Selamat Hari Lahir, Puteri Ayah.

Terasa cepat sungguh masa berlalu. Dari seorang bayi kecil yang comel, dirimu sudah membesar menjadi kesayangan ayah dan ibu dan semua ahli keluarga.

Masih ayah ingat saat kelahiran dirimu, ayah tiada di sisi kerana berada nun jauh di seberang Laut China Selatan, Sarawak. Pada minggu sebelumnya, ayah menghantar ibumu ke Semenanjung untuk persediaan menyambut kelahiranmu bersama atuk dan nenek.

Jika mengikut perkiraan doktor, tarikh dirimu dijangka untuk lahir ialah jatuh 31 Ogos 2010 bersamaan tarikh kemerdekaan negara. Tetapi, mungkin dirimu yang sudah tidak sabar mahu menjengah dunia, di waktu hening Subuh, ayah yang masih terpisat-pisat di atas katil menerima panggilan telefon ibumu mengadu sedang menahan kesakitan ingin bersalin. Ayah terpinga keseorangan di dalam bilik. Tika sedar terus mengemas apa yang ada untuk bersedia ke lapangan terbang pagi itu. Belum sempat pagi menjengah dengan terang, nenekmu menelefon dari Hospital Sg.Buloh memberitahu dirimu sudah selamat dilahirkan detik 7.59 pagi, 21 Ogos 2010 bersamaan 11 Ramadan 1431H (Peristiwa sempat dicoretkan di sini). Hati ayah mana yang tidak gembira dengan berita ini, lebih-lebih lagi dirimu adalah kelahiran cahaya mata sulung ayah dan ibu. Ayah lantas sujud syukur dengan linangan air mata kegembiraan.

Setibanya di Hospital Sg. Buloh ditemani nenek, ayah melihat ibumu yang masih keletihan selepas menanggung kesakitan. Tetapi dari riak wajahnya, ibumu kelihatan tenang dan gembira dengan kelahiranmu dan kehadiran ayah di sisi. Terima kasih kepada Atuk Rosdi yang mengazankan dan mengiqamatkan kedua-dua belah pendengaranmu dengan permulaan kalimah Allah swt.

Puteri ayah

Semenjak kehadiran dirimu, kehidupan ayah dan ibu seakan lengkap dengan penuh kesyukuran. Dari teletahmu yang menggeletekkan. Dari tangisanmu yang dirindui. Dari kenakalan dan kebijakanmu, ia amat menghiburkan ayah dan ibu sepanjang membesarkanmu. Nyata sekali, membesarkanmu tidak menghadapi sebarang masalah. Seorang bayi yang kuat. Tidak kuat menangis.

Wahai puteri ayah dan ibu,

Sesungguhnya sepanjang dirimu dibesarkan, pelbagai ujian dan dugaan yang ibu dan ayah hadapi. Terpahat pada ingatan dan jiwa adalah bagaimana ayah dan ibu diuji dengan gangguan makhluk halus ke atas dirimu yang amat menguji tetapi dalam masa yang sama menyedarkan dan memuhasabahkan ayah dan ibu. Maafkan kealpaan ayah dan ibu.

Dari peristiwa itu, ia mengajar dan mencelikkan mata dan jiwa ayah untuk ingat tentang kesegeraan menunaikan hak Allah swt. Alhamdulilah, mulai saat itu, ayah turut merakamkan kesyukuran kerana Allah swt menurunkan musibah sedemikian untuk menegur lebih awal. Ia satu pengalaman dan pengajaran yang cukup menyedarkan.

Tidak cukup peristiwa itu, ketika usiamu masuk 3 tahun, sekali lagi ayah dan ibu diuji dengan penyakit ekzema yang dihadapi dirimu dari saat itu sehingga kini. Bayangkan bagaimana ayah dan ibu bergolok gadai mencari ikhtiar untuk menyembuhkanmu. Dalam masa yang sama suara-suara tipis yang tidak enak dengan tindakan ibu dan ayah betul-betul menguji. Ada masanya, ayah dan ibu bersengketa hanya kerana menegakkan kebenaran rawatan yang betul buat dirimu.

Mana tidaknya, luluh hati ayah melihat keadaanmu yang kesakitan setiap kali ayah memandikan dirimu. Setiap pagi dan petang, ayah melawan rasa mendengar esakan dan raungan tangisanmu yang kepedihan menanggung sakit akibat ekzemamu. Hati ayah benar-benar luluh, wahai anak. Tika kesunyian di akhir malam, ayah kekadang menitis air mata akan dosa ayah menyakiti dirimu yang masih kecil. Masih belum mengerti hakikat kehidupan sepenuhnya. Pernah satu ketika, ayah hampir berputus asa kerana terasa penatnya menguruskan dirimu seorang anak penghidap ekzema.

Namun, Allah swt Maha Penyayang. Allah itu Maha Mengetahui. Ayah dipertemukan dengan bingkisan-bingkisan hadis dan mutiara kata ulama akan hebatnya sifat sabar dan tentang hikmah di sebalik musibah.

Menurut mereka, semuanya adalah ujian Allah swt. Bukan Allah swt bertindak zalim tetapi hakikat yang sebenar adalah sebarang musibah yang Allah turunkan pada hamba-Nya adalah satu lambang atau cara bagaimana kecintaan Allah pada hamba-Nya. Dengan cara sedemikian, Allah swt merindui hamba-Nya untuk merintih dan menyebut nama-nama Allah dalam doa. Itulah motivasi buat ayah. Itulah sumber kekuatan ayah. Itulah yang menjadi azam kepada ayah untuk lebih dekat kepada-Nya dalam membesarkanmu.

Alhamdulilah, begitu banyak kenangan yang kita cipta bersama-sama. Kita ketawa bersama. Kita bermain bersama. Menyanyi bersama menghiburkan hati. Berzikir sama mengingat Ilahi sambil menonton Indahnya Iman, Astro Oasis. Sekarang, usiamu sudah mencapai umur 5 tahun. Banyak kelebihan padamu, wahai puteri ayah. Anak yang pintar, anak yang cantik, anak yang sentiasa menghiburkan, anak yang sentiasa  ingatkan ayah dengan Allah swt, anak yang sentiasa bersemangat, anak yang riang, anak yang menceriakan dan banyak lagi yang ayah tidak sempat titipkan.

5 tahunFoto ehsan : Daripada guru Tadika

Semoga dirimu terus membesar, puteri ayah. Menjadi kebanggaan ayah dan ibu. Menjadi kebanggaan buat ummah. Tiada yang lain ayah dan ibu harapkan, selain dirimu menjadi qudwah hasanah buat adik-adik. Berjaya dunia dan akhirat. Menjadi anak yang solehah menyejukkan hati ayah dan ibu. Yang paling utama, dirimu menjadi anak yang mendoakan ayah dan ibu bila tiba masanya, jasad ayah dan ibu sudah tiada lagi di muka bumi nanti..

Selamat hari lahir ke-5, N.A.

Ayahmu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s