Catatan seorang suami dan ayah

Newborn-feet-in-Dads-Hands

(Sumber : http://www.momendeavors.com/)

Alhamdulilah, syukur ke hadrat Ilahi kerana atas pemberian nikmat-Nya yang tak terhingga. Detik 9.10 malam haribulan 14 Ogos 2014 bersamaan 18 Syawal 1435H, isteri selamat melahirkan bayi kami yang ketiga.

Pada hari yang sama di sekolah, ketika waktu bekerja isteri sudah menampakkan tanda sakit di bahagian belakangnya. Sambil mengurut untuk meringankan bebannya, teringat juga berita seorang guru yang bersalin di sekolah beberapa hari sebelumnya yang mendapat perhatian di laman sosial. Sekembalinya ke rumah, isteri kepenatan tidur dan saya menguruskan dua lagi cahaya mata sulung yang sentiasa aktif dengan aktiviti lasak menceriakan isi rumah walaupun badan masih keletihan. Namun, semua keletihan minda dan fizikal hilang melihat keletah anak-anak yang sentiasa menghiburkan.

Detik pukul 5 petang, isteri mengaduh sakit di bilik tidur. Dari raut wajahnya yang dalam kesakitan, tanpa melengahkan masa, terus mempersiapkan segala keperluan yang sememangnya sudah tersedia di ruang tamu. Anak-anak ditinggalkan sebentar di rumah ibu bapa yang berhampiran. Ibu menemani kami ke hospital. Sepanjang perjalanan, isteri sesekali mengaduh sakit dan menarik nafas dalam beberapa kali. Dalam keremangan senja nan merah, sesekali pemanduan silau dengan pantulan cahaya yang masih basah di jalan raya. Dalam masa 25 minit, akhirnya terus ke Dewan Bersalin di Hospital Sarikei. Namun, isteri yang enggan masuk lebih awal membuatkan kami menunggu seketika di dalam kereta sehingga detik berlalu, saya dan ibu mengesyorkan isteri agar masuk berjumpa doktor melihatkan ‘contraction’ yang semakin rapat.

Lebih kurang pukul 6.15 petang, isteri memaklumkan sudah os 4cm kepada saya dan ibu yang sudah menunggu di luar wad. Namun, isteri sudah ditahan pihak hospital bersedia untuk bersalin. Apabila isteri kembali semula ke dalam wad, saya dan ibu menunggu dengan sabar di bahagian luar menanti keputusan seterusnya. Jam 8.05 malam, dimaklumkan isteri sudah os 6cm dan saya dipanggil oleh jururawat untuk mengisi borang kebenaran bagi menemani isteri bersalin. Saya diminta menunggu semula di luar wad sehingga mereka memaklumkan perkembangan seterusnya iaitu apabila isteri sudah os 8cm ke atas. Di luar wad, zikir Nabi Yunus a.s tidak lekang di bibir agar dipermudahkan segalanya. Zikir ini juga diperingatkan kepada isteri agar tidak lupa membacanya dalam kesakitan bersalin. Dalam kesempatan yang sama, rasa terima kasih kepada Pak Usu Dihi dan isteri sudi menghantar makanan kepada saya dan ibu yang sudah kelaparan menunggu.

Hampir 9.00 malam, jururawat memanggil dan membenarkan saya masuk. Ya Allah, hanya Dia yang Maha Mengetahui debaran di hati saya walaupun ini adalah anak yang ketiga. Perasaan dan debaran itu seolah-olah masih seperti dulu ketika kelahiran anak-anak sebelumnya. Apabila hampir sahaja ke bilik operasi, sudah kedengaran mesin mengesan bunyi bayi agak kuat sambil mendengar rintihan isteri yang dalam kesakitan. Allahu Rabbi..dalam hati berdoa agar semuanya selamat. Sebaik sahaja berada di hadapan pintu bilik tersebut, sudah kelihatan empat orang jururawat yang tengah bertungkus lumus menjalankan tugas mereka.

Saya diarahkan berada di sisi kiri isteri membantu memberikan sokongan dan dorongan untuk melakukan ‘push’ bagi memudahkan bayi kami keluar. Setelah hampir 5 minit, kepala bayi sudah mula keluar setengah dan pembantu jururawat beberapa kali memberikan dorongan untuk terus melakukan peneranan dan dalam masa yang sama saya menyokong isteri untuk membuat peneranan dengan lebih kuat dan memberi semangat bahawa bayi sudah hampir keluar sepenuhnya kerana isteri sudah menunjukkan tanda kelelahan. Setelah beberapa detik, akhirnya bayi kami selamat bersalin sepenuhnya tepat 9.10pm. Ya Allah, dalam hati rasa penuh syukur dan takjub dengan kejadian ciptaan Allah swt setelah 9 bulan isteri menanggung kandungan yang membesar saban hari.

Tangisan bayi pun mula kedengaran menandakan satu amanah perlu dipikul oleh kami kedua-dua ibu bapanya berlandaskan syariat Islam. Lahirnya juga menandakan kami juga sudah mula jauh meninggalkan kehidupan lalu. Meneruskan saki baki kehidupan dengan perjuangan tanpa lelah membesarkan anak-anak agar ia menjadi saham dunia dan akhirat.

Setelah selamat dilahirkan, saya diminta untuk menunggu semula di luar wad sehingga bayi dibersihkan dan isteri mendapat rehat untuk di bawa ke aras berlainan dalam wad tersebut. Sebaik sahaja selesai, saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah mengazankan di sebelah kanan bayi dan mengiqamatkan bayi di sebelah kiri menandakan kalimah tauhid adalah yang pertama didengarnya dan ditancap dalam hati serta jiwanya. Dalam hati berdoa, semoga engkau menjadi anak dan mukmin yang solehah.

Wahai anak, jika engkau membaca nukilan ini sesungguhnya ayah dan ibu mengharapkan dirimu memahami derita dan sakitnya ibumu melahirkan kamu semua. Semoga hasil tulisan ini membuatkan anak-anak tabah dan bersemangat menempuhi kehidupan. Ingat Allah itu Maha Berkuasa atas segala kejadian di atas bumi dan sekalian alam.

4 thoughts on “Catatan seorang suami dan ayah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s