Bedar Sukma Bisu

Iya..mungkin diri sudah ketinggalan untuk membicarakan mengenai isi buku ini. Namun, tidak salah kiranya berkongsi bersama tarikan dan kekuatan novel Bedar Sukma Bisu karya saudara Faisal Tehrani. Saya sudah usai membedahi novel ini. Sungguh menarik dan penuh dengan keintelektualan mengenai bidang maritim dan yang lebih utama tentang  ekonomi Islam.

Bedar bermaksud sebuah perahu besar sebagaimana di kulit depan novelnya. Penggunaan perkataan bedar ini amat sinonim dengan masyarakat Pantai Timur. Ia mengisahkan perjuangan sebuah perniagaan milik bumiputera Islam yang berpangkalan di bumi Semenanjung Emas iaitu di Terengganu. Pelbagai rintangan telah berlaku dalam memperkukuhkan kedudukan perniagaan ini terutamanya selepas berlakunya Perang Dunia Kedua dan kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun 1990-an. Demi kestabilan perniagaan, Bedar Sukma mula mengubah haluan dengan berorientasikan kepada bidang pelancongan maritim.

Bedar Sukma merupakan satu entiti yang diasaskan oleh Ben Qortubi, seorang warga Arab yang berkahwin dengan wanita melayu, Fatimah. Kepandaian dan kemahiran beliau dalam bidang pembuatan perkapalan membuatkan perniagaannya berkembang dengan sangat maju. Namun, kedatangan dan kekejaman Jepun ke bumi Malaya telah menjadi detik hitam bagi beliau atas satu peristiwa yang tidak sanggup untuk dikenang. Akhirnya, beliau telah membawa diri ke laut dan tidak pernah pulang semenjak waktu itu. Perniagaan Bedar Sukma Bisu seterusnya diuruskan oleh anaknya Marwan Qortubi dan seterusnya diwarisi oleh Wefada Marwan dan generasi berikut iaitu Haiqal Chen.

Di samping menerapkan dunia maritim melayu, intipati novel ini lebih menekan kepada satu perkara yakni berkenaan dengan ekonomi Islam. Setiap langkah dan dasar perniagaan yang diterapkan dalam Bedar Sukma adalah dengan meletakkan kepentingan agama daripada segala-galanya. Buktinya, bagaimana Wefada Marwan dengan lantang memarahi para staf anak syarikatnya yang berpandangan sempit bahawa kemerosotan perniagaan disebabkan terlalu islamik tanpa menyediakan minuman alkohol kepada pelanggan di Sukma Resort.

Sesungguhnya, penulis dapat menyampaikan satu wacana berkaitan kelebihan sistem ekonomi Islam dengan cara yang halus tanpa membantutkan pembacaan pembaca agar terdorong terus mendapat ilmu darinya. Dengan penggunaan bahasa Melayu yang tinggi dan unsur-unsur sastera yang berseni nyata ia menambahkan kesedapan halwa minda pembaca. Tidak mustahil novel ini berjaya memenangi Sayembara Mengarang Sempena Perayaan JUBLI EMAS DBP pada tahun 2007.

2 thoughts on “Bedar Sukma Bisu

  1. Karya ini berunsurkan sejarah . Rasanya jika pembaca membaca novel ini, ilmu saudara akan bertambah dan boleh mengingati sejarah.

  2. pada mulanya novel ini agak membosankan.tetapi akhir novel ini tidaklah seteruk itu.tetapi bg saya kesudahan novel ini tidak perpenghujung karana tidak menceritakan keadaan anak teruna Wefada yang telah diculik oleh lanun.

Tinggalkan komen