Fasa kehidupan = buku

Masa beredar dengan pantas. Jika dahulu berseorangan bujang teruna. Lepas memasuki alam rumahtangga, dari berdua kini sudah berlima. Syukur alhamdulilah atas segala nikmat dan pemberian rezeki oleh-Nya.

Seiring dengan perubahan masa, maka seiring itu juga perubahan usia dan minat. Jika dahulu leka diuliti novel pelbagai tema, tidak kira karya sasterawan sehingga penulis tunas dan muda, sekarang selera membaca juga sudah kelihatan jauh berubah rasanya. Pilihan buku setiap kali keluar dari kedai buku pun sudah bertukar genre. Sudah tidak sama.

Bila ada pesta buku ataupun pameran buku sememangnya tarikan selera terhadap buku sudah pelbagai. Lebih berhati-hati dan membuat penilaian dengan rinci.

Pada masa awal-awal pembacaan novel, nama penulis yang tidak asing dan pantas disambar untuk dibaca bukunya adalah Faisal Tehrani, Andrea Hirata, Tere Liye, Allahyarham Azizi Abdullah, Habiburahman el-Shirazy dan Isa Kamari. Di samping itu, pada masa tersebut juga saya lebih berselera membaca novel bercorak sci-fi ataupun thriller yang patuh syariah. Maka, tidak asing penulis dari kalangan PTS Fortuna menjadi pilihan saya. Di sini saya mengenali penulis berbakat seperti Khairul Nizam Khairani, Amir Husaini, Kushi Hirdan dan Ashadi Zain. Malangnya, sekarang PTS Fortuna sudah tidak berfungsi rasanya kerana sudah semakin sukar untuk melihat buku anak buah PTS ini di kedai buku.

Fasa pertama

Fasa Pertama (sebahagian lagi di rumah Mak). Buku Pilihan Terbaik.

Fasa Kedua

Sebahagian besar novel yang berada di rumah (terbitan PTS Fortuna)

Apabila berkawan dan berkenalan dengan individu yang mempunyai minat yang sama di laman blog (pada masa itu penangan blog sangat hebat sebelum kemunculan facebook), banyak hal-hal berkaitan buku dikongsi bersama oleh sesama rakan yang dikenali di laman maya. Mulai itu, saya mula mengenali buku penulis hebat lain yang sekarang menjadi favourite saya seperti Sri Rahayu Md Yusop, Nisah Haron, Anwar Ridhwan, Rahmat Haroun Hashim dan Hamka. Melalui kenalan ini saya mengenali Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Merantau ke Deli, Panggil aku Melaju, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Naratif Ogonshoto, Tawarikh Cinta, Rimba Jiwa, Impuls/Roh dan Lentera Mustika.

Buku agung penulis hebat

Senarai buku penulis pilihan

Apabila sudah menginjak alam rumahtangga, sambil novel menjadi tatapan selera tetapi pada masa yang sama pilihan buku mulai bercambah kepada buku berbentuk kekeluargaan dan keagamaan. Pada masa inilah, saya mula mengenali Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dengan buku tetralogi ‘Aku Terima Nikahnya’, Dr.Danial Zainal Abidin dengan kehebatan kandungan al-Quran dan Prof.Mohd Kamil Ibrahim yang terkenal dengan buku bestsellernya Travelog Haji. Dalam masa yang sama, hasil cadangan rakan dalam Goodreads saya membeli Aku, Buku dan Cinta buah tangan Dr. Aidh Abdullah al-Qarni. Daripada buku inilah, selera pembacaan dan pemilihan buku saya sudah semakin berubah dan lebih berhati-hati.

Bermula dari itu, saya mula membaca dan banyak menghadam buku keagamaan dari Indonesia. Alhamdulilah, diperkenalkan oleh rakan maya kepada kedai buku Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin, Kuala Lumpur menjadikan ia sebuah syurga baharu kepada saya sebagai penggemar buku. Di sinilah saya banyak menghabiskan wang dengan pembelian buku ataupun kitab ringkasan yang harganya yang memang menguji dompet. Mulai dari ini saya mula mengenali Dr. Muhammad al-Arifi, Dr. Yusof al-Qaradawi, Ibnu Jauzi, Syeikh Ahmad Farid, Imam Nawawi, Ibn Qayyim, Pramoedya Ananta Toer, Salim A.Fillah, Muhammad Fauzil Adhim, Amr Khaled dan ramai lagi. Selera ini semakin berterusan dan membarah apabila muncul pula penjual buku Indonesia secara online seperti Abu Ilkiya (fb) dan Atsar Enterprise. Daripada kitab-kitab fardhu ain, selera berubah sehingga kini mula mengumpulkan koleksi bacaan sejarah Islam.

Buku Indonesia

Kitab terjemahan Indonesia

Buku dan kitab terjemahan Bahasa Indonesia

Apabila keluarga semakin membesar, pilihan buku masih seperti sebelumnya namun telah bercambah pula kepada bidang-bidang lain khususnya motivasi, kewangan dan keibu bapaan. Dengan keaktifan penerbit seperti PTS yang banyak menerbitkan buku berkaitan pembangunan diri dan kewangan terjemahan daripada karya bestseller luar negara membuatkan saya mulai berminat dan mengikuti buku penulisan Robert Kiyosaki, Donald Trump, Stephen R. Covey dan Micheal J.Losier. Dalam masa yang sama, buku tulisan Azizi Ali juga tidak ketinggalan.

Buku terjemahan PTS

Koleksi buku-buku terjemahan PTS

Maka, sehingga kini selera pembacaan itu sudah semakin berubah-ubah. Keadaan ini nyata membuktikan kepada diri sendiri bahawa peningkatan umur sedikit sebanyak telah banyak mempengaruhi selera bacaan sekaligus pemilihan buku. Percayalah, situasi ini menyebabkan diri saya sudah mulai sesak nafas. Buku-buku yang suatu ketika dahulu dibeli dengan niat untuk membacanya sudah mulai berhabuk dengan isinya tidak sempat pun dihadam lagi. Bagaimana ya??

One thought on “Fasa kehidupan = buku

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s