ULASAN BUKU: “THE BEST STUDENT OF THE DAY”.

Sudah lama rasanya tidak berkongsi tentang buku. Tahun ini sehingga sekarang, bilangan pembacaan agak meningkat berbanding tahun sebelumnya. Namun, mana-mana buku yang sempat dihabiskan tidak sempat pula untuk dikongsikan bersama pembaca lain.

Buah tangan Dr.Nik Salida

Insha Allah, kali ini saya ingin berkongsi dengan anda sebuah buku nipis tetapi amat bermakna kepada diri saya, sebagai seorang ketua keluarga. Seorang suami. Seorang ayah kepada anak-anak yang masih kecil. Dan juga tidak asing sebagai seorang  guru. Saya tergerak membeli buku ini apabila pihak penerbit mempromosikan buku ini di laman page FB mereka dengan memuat naik secebis kandungan buku ini yang sekaligus mengubah persepsi lama saya. Sebelumnya, saya membaca tajuk buku ini dengan berpandangan bahawa buku ini adalah buku motivasi untuk pelajar sekolah. Apabila diamati di bahagian kecil di atas bukunya ternampak ‘motivasi keibubapaan’. Oh, saya tersilap. Maka, tanpa teragak-agak saya dapatkan buku ini.

 THE BEST STUDENT OF THE DAY.

 Mengapa buku ini diberi tajuk tersebut? Tunggu jawapannya nanti.

 Baiklah. Buku ini mengisahkan tentang perkongsian penulis utama, Dr. Nik Salida yang membicarakan kisah-kisah penuh menginspirasikan sepanjang beliau berada di England dalam melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah, khususnya berkenaan pengalaman dan persepsi beliau terhadap sistem pendidikan awal di sana. Terdapat banyak cerita, rahsia dan maklumat-maklumat yang menarik  dikongsikan oleh beliau dalam buku ini.

Permulaan pengalaman beliau adalah bagaimana anak beliau yang masih kecil yakni berumur empat tahun dihantar ke salah satu sekolah tampak tidak berasa takut dan sentiasa bersemangat untuk ke sekolah setiap hari sehingga mencetuskan tanda tanya penulis apa yang dilakukan oleh pihak sekolah.

 Persoalan penulis  terjawab apabila beliau dan suami dijemput oleh guru anaknya untuk berbicara pada satu masa. Berikut perbualan mereka ;

cover2

Dan sebagai tambahan, di England hukuman bukanlah satu-satunya cara mereka mengajar, malah hukuman merupakan yang paling sedikit atau cara yang paling akhir sekali diambil. Menurut penulis, mereka ada cara yang lebih lembut dan memotivasikan kanak-kanak.

Apakah caranya? Itulah jawapan kepada soalan awal tadi iaitu THE BEST STUDENT OF THE DAY.

Bagaimana?

Di England, satu sticker ‘The Best Student of The Day’ atau Pelajar Terbaik Hari ini diberikan kepada kanak-kanak yang menunjukkan akhlak dan adab yang baik berdasarkan kepada dua perkara utama tadi serta tidak melanggar peraturan sekolah untuk hari tersebut. Cara ini seolah-olah membantu peningkatan self-esteem kanak-kanak kerana diberi penghargaan semenjak dari kecil lagi dan ini akan memotivasikan mereka untuk menjadi lebih baik. Ini amat bertepatan dengan didikan dengan cara Rasulullah saw. Pembacaan lanjut bagaimana kaedah ini dilaksanakan adalah melalui satu bab yang mengisahkan tentang seorang kanak-kanak yang bernama Daniel.

Menurut penulis lagi, sepanjang berada di England beliau mendedahkan bahawa kanak-kanak sentiasa seronok untuk ke sekolah kerana selain layanan guru yang baik, mereka juga tidak dibebankan dengan mata pelajaran yang banyak. Ini amat membantu bagi mengelakkan stres dalam kalangan kanak-kanak yang masih berusia mentah. Perkara ini amat berbeza dibandingkan dengan negara kita, Malaysia. Ada kanak-kanak yang sudah diberi penekanan oleh ibu bapa dengan menghantar anak ke pusat tuisyen dari kecil demi mengejar bilangan ‘A’ yang tinggi dalam peperiksaan awam. Penulis sempat menegur bahawa budaya ini telah banyak menjejaskan pembudayaan ilmu dalam kalangan anak-anak Malaysia sehingga kanak-kanak hilang keseronokan dalam menuntut ilmu.

cover3

Sebenarnya ada banyak lagi perkongsian dan info menarik yang dikongsikan oleh penulis dalam buku ini berkenaan perbandingan sistem pendidikan negara luar dengan sistem pendidikan dalam negara kita. Dalam berkongsi kisah-kisah pengalaman beliau, sebenarnya pembaca juga khususnya ibu bapa atau guru boleh menggunakan setiap maklumat dan tips yang didedahkan untuk mengerakkan perubahan dalam didikan ke atas anak-anak di rumah mahupun di sekolah oleh para guru. Sempat lagi dan masih belum terlambat.

cover4

Dr. Nik Salida turut berkongsi tips-tips berguna dalam buku ini seperti tips mendidik anak, cara pemakanan anak-anak, rahsia supaya tidak lupa ajaran guru, kaedah mendidik anak menunaikan solat dan banyak lagi tips yang bagus untuk diamalkan atau dipraktikkan.

Memandangkan sekarang sedang berlangsungnya #mycybersale di laman PTS, rebutlah peluang untuk dapatkan buku ini dengan harga yang menarik. Selamat membaca.

Advertisements

Pulang ke Malaysia hanya berbasikal?

Assalamualaikum,

Alhamdulilah..masih diberi kudrat untuk bernafas oleh-Nya tika menulis entri ini. Selamat bercuti kepada warga sekolah yang kini sudah masuk hari ke-5. Seperti biasa, cuti sebegini adalah saat yang sangat berharga buat saya untuk duduk, berbaring, meniarap dan apa sahaja posisi untuk melakukan rutin pembacaan dengan penuh nikmat.

Memang benar kata rakan-rakan, pesta buku sememangnya boleh meningkatkan momentum pembacaan seseorang dengan penuh rasa semangat. Selepas PBAKL15, dengan hambatan tugasan hakiki sebagai guru sambil mencuri waktu,  saya berkesempatan menghabiskan 15 buah buku sehingga takat ini. Insha Allah, kini sedang mencari waktu dan kudrat untuk menulis resensi buku-buku berkenaan untuk dijadikan perkongsian pembaca.

Baiklah. Pagi ini saya ingin berceloteh berkenaan tentang sebuah buku yang diterbitkan oleh Dubook Press.

Advantura Pulang ke Malaya

Advantura Pulang ke Malaya. Sebuah buku yang boleh dianggap sebagai sebuah diari inspirasi merangkap travelog seorang mahasiswa Kejuruteraan Mekanikal dari Malaysia, BadrulHisham atau Bro Hisham melakukan perjalanan balik dari UK ke Malaysia dengan hanya BERBASIKAL. Idea yang datang secara tiba-tiba akibat terpedaya dengan sebuah dokumentari di internet membuatkan impian gila beliau menjadi realiti akhirnya.

Apa yang menarik dikongsikan oleh Bro Hisham adalah catatan-catatan perjalanan sepanjang kembara berbasikal mereka yang memikat akal fikiran dan jiwa pembaca. Ada banyak perkara yang menjadi tarikan kepada saya melalui buku ini.

Pertama, saya baru mendapat tahu bahawa basikal mempunyai pelbagai jenis mengikut tujuan penggunaan basikal tersebut. Sebelum ini saya hanya tahu basikal BMX untuk aktiviti lasak dan basikal racing. Sebenarnya, untuk melakukan kembara perjalanan jauh basikal yang paling sesuai adalah ‘Touring Bike’ kerana basikal jenis ini tahan lasak dan mampu digunapakai dalam kepelbagaian iklim dan suhu.

Kedua, kita selalu dibayangkan dengan keindahan bumi Eropah. Iklimnya yang sejuk. Masyarakatnya yang boleh dikatakan berintegriti. Fasiliti yang moden. Maka, pengalaman Bro Hisham sepanjang kembara ini dapat menambahkan sedikit sebanyak pengetahuan pembaca tentang latar sosiobudaya masyarakat di negara-negara Eropah. Bermula dari Paris, Albania, Greece, Austria, Croatia, Bosnia dan Turki. Apa yang saya dapat renungi adalah bagaimana masyarakat di sana yang tidak berbelah bahagi untuk menumpangkan Bro Hisham dan rakan beliau untuk tinggal bermalam walaupun mereka baru bersua pertama kali. Jika di Malaysia, rasa sangsi mesti ada untuk menumpangkan seseorang yang tidak dikenali. Teringat saya kepada pesanan Rasulullah saw dalam memuliakan tetamu.

Jasa baik tuan rumah

Jasa baik keluarga dari Slovenia (Kredit foto: FB Badrul Hisham)

Abu Hurairah melaporkan Rasulullah saw bersabda,

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia mempereratkan hubungan kekeluargaannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, hendaklah dia mengucapkan ucapan yang baik ataupun berdiam diri sahaja” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketiga, persediaan. Sememangnya perjalanan yang jauh sebegini memerlukan persediaan yang sangat rapi. Daripada segala keperluan makanan, pakaian, peralatan basikal dan keperluan lain perlu dirancang dengan sebaik yang mungkin. Kejadian dirompak, basikal rosak dan perubahan cuaca menjadi cabaran yang perlu diduga dengan lebih awal. Namun tepat sekali, Bro Hisham dan rakannya  kelihatan sudah bersedia dengan rintangan sebegini.

Panorama indah

Sebuah pemandangan yang sangat indah (Kredit Foto: FB Badrul Hisham)

Keempat, mutiara motivasi. Dalam buku ini, Bro Hisham turut memuatkan kata-kata mutiara yang boleh memberikan motivasi kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi dalam menginspirasikan Bro Hisham sendiri dalam melakukan kembara beliau. Walaupun kata-kata motivasi yang disampaikan daripada individu yang tidak dikenali, namun ia mempunyai punch yang boleh menggugah hati seseorang. Saya suka. Antaranya,

“Dan apabila anda fikir sesuatu perancangan itu mustahil, itulah sehebat-hebat impian”

“Berimpian besar, percaya dan berusaha bersungguh-sungguh atau ia akan sentiasa menjadi mimpi dalam tidur saja”

“Kau akan mencari seribu satu jawapan untuk Berjaya atau kau akan mencari satu jawapan sahaja untuk menyerah kalah”

Ringkasnya, travelog ini mengambil pendekatan pandang pertama iaitu Bro Hisham. Bahasa penyampaiannya tersusun dengan gaya yang santai sehingga ada bahagian yang mengeletek dan mengundang tawa. Penghayatan pembacaan juga dibantu dengan beberapa keping gambar yang dimuatkan mengikut bab tertentu. Ini menjadikan ia satu pakej yang lengkap.

Walau bagaimanapun, sedikit kekecewaan adalah penulisan travelog ini yang melanggar kronologi perjalanan membuatkan kenikmatan pembacaan sedikit terjejas. Ini mungkin perlu diberi perhatian dan ditambah baik sekiranya Bro Hisham mempunyai projek yang lain seumpama penulisan buku ini pada masa akan datang.

Kulit belakang buku

“When you feel you want to give up because the dream is so hard, tell your self you wanna give up one week later, it will slowly increase your motivational level”

Sesungguhnya, tahniah kepada Bro Hisham atas inisiatif membukukan perjalanan ini yang saya rasa cukup yakin boleh memberikan inspirasi kepada lebih ramai orang di luar sana untuk mengejar impian kehidupan.