Bermula keluaran Julai 2009, editor Dewan Masyarakat telah menyisipkan artikel yang penting berkaitan dunia pendidikan di pedalaman Malaysia. Dari bulan tersebut hingga keluaran yang terkini (September), majalah tersebut menyiarkan kisah Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Razali Ismail menyelami pengorbanan para guru yang ditugaskan ke pedalaman Sabah dan Sarawak.

Dari Sabah ke Sarawak, beliau melawat dan melihat persekitaran suasana sekolah di pedalaman. Ini merupakan satu langkah yang baik daripada seorang YB (Yang Berhormat) untuk memahami perasaan seseorang guru yang ditugaskan di sini. Dengan melalui jalan berbatu kerikil sehingga menongkah arus deras dan mengharungi jeram berjam-jam lamanya, kehadiran beliau memberi kesan yang besar kepada apa yang telah ditetapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan iaitu merapatkan jurang pendidikan sekolah luar bandar.

Tidak dinafikan, pembangunan di kawasan pedalaman kadarnya adalah rendah. Kedudukannya yang jauh dan sukar untuk diharungi menyebabkan kos untuk menyediakan infrastruktur adalah tinggi. Sehubungan itu, kerajaan pusat haruslah menyediakan peruntukkan khusus bagi menghubungkan sesuatu kawasan pedalaman. Kini Malaysia sudah pun menikmati kemerdekaan selama 51 tahun, sukar untuk diterima masih terdapat kawasan yang ketinggalan dari arus kemodenan di Malaysia ini. Sepatutnya, Malaysia sudah mampu menyediakan segala prasarana yang mencukupi untuk rakyat keseluruhannya. Tiada lagi masalah keciciran kanak-kanak dari sistem pendidikan negara. Jurang pendidikan juga sudah semestinya menjadi kecil atau hapus sama sekali.

Sesungguhnya, kerajaan haruslah menangguhkan pembinaan projek mega yang memakan belanja berbillion ringgit bermula dari sekarang. Sebaliknya ia dibelanjakan untuk menyediakan prasarana dan kemudahan di kawasan pedalaman secara komprehensif. Dengan ini, semua rakyat dapat menikmati hidup yang selesa dan lengkap.

Semoga keprihatinan Dato’ Razali menjadi contoh kepada pemimpin lain dalam menyelami masalah rakyat di bawah..



3 Responses to “Pendidikan di Pedalaman..”  

  1. 1 cik HaYa

    hm…saya akan posting ke sarawak. walau apapun, saya akan ambil risiko demi mendidik anak bangsa…

  2. 2 mesejabdul

    cik Haya – Tahniah atas perkhidmatan yang bakal cik laksanakan. Semoga cik dapat berkhidmat dengan cemerlang bagi melahirkan pelajar berketrampilan dan berjasa.


  1. 1 Timbalan Menteri Pelajaran Meninggal Dunia « Perspektif

Leave a Reply