Sultan berjiwa bibliofil.

Sultan Nazrin di ITBM

Sultan Nazrin di booth ITBM (Gambar: FB 26 April, 2015. ITBM)

Pagi ini sambil memantau perkembangan semasa dalam dan luar negara melalui portal online, ternampak pula di portal Sinar harian yang membingkiskan artikel perkongsian seorang Sultan dengan kehidupan buku. Tidak asing lagi baginda adalah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. Artikelnya di sini.

Sebelum ini, memang selalu terserempak dengan perkongsian rakan-rakan laman sosial tentang minat baginda Sultan kepada buku. Dan terbaharu, baginda juga sudi mencemar duli dengan datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini pada 26 April yang lalu.

Komen pengguna laman sosial

Komen pengguna laman sosial (Gambar:mynewshub.cc)

Boleh dikatakan baginda Sultan tergolong dalam golongan bibliofil. Sebagaimana konsep yang dituliskan dalam buku Biblioholisme:Menelusuri pesona dunia buku dan pencintanya,  seseorang bibliofil sebenarnya bukan sahaja mencintai buku, tetapi juga menyanjung budaya ilmu dalam kehidupannya. Hassan Ahmad (2006) pula memberikan konsep bahawa golongan bibliofil dapat disifatkan orang yang mengamalkan budaya membaca sebagai sumber pendidikan sepanjang hayat. Tentunya mereka mempunyai pandangan hidup yang luas untuk menjadi golongan pembentuk pemikiran dan pandangan awam yang kritis dan bertanggungjawab.

Sultan Nazrin di kedai buku

Baginda Sultan bebas membeli buku tanpa kawalan pengawal peribadi (Gambar : mynewshub.cc)

Perkara ini diakui sendiri oleh baginda Sultan Nazrin dengan ungkapan ;

Ilmu itu sangat luas dan akan sentiasa ada yang baru, hanya dengan mencintai ilmu dan buku membolehkan kita mengejar perkembangan dunia (keep up to date)…malah dengan membaca menjadikan kita bertambah pengetahuan seterusnya mampu membentuk etika diri yang hebat

Berdasarkan artikel dalam Sinar harian tersebut, Sultan Nazrin juga menjelaskan ;

Setiap kali pergi keluar, perkara pertama yang saya cari adalah kedai buku, saya pernah membeli buku sehingga penuh sebuah troli, malah saya mampu habiskan sepanjang hari membaca buku, dari pagi hingga malam.

Dan antara yang paling saya suka adalah apabila baginda Sultan Nazrin mengemukakan satu idea yang menarik iaitu ;

Disebabkan buku saya terlalu banyak ia selalu bersepah di merata tempat, apabila saya perlukan sukar untuk dicari. Saya kata pada arkitek saya bukan mahukan perpustakaan dalam rumah tetapi rumah dalam perpustakaan (not a library in the house but a house in the library)..begitulah konsepnya.”

Oleh kerana minat mendalam baginda terhadap dunia membaca dan perbukuan, baru saya mengetahui bahawa baginda mempunyai perpustakaan peribadi di Petaling Jaya yang memuatkan lebih kurang 30 000 koleksi buku. Ini mengingatkan saya kepada kehebatan para ulama Islam terdahulu yang juga mempunyai ribuan jilid buku sebagaimana yang dikongsikan dalam buku Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri, Perpustakaan dalam Islam Semarakkan Budaya Membaca.

perpustakaan-dalam-islam

Misalnya, Ibn al-Jauzi. Dikatakan beliau amat gemar mengungjungi perpustakaan. Pernah suatu ketika banyak buku diwakafkan di pusat pengajian an-Nizomiah yang terdapat lebih daripada 6000 jilid buku. Beliau sendiri pernah berkata, “Aku membaca lebih daripada 20 ribu jilid buku.” Itulah kesungguhan para ulama dalam mengkaji ilmu.

Saya mengakui ada beberapa orang pemimpin lain sememangnya boleh tergolong sebagai pembaca tegar. Antara tokoh yang saya kenali mempunyai budaya membaca yang hebat adalah seperti Tan Sri Sanusi Junid, Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Dato Seri Anwar Ibrahim. Maka tidak asing kita boleh lihat dan rasai bagaimana daya pemikiran mereka ini hasil daripada pembacaan yang begitu meluas.

Besar harapan saya untuk melihat lebih ramai pemimpin mempunyai budaya membaca yang tinggi agar boleh mencetus idea-idea yang berkualiti dalam kepimpinan dan kemajuan negara.

Coretan sehari di PBAKL 2015

PBAKL 20151.  Maaf agak terlambat membuat sedikit rebiu berkaitan perkongsian di PBAKL 2015. Alhamdulilah, menyempatkan diri untuk hadir pada hari ke-2.

2.  Tahun ini mengambil inisiatif menggunakan LRT dari Kelana Jaya ke PWTC. Sekali lagi, isteri dan anak-anak tidak dibawa dan berjanji membawa mereka keluar sebaik balik dari PWTC.

3.  Sampai di stesen PWTC dan menggunakan laluan jalan kaki yang sangat lapang dan selesa bersama-sama warga lain yang pasti menghala ke tempat tujuan yang sama.

4.  Masuk melalui pintu Legar Putra, alhamdulilah. Sampai juga. Berjalan melihat booth yang ada dan kaki terus melangkah ke booth pertama, Dubook Press. Hanya ada dua buah buku yang direncanakan dan terpaksa mengambil satu lagi untuk mencukupkan promosi seperti tahun lepas 3 buah buku = RM 50. Sebuah lagi buku yang ingin diperolehi masih belum masuk pada hari itu. Nampaknya ramai betul anak-anak muda di sini. (Dari segi pengamatan, booth buku-buku indie semakin bertambah tahun ini dan kelihatan memang setiap booth penuh dengan para muda mudi)

Dubook Press

5.  Seterusnya terus ke booth pilihan, ITBM di Aras 4. Seperti biasa, Wawancara Sofa Putih masih ada pada tahun ini. Namun, masa yang terhad membuatkan saya hanya terus mencari tujuan asal iaitu buku-buku yang sudah disenaraikan. Kalau diikutkan nafsu, memang ingin memborong banyak di ITBM ini seperti tahun lepas. Namun, cuba rasionalkan nafsu kerana ada buku lain yang ingin dimiliki dari booth lain. Buat makluman, ITBM juga membuat promosi secara online sepanjang PBAKL. Jadi jika ada buku yang ketinggalan, boleh beli secara atas talian sahaja. Teruskan membaca