ULASAN FILEM : UMMI AMINAH

Dalam perjalanan balik menaiki pesawat MAS Boeing MH7482 dari Kuala Lumpur ke Sibu tempoh hari, buat pertama kalinya menaiki pesawat yang dilengkapi dengan mini televisyen di belakang tempat duduk penumpang. Seperti rusa masuk kampung, mencuba aplikasi yang ada padanya. Kagum kerana ia menghimpunkan pelbagai permainan khusus untuk kanak-kanak dan juga himpunan filem-filem terkini seluruh dunia. Setelah membuat pemilihan dan penilaian melalui sinopsisnya saya memilih untuk menonton filem Indonesia ‘Ummi Aminah’. Dengan durasi tayangan selama 2 jam membuatkan saya pasti filemnya tamat setibanya di lapangan terbang Sibu,

Filem arahan Aditya Gumay ini mengisahkan tentang seorang ustazah, Ummi Aminah (Nani Wijaya) yang menerima sambutan yang sangat hangat daripada kalangan pendengar khususnya para wanita setiap kali mengadakan ceramah agamanya di sekitar wilayah Jawa, Indonesia. Ummi memiliki 2 orang anak daripada hasil bekas suaminya (perkahwinan gagal) dan 5 orang anak bersama suami baharunya yang dilakonkan Rasyid Karim. Filemnya bermula dengan babak-babak pengenalan kepada karakter dan latar belakang ahli keluarga Ummi Aminah setiap seorang sehingga penonton dapat memahami kelangsungan dalam keluarga tersebut.

Setiap karakter khususnya anak-anak Ummi memainkan peranan penting dalam mengerakkan jalan cerita. Konflik yang timbul secara pantas sehingga membuatkan penonton bermain emosi dengan cepat tanpa nafas. Bergerak seperti roller coaster  bermula daripada anak Ummi, Zarika seorang wanita yang mempunyai karier yang sukses telah bermain api apabila cuba menodai suami orang menimbulkan buah mulut orang ramai di laman sosial. Seterusnya, anak lelaki Ummi, Zainal yang bekerja sebagai pemandu peribadi ibunya menghadapi konflik dengan isterinya (Revalina S. Temat) yang inginkan kehidupan berdikari walaupun menghadapi masalah kewangan. Sehingga satu peringkat, Zainal ditangkap oleh pihak berkuasa kerana disabitkan kesalahan menjual narkotik. Tidak berhenti di situ, konflik terus berlaku apabila suami Ummi, Abah telah ditipu dalam urusan beli jual tanah yang melibatkan kerugian yang sangat besar. Semua kejadian ini telah membangkitkan klimaks dan memukul kencang kehidupan Ummi Aminah sehingga nekad berhenti sebagai penceramah.

Kesan daripada kejadian tersebut, ceramah Ummi yang dijadualkan menerima sambutan dingin daripada orang ramai dan ada juga dibatalkan pada saat-saat akhir. Namun, kreativiti pengarah filem memberikan keredaan dan ketenangan jiwa apabila Ummi Aminah menerima segala kejadian dengan redha dan kuat tanpa menyalahkan takdir daripada-Nya. Selepasnya, penonton disajikan dengan babak penyembuhan daripada setiap konflik pada pertengahan cerita. Maka, tamat sahaja filemnya apa yang mampu saya berikan adalah 4/5 bintang. Objektif filemnya yang jelas dan hala tuju cerita yang mudah untuk diikuti. Yang penting memberikan kesedaran kepada penonton tentang dugaan kehidupan. Mungkin babak yang dipaparkan juga secara tidak langsung dekat dengan kehidupan realiti masyarakat menjadikan kesan filem ini sangat mengesankan.

Buat produser filem di Malaysia, di manakah keupayaan anda untuk menghasilkan filem hebat seperti negara jiran kita, Indonesia? Memang benar, filem Indonesia lagi dekat dalam jiwa masyarakat Malaysia. Filem yang penuh inspirasi menyentuh hal kekeluargaan, sahabat dan perjuangan dalam kehidupan lebih bermakna daripada filem aksi ganas dan lucah yang menambahkan lagi kebejatan sosial dalam negara sekaligus menunjukkan kebanyakan produser filem tempatan lebih syok sendiri dalam menghasilkan karya mereka.

Julie and Julia : Adaptasi buku ke filem

Mungkin sedikit terlambat untuk saya menonton filem ini. Ada aura tersendiri yang dimiliki oleh filem arahan Nora Ephron yang diadaptasikan daripada sebuah buku yang bertajuk Julie & Julia. Buku tersebut ditulis melalui satu kisah yang sebenar dialami oleh penulisnya yakni Julie Powell.

Sesungguhnya, filem Barat tidak semuanya membawa kepada kerosakan minda dan tingkah laku. Ada filem mereka lebih baik daripada filem negara kita yang berfikiran sempit dan hanya mengandungi unsur keseronokan semata-mata tanpa mengandungi nilai-nilai yang murni untuk dihayati dan menyedarkan penonton. Tengoklah di pawagam sekarang di mana filem kita lebih menggalakkan masalah sosial yang kini sudah pun semakin meruncing.

Berbalik semula kepada filem Julie & Julia, ia mengisahkan berkenaan dua orang wanita yang hidup pada zaman yang berlainan tetapi mempunyai kesamaan dari segi kemampuan memasak. Julia Child yang hidup di Paris ketika tahun 50-an merupakan seorang perempuan yang ceria dan riang serta suka kepada makanan sehingga membuatkan Julia belajar untuk memasak masakan Perancis. Akhirnya, Julia telah berjaya dan menjadi chef bagi masakan negara Eiffel tersebut. Namun, Julia mempunyai satu impian untuk menerbitkan sebuah buku masakan dengan objektifnya ditujukan kepada wanita-wanita Amerika untuk memasak masakan Perancis. (kerana buku masakan Perancis langsung tidak mempunyai terjemahan bahasa Inggeris)

Berbanding dengan kehidupan Julie Powell pula, beliau merupakan seorang wanita yang berkerjaya di Lower Manhattan Development Corporation iaitu sebagai pelayan panggilan (call center).  Akibat tekanan yang dihadapi, maka Julie telah membuat keputusan untuk memperbaiki dan menceriakan dirinya dengan melaksanakan satu matlamat sebagai cabaran dirinya iaitu memasak kesemua masakan yang terdapat dalam buku masakan Julia Child yang bertajuk Mastering the Art of French Cooking terbitan pada tahun 1961 dan Julie akan memuatkan segala proses masakannya di dalam satu halaman blog miliknya. Julie membuat satu deadline bahawa dia akan memasak sebanyak 524 resipi dalam buku tersebut dalam masa satu tahun (365 hari).

Menariknya melalui kedua-dua watak ini adalah apabila kisah mereka mempunyai beberapa persamaan secara tidak langsung. Sepanjang Julia Child berusaha belajar masakan Perancis sebelum dia terkenal sebagai chef dan seterusnya berusaha untuk mencari penerbit bagi menerbitkan buku masakannya, Julie Powell pula berusaha untuk mencapai deadline yang telah ditetapkan olehnya. Kedua-dua situasi ini membuatkan mereka sentiasa menghadapi cabaran dan ianya perlu difahami oleh suami mereka. Di sini dapat dilihat bagaimana suami mereka memainkan tanggungjawab penting bagi memulihkan semangat isteri mereka dengan cuba memahami masalah yang dihadapi dan bersedia setiap masa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi walaupun pada suatu ketika Eric Powell (suami Julie) melarikan diri sekejap kerana pergaduhan kecil berlaku.

Daripada hanya keseronokan berblog, akhirnya blog Julie Powell mempunyai peminat tersendiri sehingga blognya menduduki tangga ke-3 di Amerika yang menghimpunkan paling ramai pengunjung. Ini telah menambahkan lagi semangat kepada Julie untuk terus melaksanakan objektif yang telah dibuatnya. Hanya berblog, akhirnya pelbagai pihak media massa datang mampir untuk mewawancara dan ingin menghasilkan sebuah buku berdasarkan blog yang dititipkan olehnya. Ini sedikit sebanyak membuka ruang kepada Julie untuk mencapai impiannya sebagai seorang penulis.

Dalam kehidupan Julia Child pula, setelah syarikat penerbitan Houghtan Mifflin menolak untuk menerbitkan buku masakannya, akhirnya terdapat sebuah syarikat menerima manuskrip dan sudi untuk menerbitkan buku masakan Julia’s selepas editor penerbitan tersebut mencuba salah satu resipi yang terkandung dalam manuskrip itu di rumah. Menarik.

Paling menggembirakan adalah pada babak akhirnya Julia Child menerima satu bungkusan pos yang sangat istimewa baginya.

Maka, melalui filem ini kita dapat melihat kepada keasyikan perfileman Barat mengadaptasikan sesebuah filem berdasarkan buku-buku samada fiksyen ataupun bukan fiksyen. Jika dilihat kepada filem ini, terdapat dua buku yang menjadi sumber utamanya iaitu buku masakan Mastering the Art of French Cooking dan buku Julie and Julia. Dan ia sekaligus menggalakkan dunia pembacaan di kalangan warga Barat kerana ia menunjukkan bukti bahawa melalui pembacaan pelbagai kemahiran dan faedah yang dapat diperolehi serta menjadi bukti bahawa membaca itu mempunyai keseronokan sebagaimana menonton filem juga.

Filem kita bagaimana?

Dalam kesibukan membaca, saya juga meminati menonton filem-filem yang memberikan beberapa kepelbagaian perspektif  dalam jiwa dan minda untuk difikirkan dan direnungkan.

Beberapa minggu yang lalu, saya telah menonton sebuah filem India yang bertajuk Taare Zameen Par, lakonan aktor terkenal Aamir Khan di bawah terbitan milik syarikat beliau sendiri. Saya begitu tertarik dengan filem tersebut yang menyampaikan tentang sebuah konsep disleksia.

Menurut Wikipedia, disleksia bukan merupakan satu penyakit tetapi ia merupakan satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira walaupun daya pemikiran mereka dalam keadaan normal.

Ketika bersekolah rendah dahulu, saya pernah berada sekelas bersama seorang rakan sekelas yang menghadapi masalah ini. Namun, pada masa itu saya tidak tahu menahu lagi apa yang berlaku sebenarnya. Dari tahun ke tahun si dia masih gagal menguasai ejaan dan mengenal abjad a-b-c-d… walaupun umur sudah pun menginjak 12 tahun (darjah 6). Seringkali dia dimarahi oleh guru pada ketika itu. Kini, saya tidak tahu bagaimanakah nasibnya kerana apabila ingin melangkah ke sekolah menengah, dia berhenti daripada persekolahan.

Berbalik kepada filem tadi, saya berasa terhibur dan tersentuh apabila melihat babak-babak yang meruntun jiwa bagaimana seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Ishaan sering dimarahi dan dihukum oleh guru, tertekan dengan kehendak orang tua yang hanya mementingkan akademik 100% (persepsi ia memberikan peluang kerjaya lumayan dan menyenangkan) serta keseorangan dalam menangani masalah yang tiada siapa yang memahami apa yang berlaku sebenarnya. Daripada seorang pelajar yang ceria, Ishaan menjadi seorang kanak-kanak yang pendiam dan mengalami kemurungan yang amat serta terpinggir.

Kehadiran Ram Shankar Nikumbh (Aamir Khan) yakni seorang guru seni dalam hidup Ishaan nyata sekali berjaya mengubah dia kembali diterima dalam kehidupan. Melalui babak ini, saya kagum dengan semangat seorang guru yang mempunyai kesabaran tinggi, kecekalan dan kreatif dalam mengambil pelbagai pendekatan bagi mengembangkan bakat sedia ada dalam diri Ishaan. Beliau berusaha untuk memperkembangkan diri Ishaan bahawa dia berpotensi untuk berjaya dalam kehidupan masa hadapan sama sebagaimana insan yang lain. Contohnya bagaimana Ram menekankan beberapa tokoh terkenal yang mencipta nama pada usia dewasa di mana mereka juga mengalami disleksia ketika kanak-kanak seperti Albert Einstein, Leonardo da Vinci dan Walt Disney.

Apa yang dapat digambarkan melalui filem adalah bagaimana ia memberikan teguran sinis kepada ibu bapa yang terlalu mementingkan akademik tanpa menghargai bakat pada seorang anak dan memberikan kasih sayang sepatutnya dan kepada guru pula, ia memberikan satu persepsi bahawa kanak-kanak dilahirkan dengan kemahiran dan daya penerimaan yang berbeza. Maka, mereka perlu disalurkan dengan cara yang betul untuk menguasai pelajaran dan bukan menggunakan pendekatan memarahi dan meleteri membabi buta sahaja.

Sebuah filem yang mempunyai tema sangat bagus. Bukan seperti filem Malaysia yang kosong dengan jalan cerita yang haru biru merosakkan minda dan menjolok tekak sehingga mual dan jemu.