. Hebatnya kuliah agama dijalankan setiap hari dengan mengupas pelbagai bidang seperti hadis, fiqh, ibadah, mualamat dan banyak lagi. Betapa berkahnya bumi Selangor. Bahkan perkembangan ini bukan sahaja berlaku dalam negara, namun semenjak peristiwa 11/9, di bumi Eropah dikhabarkan peningkatan bilangan non-muslim melafazkan kenikmatan Islam dengan mengucap kalimah syahadah.

Walau bagaimanapun, situasi ini amat berlainan dengan kawasan luar bandar yang sepi dengan program sebegini. Masjid dan surau sepi dengan jemaah yang sedikit. Sementara menunggu waktu solat, borak-borak kosong adalah antara menu yang menjadi perantara.

Maka, kaitkan semula dengan teknologi dengan situasi tadi, saya amat menyokong usaha sesetengah pihak membuat rakaman video mana-mana program keagamaan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang dan memuatnaik di halaman youtube.com. Bagi saya, betapa besar ganjaran pahala pihak ini dalam menyebarkan ilmu agama dengan pendekatan ini. Inilah maksud saya dengan sisi positif penggunaan teknologi. Dari hari ke hari, semakin banyak Subscriber yang wujud dalam melakukan kerja dakwah ini. Antaranya yang anda boleh pilih dan lihat adalah ;

1. Zonkita Zonkuliah (ceramah agama sekitar utara semenanjung malaysia)

Zonkita Zonkuliah

2. Kuliah Lembah Klang

Kuliah Lembah Klang

3. Masjid Negeri Shah Alam

Masjid Negeri Shah Alam

4. Dokumentari Kuliah

Dokumentari Kuliah

5. PROmedia Tajdid

PROmedia Tajdid

6. MURSHIDtv

MURSHIDtv

Pautan-pautan di atas adalah sebahagian daripada pautan dengan fungsi yang sama. Sesungguhnya, pilihan kini di tangan individu masing-masing dalam menggunakan teknologi dengan betul. Insha Allah, atas inisiatif mereka ini, tidak ada alasan perlu difikirkan seandainya tiada dakwah disampaikan ke tempat tinggal masiing-masing.

Klik saja.

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar

Surah al-‘Asr (Ayat 1-3)