DIARI PILIHAN KERETA (II) : NISSAN ALMERA

Pada entri sebelum ini, saya ada berkongsi berkenaan proses membuat penilaian dan pilihan untuk membeli kereta.

Alhamdulilah, selepas genap satu bulan pilihan yang dibuat adalah Nissan Almera 2015 Facelift. Proses pembelian yang cepat dalam masa seminggu dan proses mendapatkan kereta pula juga cepat tidak sampai sebulan.

Minggu lepas, servis pertama kali untuk 1,000km pun sudah dilakukan. Maka, buat masa sekarang memang agak berpuas hati dengan pilihan yang telah dibuat. Sampai isteri pun asyik mengomel dengan suami yang berlebih-lebih dengan ahli baharu tersebut. Hehe.

Memandangkan jangkaan ramai bahawa harga kereta pada tahun 2016 yang dijangka meningkat, maka sekarang jika diperhatikan terdapat banyak syarikat kenderaan membuat promosi hebat pada akhir tahun sebegini dan tidak terkecuali syarikat Tan Chong (Nissan). Alhamdulilah, saya memperoleh Nissan Almera pada harga yang berpatutan juga disertakan dengan pakej promosi dalam satu harga yang pada saya amat memadai. Pilihan dibuat adalah Varian E tetapi dilengkapi seolah-olah hampir varian VL iaitu pakej AeroNismo Kits, Tinted, Door Visor, Leather seat, Trunk Tray, Continental Tyre, 6.5” Display Multimedia Navigation dan Reverse camera.

DSC02124_01

Apa yang saya ingin kongsikan adalah dari segi pemanduan. Jika dibandingkan dengan Honda City, sememangnya agak kurang namun ia memadai untuk pemanduan yang santai. Sterengnya terasa lembut ketika di selekoh atau untuk membelok. Walaupun pada kelajuan 100km/h sterengnya masih tegap tidak goyah.

Dari segi keselesaan, memang sangat berpuas hati. Keluasan dalamannya yang lapang. Reka bentuk kerusi juga tidak melenguhkan pemanduan disertai dengan leather seat membuatkan pemanduan lagi bertambah selesa. Penghawa dingin pula terasa sejuk dengan cepat. Lagi-lagi musim hujan sekarang, suasana dalamannya memang sejuk walaupun hanya membuka kuasa penghawa dingin yang paling rendah.

DSC02126

Di bahagian kerusi belakang, isteri dan anak-anak berasa sangat selesa dengan ruangan kaki yang sangat luas. Tambahan lagi anak-anak kecil yang lasak membuatkan suasana yang luas tidak merimaskan mereka. Malahan mereka boleh ke depan ke belakang dalam kereta dengan mudah tanpa masalah. Memiliki lapan tempat cup holder juga satu kelebihan juga memandangkan anak-anak yang masih menyusu serta saya serta isteri yang kadang-kadang gemar minum di dalam kereta.

DSC02127

Keselesaan di bahagian kaki yang luas

Di bahagian bonet kereta, memang sangat luas. Khususnya kepada kami yang perlu meletakkan beg-beg kerja dan barang-barang keperluan anak untuk dihantar ke pengasuh. Ia juga penting dan masih luas apabila diletakkan semua barang.

DSC02133

Dan paling utama saya memilih Nissan Almera setelah mendapat review daripada pengguna lain, saya mengakui Nissan Almera memang menjimatkan minyak. Setangki penuh adalah 41 liter. Maka, jika dibuat perkiraan dengan harga minyak RON95 sekarang adalah dalam RM84.05. Tetapi pengalaman sendiri yang mengisi setangki penuh apabila sampai tahap meter sudah blink-blink, adalah dalam RM77.++.

Dan saya berkongsi dengan anda pengalaman sendiri berdasarkan jadual di bawah dengan sedikit ujikaji.

Hari

Jarak perjalanan

Jumlah (km)

Isnin Isi penuh waktu tengahari.

– Balik ke rumah (28km)

– Pergi/Balik Tempat A (26km x2)

 

28 + 52

Selasa – Pergi/Balik Tempat A (27kmx2)

54

Rabu – Pergi/Balik Tempat A (27kmx2)

54

Khamis – Pergi/Balik Tempat A (27kmx2)

54

Jumaat – Pergi/Balik Tempat A (27kmx2)

54

Sabtu – Pergi/Balik Tempat B (53kmx2)

106

Ahad – Tiada kemana-mana.

402km

Pada tengahari Isnin, saya mengisi RON95 Petronas dengan isian penuh. Dengan pemanduan 80-90km/j dan ada sesetengah keadaan sehingga 100km/j.

DSC02140

Catatan meter minyak setelah perjalanan dianggarkan 402km

Maka, pada hari Ahad, saya hanya di rumah dan tidak ke mana-mana. Bacaan penuh meter minyak adalah 8 bar. Dan pada jam 1.09 petang hari Ahad, bilangan bar yang hanya digunakan adalah 3 bar untuk jarak 402km. Bagi saya, ia sangat menjimatkan. Saya tidak pasti dengan penggunaan Toyota Vios dan Honda city yang paling terkini.

Saya merasakan perkara ini mustahak kerana dengan himpitan kehidupan rakyat Malaysia sekarang yang semakin tersepit dengan kadar kenaikan kos barangan dan pada tahun hadapan juga diramalkan subsidi minyak dimansuhkan. Bagi pengguna di Semenanjung, kenaikan kos hidup lebih dirasai dengan kenaikan kadar tol menambahkan lagi beban. Justeru, penjimatan minyak Almera mungkin dapat meredakan sedikit kepenggunaan seseorang dalam menyerap kos kehidupan.

Saya berharap ada juga pemandu lain yang berkongsi pengalaman menggunakan Almera ini.

Oleh demikian, review ini saya kongsikan kepada sesiapa sahaja di luar sana yang berkira-kira untuk mencari kenderaan baharu boleh menggunakan maklumat yang saya kongsikan. Sebagaimana saya dahulu yang pada awalnya sebelum membuat pembelian juga banyak membuat perkiraan dengan rajin membaca review daripada pengguna lain. Selamat memandu!

Untuk memudahkan anda, saya sertakan review pengguna lain untuk Nissan Almera.

1. Ummukhadijah [Review] Nissan Almera

2. Car Talk: Nissan Almera

3. Hazril Hafiz :Pandu Uji Nissan Almera

4. GearTinggi.com

5. Pandu Uji: Hezeri

6. SaljuHumairah

7. Almera 2013

DIARI PILIHAN KERETA (I)

Terasa cepat masa berlalu. Kini sudah di penghujung tahun bulan Disember. Segala impian, segala matlamat mula direnungkan dan dimuhasabahkan semula. Adakah semuanya sudah tercapai atau perlu memperbaharui dan menambaik matlamat kehidupan sedia ada.

Insha Allah, bermula tahun baharu 2016, akan memulakan tugas di stesen baharu. Setelah berbakti hampir 7 tahun di tempat kerja sekarang, maknanya di tahun hadapan memulakan semula rutin tugas dan tanggungjawab dengan mengadaptasi suasana yang berbeza.

Jadi, tempat kerja berlainan pada tahun depan maka perlu ada kenderaan alternatif kerana isteri akan menggunakan kenderaan sedia ada yang sekarang. Bermula pertengahan Oktober, saya melayari internet sambil bertanya kepada rakan-rakan memohon pandangan dan pendapat. Dan sempat juga membaca beberapa khabar bahawa harga kereta dijangka naik pada tahun 2016 atas desakan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia.

proton-perodua-vs-imported-cars-logo

Akhirnya, tanpa membuang masa saya membuat beberapa senarai semak dari segi harga, daya tahan prestasi, perkhidmatan servis, keselesaan dan paling utama menjimatkan minyak. Beberapa jenis model saya senaraikan antaranya Perodua Axia SE, Proton Iriz 1.3 Exc, Toyota Vios, Kia Rio, Honda City dan Nissan Almera.

Bermulalah aktiviti yang agak memeningkan dan memenatkan juga sebab kena buat pilihan yang betul-betul berpuas hati. Setelah berbincang dengan isteri dan segala pertimbangan, pilihan Perodua Axia dan Proton Iriz dipinggirkan kerana bukan tidak suka produk tempatan, tetapi ingin kelainan untuk merasai teknologi luar. Lagipun kenderaan sedia ada adalah keluaran tempatan. Sememangnya masih dalam keadaan baik cuma ada beberapa kelemahan yang dirasai setelah menggunakannya sekian lama. Selepas itu kajian diteruskan dan Kia Rio pula ditolak ke tepi selepas mendapat tahu bahawa alat gantiannya yang mahal dan tiada pusat servis yang terdekat.

0310gallery-01

Mulanya, memang berkenan habis dengan Kia Rio. Difikirkan semula, letak tepi atas beberapa kekangan. (Sumber: Kia Rio)

Maka, tinggal pula tiga jenama Jepun. Honda City, Nissan Almera dan Toyota Vios. Pengalaman menggunakan Honda City memang sangat mengujakan (milik bapa mertua). Tetapi bila membuat perkiraan harga, agak mahal juga untuk komitmen bulanan. Kebetulan di satu pusat beli belah berhampiran, Toyota Vios sedang membuat promosi akhir tahun. Sempat juga bertanya apa promosi yang dibuat dan perkiraan harga semasa. Nampaknya lebih kurang dengan Honda juga. Keesokkan hari, saya dan isteri serta anak-anak singgah Pusat Jualan Nissan. Terus dapat buat pandu uji. Sangat berpuas hati jika dibandingkan dengan perasaan memandu kereta sedia ada. Isteri pun memberikan komen yang positif. Setelah itu, mohon kepada salesman untuk memberi sedikit masa kepada kami beberapa hari untuk membuat keputusan.

Sampai di rumah, saya masih menghadap komputer seharian untuk membaca segala ulasan pengguna di laman-laman forum, laman blog peribadi, web pengulas kenderaan di Malaysia dan tidak terkecuali laman Youtube.

Ia memang satu aktiviti yang melenguhkan.

(Bersambung…)

Pocket : Mudahkan kehidupan.

Salam.

Hari ini saya ingin berkongsi tentang salah satu aplikasi ‘favourit’ saya sebagai pembaca dan pengguna internet yang aktif. Aplikasi tersebut dikenali dengan nama “Pocket” atau istilah lamanya sebelum ini yang lebih popular disebut sebagai “Read-It-Later”

Pocket 1

Sebagai pengguna internet, kekadang berlaku kekangan masa untuk membaca apa sahaja artikel yang kita minati. Akibat tugasan dan tanggungjawab harian, ada masanya kita tidak sempat menghabiskan bacaan ke atas artikel menarik yang kita baru jumpai. Ada sesetengah keadaan, hari ini kita jumpa satu artikel yang bagus namun akibat tergesa-gesa, kita terpaksa tutup laptop mahupun telefon android dan sebaik tugas selesai, kita sudahpun melupai laman web artikel tadi dan terpaksa mencari semula serta online semula.

Maka, jika sebelum ini saya menggunakan Bookmark pada laman Google Chrome untuk menyimpan bahan menarik, namun masalahnya adalah apabila menggunakan android, kita terpaksa memerlukan talian internet untuk membaca content yang telah disimpan dalam Bookmark.

pocket 2

Tetapi dengan adanya aplikasi “Pocket”, dunia pembacaan dan rujukan menjadi semakin mudah. Pengguna boleh membaca apa sahaja content yang telah disimpan dalam Pocket tidak kira artikel, gambar mahupun video (ini memerlukan talian internet) pada mana-mana medium yang berlainan melalui akaun yang sama walau di mana pengguna berada secara offline. Diulangi secara OFFLINE.

Kelebihan lain Pocket, pengguna boleh mengkategorikan bahan-bahan yang disimpan dengan menggunakan ‘tag’ dan membuat ‘categorize’ bagi memesrakan penggunaan. Maka, pengguna boleh menyimpan segala konten secara tersusun dan sistematik.

pocket 4

Buat pengetahuan, aplikasi Pocket ini dihasilkan oleh saudara Nathan (Nate) Weiner pada Ogos 2007 melalui browser Mozilla Firefox Extension dengan menggunakan istilah “Read It Later”. Kini, aplikasi Pocket telah tersedia dalam pelbagai platform seperti OS X, Windows, iOS, Android, Windows Phone, Blackberry, Kobo eReaders dan Webbrowsers.

Mengikut pencapaian, aplikasi Pocket telah dipilih dalam kalangan “Time’s 50 Best Android Applications” pada tahun 2013. Bagi yang baru berjinak, boleh muat turun aplikasi ini di www.getpocket.com.

Selamat mencuba. Semoga bermanfaat.