RESEPI : PIZA HOMEMADE

Kisah ini bermula dengan perasaan kecewa terhadap perkhidmatan salah satu restoran Pizza Hut di Sibu yang sangat tidak memuaskan. Dengan keragaman anak-anak pada hari tersebut membuatkan saya dan isteri bingkas bangun untuk keluar dari restoran terbabit dengan segera.

Maka, atas kegemaran menikmati masakan Itali iaitu Piza, saya cuba melihat dan membaca apa sahaja perkongsian yang dilakukan oleh para blogger makanan dan chef-chef hebat untuk mendapatkan resipi dalam menghasilkan piza sendiri atau lebih dikenali dengan istilah ‘homemade’ piza. Akhirnya, saya mendapat begitu banyak sumber berguna samada link-link dari blog mahupun youtube.com yang memudahkan keinginan saya untuk menghasilkan piza sendiri. Terima kasih semua.

Pada hari berikutnya, saya keluar mencari bahan-bahan utama dalam penghasilan piza. Alhamdulilah, saya mendapat kesemua bahan yang diperlukan dan balik ke rumah dengan perasaan yang membuak-buak untuk menghasilkan piza untuk santapan keluarga.

BAHAN (HASILKAN DOH)
1. 4 cawan tepung gandum
2. 1 paket yis kering
3. Garam
4. Gula
5. Air Suam

TOPPINGS
1. Puri Tomato
2. Ayam kisar (saya guna AYAMAS). Ayam ini diletak rempah dan digoreng separuh masak. Dan carikkan isi kepada butir-butir kecil.
3. Cili Benggala atau Capsicum (dipotong)
4. Bawang Besar (dipotong)
5. Sosej (dipotong menjadi kepingan)
6. Keju Cheddar (diparut halus)
7. Keju Mozarella
8. Minyak zaitun

Bahan asas

Antara langkah pertama adalah menghasilkan doh. Pada hari tersebut, terlebih dahulu uji yis samada aktif atau tidak dengan memasukkan yis kering ke dalam satu bekas yang berisi air suam (Jangan terlalu panas, elak yis mati) dicampur dengan garam dan gula.

Biarkan lebih 10-15 minit. Jika ia berbuih, ia menandakan bahawa sempurna. Maksudnya yis adalah aktif dan hidup.

Ambil bekas yang besar isikan tepung gandum dan tuangkan air yis yang sudah diaktifkan tadi. Maka, bermulalah aktiviti menggaul tepung sehingga sebati. (Pastikan ada satu bekas lain untuk diisi tepung bagi digunakan mengelakkan melekat pada tangan dan tempat mengguli)

Mula menggaul tepung

Teknik mengguli tepung dengan cara tolak-tarik seperti basuh baju orang dulu-dulu menggunakan tangan. Jika masih melekat, jangan takut tabur tepung secara sedikit-sedikit untuk mengelak daripada melekat. Lagi lama mengguli, doh akan menjadi roti yang lembut untuk dimakan. Jangan cepat mengalah. Hehe.

Pull and fold

Apabila sudah hampir 15-20 minit mengguli, maka siaplah doh. Simpan di dalam bekas dan tutup dengan tuala atau selainnya. Biarkan dalam 1-2 jam untuk memberi ruang masa doh tersebut membesar. Maka, masa ini gunalah dengan sebaiknya. Baca buku ke, lipat kain baju ke, melayari internet dan apa-apa sahaja aktiviti. Hehe.

OK. Sekarang lihat doh yang sudah mengembang tadi. Cuba tekan dengan jari. Jika ia tenggelam atau tidak memantul kembali, ia menunjukkan bahawa ia doh paling bagus untuk dijadikan roti. Maka, anda uli sekali lagi doh tersebut dan potong mengikut berapa bilangan piza yang ingin dihasilkan.

Sabar tunggu 2 jam

Pada pengamatan saya, dengan 4 cawan tepung saya mampu menghasilkan 2 keping piza saiz regular dan 2 keping saiz personal. Banyak kan? Murah lagi. Heh.

Ini yang paling seronok. Jadikan doh leper. Jangan terlalu nipis. Maka bermulalah, menyapu nipis tomato puri di atas piza. Jangan terlalu banyak bagi mengelakkan piza menjadi masam. Dan seterusnya letak minyak zaitun sedikit dan taburkan garam.

Kemudian, taburkan keju cheddar dan bahan-bahan topping tadi. Yang ini mengikut kesukaan anda. Akhir sekali, taburkan keju mozarella sebagai topping terakhir. Siap.

Siap toppings.

Eh, belum lagi. Seterusnya, masukkan piza ke dalam oven. (Suhu: 220F/10-15minit).

Kena rajin tengok piza dalam oven, jika kelihatan masih belum masak dengan baik iaitu dengan melihat kejunya yang masih basah atau roti dasarnya masih memutih, boleh adjust suhu kepanasan dan jangka masa sehingga kelihatan ia dimasak sempurna.

Sedia dimakan..

Apa lagi. Dah boleh makan. Selamat mencuba di bulan Ramadan ini.

Percintaan ‘vampire’

Sudah lama benar rasanya tidak menonton dvd. Namun, siang tadi saya mengambil kesempatan yang ada untuk menonton filem Twilight daripada tidur di siang hari. Pertama sekali, saya berasa teruja dan ia memang sebuah filem yang mempunyai kelainan berbanding filem vampire yang lain.

Mungkin sebelum menonton filem ini kita meneka bahawa pasti wujudnya unsur-unsur yang ganas, aksi memberahikan dan pengaliran darah  sepanjang masa. Nyata sekali, ia adalah tekaan yang silap kerana filem ini lebih menekankan mengenai hubungan percintaan di antara seorang gadis manusia dengan salah seorang daripada puak vampire tersebut.

Filem yang diadaptasikan daripada novel karya Stephanie Meyer iaitu salah satu daripada novel yang menduduki lima buku bestseller di pasaran antarabangsa ini telah mengutip pendapatan tayangan sebanyak USD70.6 juta di Amerika Syarikat.

Kisahnya bermula apabila Bella yang berhijrah kolej di pekan Forks iaitu satu wilayah terpencil di Washington. Namun, di situ Bella telah jatuh cinta dengan Edward Cullen, remaja lelaki yang kacak dan merupakan sebahagian daripada keluarga vampire. Ciri fizikalnya yang putih pucat, beranak mata keemasan dan bersuara lunak telah menarik minat Bella untuk mengenali dengan lebih lanjut. Salasilahnya, Edward sebenarnya terdiri daripada keluarga Cullen iaitu vampire yang baik dan dididik tidak menghisap darah manusia sebaliknya mereka menghisap darah haiwan sahaja.

Akibat jiwa remaja yang saling bertarikan, akhirnya Bella dan Edward jatuh dalam dunia percintaan. Pendedahan demi pendedahan Edward bahawa dirinya yang sebenar nyata tidak sesekali mengubah perhatian dan minat Bella kepadanya. Klimaks filem ini apabila datangnya tiga orang vampire jahat yang telah membunuh beberapa penduduk tempatan semata-mata untuk mendapatkan darah mereka. Dan kedatangan mereka telah mencetuskan perbalahan dengan vampire terdidik (keluarga Cullen) akibat keliaran salah seorang daripada mereka iaitu dikenali sebagai James yang sentiasa dahagakan darah segar.

Sesungguhnya filem ini mempunyai unsur romantik dan suspen sehingga mengikat penonton untuk mengetahui kesudahannya. Suasana lokasi pengambaran juga begitu menarik sekali dengan unsur-unsur semulajadi yang begitu serasi dengan tema filemnya. Tidak rugi rasanya menonton filem ini.

45 tahun dalam Malaysia

Sudah seminggu berlalu, baru saat ini berpeluang untuk memasukkan berkenaan peristiwa Pesta Sambutan Sempena 45 tahun dalam Sarawak. Ia telah berlangsung pada 14.02.2009 dan dirasmikan oleh Y.B Awang Asfia pada malamnya di pekan Bintangor.

Pelbagai kontinjen telah menyertai perarakan kereta berhias dan kita dapat melihat bagaimana kaum Melayu, Cina dan Iban berkumpul beramai-ramai bagi menjayakan pesta ini. Setelah sekian lama, ini merupakan satu lagi peristiwa di mana semua masyarakat dapat berkumpul semula selepas kali terakhir yang pesta serupa diadakan pada tahun 80-90an dulu. Antara kontinjen yang memeriahkan pada malam tersebut adalah daripada kontinjen pendidikan yang meliputi Jabatan Pelajaran Daerah Meradong dan pelajar dari sekolah-sekolah terpilih, Jabatan Kerja Raya, Jawatankuasa Kampung Kecil Bintangor, Persatuan Lau dan persatuan masyarakat Iban.

Akhir program, para penduduk disajikan dengan pertunjukan bunga api dari padang Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ). Berikut adalah antara babak-babak yang sempat dirakamkan oleh abang yang menjadi camera man pada malam tersebut. Teruskan membaca