99 Cahaya di Langit Eropah (Buku)

DSC_0740~2

Di mana harus saya mulakan?

Ia adalah persoalan yang bersarang dalam diri beberapa hari selepas menghabiskan bacaan buku yang menjadi bestseller di Indonesia, 99 Cahaya di Langit Eropah.

Apa yang saya boleh jelaskan sememangnya kepuasan lebih terasa nikmatnya melalui pembacaan novelnya berbanding filem.

Buku ini adalah salah satu ekspresi penulis, Hanum Salsabiela berkongsi pencarian identiti diri melalui pendekatan yang berbeza iaitu dengan melihat jejak peninggalan keagungan Islam di bumi Eropah. Lebih kurang seribu tahun yang dahulu, dalam Eropah diselubungi era kegelapan namun di belahan sisi yang lain, Islam sedang berkembang dengan peradaban tinggi dikenali Era Pencerahan sehingga ia menjadi satu langkah awal dalam perkembangan Renaissance di Eropah melalui kota-kota seperti Cordoba dan Andalusia.

Dalam buku ini, Hanum memulai perjalanan penting beliau melalui pertemuan dengan seorang wanita Turki, Fatma Pasha yang telah banyak mengubah persepsi beliau tentang Eropah yang sebaliknya menyimpan mutiara berharga daripada peradaban Islam sebelumnya. Di samping itu, Fatma juga menjadi satu contoh ikon Muslimah yang bertindak sebagai agen dalam memperbetulkan persepsi orang bukan Islam melalui penerapan amalan kehidupan yang bercirikan nilai kemanusiaan yang tinggi sehingga banyak mengubah gaya hidup, pemikiran serta keperibadian penulis.

Oleh kerana saya menonton filemnya terlebih dahulu, maka melalui pembacaan novel ini jiwa dan minda terasa lebih puas kerana sorotan maklumat yang lebih lengkap berbanding filemnya yang hanya dapat dilihat segala persekitaran di belahan Eropah tersebut tanpa kita tahu apa kisah disebaliknya secara lebih mendalam. Maka, tidak menghairankan apabila sepanjang membaca novel ini saya duduk berhadapan laptop sambil melayari google untuk akses lokasi-lokasi yang dilawati oleh penulis serta bahan bukti yang ditinggalkan bagi menimbulkan rasa keterujaan dan realistiknya untuk bayangan imaginasi sendiri tentang apa yang dikongsikan.

Kara Mustafa Pasha

Pengembaraan Hanum bermula melalui gambar ini.

Potret Kara Mustafa Phasha yangterdapat di Muzium Wien Stadt, Vienna.

Sememangnya, daripada buku ini ada begitu banyak peristiwa yang menarik sekitar kejayaan peradaban Islam di sana dengan beberapa maklumat yang baharu sehingga membuatkan saya berasa takjub dan bangga sebagai seorang Muslim. Khususnya melalui pencerahan sejarah oleh seorang mualaf, Marion Latimer yang nyata sekali membuatkan diri saya berfikir, adakah ini benar mahupun ilusi? Fakta-fakta yang diberikan mempunyai bukti tersendiri sebagaimana pada lukisan Virgin Mary and the Child yang menyimpan kalimah tauhid, La Ilaha illallah pada kain kerudungnya yang tersimpan di Muzium Lourve, Paris.

Virgin Mary and a Child

Di samping itu, dalam pengembaraan penulis bersama Marion ini juga menemukan pelbagai hipotesis berkenaan latar belakang Napoleon Bonaparte. Adakah beliau beragama Islam?? Sehingga kini ia masih menjadi bahan perdebatan orang awam mahupun penyelidik.

Paris_IMG_4268

“Sekarang Hanum, Arc de Triomphe du Carrousel (gambar di atas) dibangun tak lama setelah Napoleon kembali dari ekspedisinya menaklukkan Mesir. Sekembalinya dari Mesir, menurut sebuah surat kabar saat itu, Napoleon menjadi begitu realigius (beragama). Banyak kutipan dalam sejarah yang mengatakan dia begitu mengagumi Al-Quran dan Nabi Muhammad saw”.

“Tapi kau tahu kan, ada sistem hukum yang dia buat sekembalinya di Paris, yang dia katakan terinspirasi dari pertemuannya dengan seorang imam di Mesir yang mengundangnya pada sebuah acara Islam? Dari situlah dia menelurkan apa yang disebut Napoleonic Code. Kalau dicermati, pasal-pasalnya senapas dengan syariah Islam”.

Antara sisi positif yang dapat diambil daripada buku ini adalah pentingnya seorang Muslim menjadi agen yang terbaik, menerapkan nilai-nilai keimanan dan kemanusiaan dalam amalan seharian kerana ia boleh menjadi satu medium perubahan pemikiran atau pandangan skeptikal sesetengah masyarakat bukan Islam tentang agama Islam yang dimomokkan dengan keganasan sekarang, lebih-lebih lagi olahan media barat yang semakin memburukkan persepsi tentang Islam dikaitkan dengan ekstremis. Ini digambarkan secara jelas melalui situasi bagaimana pendekatan berhemah dan bijak Fatma Pasha mengendalikan emosi apabila berhadapan beberapa orang pelancong yang memperolokkan dan menghina kerajaan Turki Uthmaniyyah melalui latar belakang roti croissant. Pendekatan diamalkan sangat menarik dan tepat.

Dalam masa yang sama, buku ini juga membuatkan pembaca berkeinginan dan teruja untuk mengambil tahu tentang sejarah peradaban Islam di Eropah sehingga sekarang ini, saya ingin mencari apa sahaja buku-buku yang menyentuh tentang sejarah Islam khususnya era Khilafiah Uthmaniyyah ataupun kerajaan Andalusia sendiri. Saya amat suka dengan pengalaman yang dilalui oleh Hanum dan suami ketika kembara ke wilayah Cordoba dan Granada, Sepanyol khususnya melalui temu bual bersama pemandu pelancong, Sergio.

Masjid Mezquita

Keindahan arkitekstur dalaman Masjid Mezquita, Cordoba.

Dan yang terakhir, apa yang saya dapat muhasabah daripada buku ini adalah bagaimana hidayah itu sememangnya milik Allah swt. Percikan keimanan itu boleh datang pada bila-bila masa dan waktu, di mana sahaja dengan keizinan-Nya. Ini digambarkan melalui cahaya keimanan disampaikan kepada individu seperti Marion Latimer dan penulis, Hanum sendiri yang akhirnya mulai menutup aurat berbanding sebelumnya.

“Seribu tahun Islam bersinar, lalu pelan-pelan memudar. Aku bertanya, mengapa?

Kerana sebahagian umat Islam sudah mulai melupakan apa yang telah dipendengarkan oleh Jibril kepada Muhammad saw pertama kali. Kerana kita terlalu sibuk bercumbu dengan kata jihad yang salah dimaknai dengan pedang, bukan dengan perantara kalam (pengetahuan).”

Sememangnya, umat Islam umumnya harus mempunyai agenda untuk mengembalikan kegemilangan Islam bukan melalui kekerasan atau senjata. Sebaliknya, mencapai semula peradaban Islam melalui ilmu pengetahuan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s