Kembara Bumi Kelantan – Akhir

Berbanding tahun 2001, Kelantan kini kelihatan lebih bersih walaupun ia masih perlu diusahakan lagi agar lebih menceriakan bumi Kelantan. Situasi kekotoran di Kelantan pernah disuarakan oleh Menteri Pelancongan, Ng Yen Yen suatu ketika dulu. Tetapi dengan pandangan mata sendiri, sudah ada peningkatan dari segi tahap kebersihan di negeri ini.

Secara keseluruhannya, negeri Kelantan mempunyai keunikan yang tersendiri sama ada dari segi bahasa, politik dan budayanya. Di Kelantan, kebanyakan papan iklan dan nama gerai biasanya ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Jawi. Itu adalah salah satu tarikan berbanding di negeri yang lain. Sepanjang perjalanan dalam Kota Bharu, penggunaan bahasa Jawi begitu meluas di papan iklan. Dalam kemundurannya bahasa Jawi di negara Malaysia, kerajaan negeri Kelantan berusaha untuk mengekalkan dan memartabatkan bahasa Jawi. Ini adalah satu langkah yang amat mulia sekali.

Bahasa Jawi dimartabatkan

Iklan Nescafe di Kelantan

Tambahan lagi, negeri Cik Siti Wan Kembang ini juga sudah maju dari segi prasarana dan terdapat bangunan-bangunan baru yang lebih cantik dan tersusun pembinaannya. Kini, di sana juga sudah terdapat pasaraya Tesco, KB Mall dan beberapa pasaraya lain untuk menjadi pilihan pengguna dalam mendapatkan barangan. Ini menunjukkan bahawa Kelantan bukan negeri miskin sebagaimana yang digembar gemburkan. Saya percaya dengan kos hidup yang rendah dan peluang perniagaan yang besar, rakyat Kelantan mampu hidup dalam keadaan yang selesa. Alangkah bertuahnya bumi Kelantan jika mereka mendapat duit royalti minyak yang kini masih lagi dalam perdebatan pada peringkat atasan, saya jamin negeri ini maju dan berdaya saing sebagaimana negeri lain di Malaysia.

KB Mall

Kelihatan bendera Pas kerana bakal berlansungnya

Perhimpunan Muktamar Pas untuk tahun 2010 Teruskan membaca

Advertisements

Kembara Bumi Kelantan – Bhgn.2

Bagi pelancong yang datang ke Kelantan, sudah pastinya Rantau Panjang adalah destinasi pilihan dan paling popular. Tambahan pada cuti sekolah sebegini, begitu ramai orang luar Kelantan yang membawa ahli keluarga untuk membeli belah. Sepanjang perjalanan, didapati beberapa buah bas yang membawa rombongan.

Pada pukul 10.00 pagi, kami sampai ke destinasi. Begitu ramai orang sehingga berkali-kali berpusing untuk mencari parking. Di mana-mana pun, di sini juga mempunyai pasaraya Mydin. Kami telah buat anggaran bahawa hanya berada di sini dalam 3 jam sahaja. Walau bagaimanapun, kami balik ke Kota Bharu selepas pukul 2.30 petang. Borong sakan pula.

Bagi kaum wanita, sudah pastinya rambang mata apabila melihat pelbagai barangan wanita yang dijual dengan harga yang amat rendah jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur atau tempat lain. Antara produk yang menjadi tarikan sudah pastinya kain tudung, pelbagai jenis baju dan barangan aksesori. Kepada kaum lelaki pula, sudah pastinya berduyun ke kedai menjual t-shirt bola sepak. Maklumlah demam bola sepak sudah bermula sekarang. Saya adalah salah seorang insan yang tidak ketinggalan. Memang jauh perbezaan dari segi harganya. Namun begitu, dengan saiz badan yang agak kecil saya hanya dapat dua pasang baju kerana sudah tiada saiz S dalam stok.

kredit gambar (Frank Al-Masyi)

kredit gambar (kelantandarulnaim)

Dengan kelahiran bayi tidak lama lagi, saya dan isteri mengambil kesempatan membeli beberapa barangan keperluan untuk menyambut cahaya mata kami. Terlebih dahulu, saya memohon kemaafan kerana kurang mengambil gambar kerana terlalu khusyuk untuk membeli barangan.

Perjalanan balik, bapa mertua yang memandu maka saya mengambil kesempatan untuk mengambil gambar sepanjang perjalanan.

Nampak dekat tetapi akibat kesesakan, mengambil masa juga

hendak sampai.

Kembara Bumi Kelantan – Bhgn 1

Cuti persekolahan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan untuk membawa ahli keluarga bercuti ke destinasi menarik sama ada dalam negara Malaysia mahupun luar negara. Tidak terkecuali ada yang membawa keluarga balik ke kampung halaman menjenguk orang tua dan saudara mara agar talian silaturahim bertambah kukuh dan erat.

Saya juga tidak ketinggalan mengambil peluang untuk bersia-siar pada cuti sekolah kali ini. Alhamdulilah, pada 7 Jun yang lepas saya, isteri dan mertua serta anak saudara sebelah isteri selamat berkembara ke bumi Kelantan Darul Naim. Pengembaraan tersebut adalah kali kedua bagi saya ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Kali terakhir adalah pada tahun 2001. Seawal 7.00 pagi, kami memulakan perjalanan dari rumah dan sampai ke destinasi pada sebelah petangnya dengan mengambil alternatif melalui jalan ke Gua Musang. Terasa penat dan lenguh akibat memandu dalam tempoh yang agak lama iaitu sekitar  8-9 jam. Sepanjang perjalanan, didapati beberapa orang pemandu yang memandu dengan sangat laju walaupun di jalan sempit dan berselekoh tajam. Patutlah di dada akhbar betapa kerapnya kemalangan yang berlaku di kawasan ini. Jika hendak cepat sampai, alangkah baiknya kalau bertolak sehari lebih awal. Pada hari pertama, kami lebih banyak menghabiskan masa berehat di hotel dan hanya keluar sebentar makan dan membeli belah di sekitar pasar malam berdekatan Pasar Siti Khadijah.

Pukul 7.00 pagi, lalu lintas masih kelihatan lengang. Gambar

diambil dari bilik hotel.

Pada 8 Jun, kami mengorak langkah pada paginya untuk bergerak ke Rantau Panjang (RP) iaitu satu destinasi yang amat popular dengan syurga membeli belah dengan harga yang rendah. RP merupakan sebuah pekan yang bersempadan dengan negara Thailand apabila hanya dipisahkan sempadan oleh sebatang sungai yang dikenali Sungai Golok. Jarak pekan ini dengan bandar Kota Bharu adalah lebih kurang 40 km dan memakan masa sekitar setengah jam. Sepanjang perjalanan dari KB ke RP, saya dapati rumah orang kampung amat cantik dan kreatif sekali. Oleh sebab memandu, tidak sempat saya untuk mengambil beberapa gambar. Apa yang lebih menarik adalah, di tepi-tepi jalan dipasang satu papan yang tertera lafaz tasbih, tahmid dan takbir di mana ianya amat sukar sekali untuk dilihat di negeri lain. Rasanya hanya di Kelantan sahaja agaknya. Satu usaha yang sangat mulia yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan untuk memperingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mengingati dan menghargai pemberian Allah swt atas keindahan muka bumi.

bersambung…