POLITIK KANDANG : George Orwell (ITBM)

 

George Orwell

POLITIK KANDANG. TERBITAN ITBM 2014

Sebenarnya sudah lama hajat untuk memiliki buku ini setelah membaca review daripada rakan-rakan buku di laman Goodreads. Alhamdulilah, dalam merencana senarai buku untuk PBAKL’14 sebagaimana yang saya kongsikan di sini, pihak ITBM telah menguar-uarkan buku ini di laman web mereka. Tanpa teragak-agak buku ini terus disenaraikan untuk pembelian di PBAKL’14.

Walaupun muka depan buku ini kelihatan kusam, mungkin inisiatif pihak ITBM untuk mengekalkan nilai nostalgia kerana buku ini adalah sebuah buku klasik yang diterjemahkan daripada karya asalnya, Animal Farm yang telah diterbitkan 1945, ia memiliki inti yang sarat dengan pelbagai makna khususnya kepada orang politik. Dan memang tujuan penulisnya untuk menghasilkan buku ini sebagai satu satira politik menyindir kepada situasi Revolusi Russia pada tahun 1917 sehingga era awal Stalin. Tetapi ia tetap relevan dengan simptom budaya politik sekarang sama ada dalam mahupun luar negara.

Kisahnya bermula apabila Si Major Tua (seekor babi tua) telah menghimpunkan semua binatang dalam Ladang Manor pada suatu malam dengan ucapan penuh inspirasi dan kontroversi untuk mengajak semua berusaha untuk menyingkirkan manusia dalam kehidupan mereka yang telah selamanya menindas segala apa yang dimiliki para binatang dan pengakhiran kehidupan yang gelap di ladang sembelihan. Antara bait kata Si Major Tua adalah ;

“…Aku cuma mahu mengingatkan sekali lagi, selalulah ingat akan kewajipan kalian untuk membenci manusia dan segala tingkah laku mereka. Setiap sesuatu yang berjalan dengan dua kaki adalah lawan. Setiap sesuatu yang berjalan dengan empat kaki, atau yang memiliki sayap, adalah kawan. ~~Dan, paling penting jangan ada seekor pun binatang menzalimi bangsanya. Lemah atau kuat, pintar atau bodoh, kita semua adalah saudara. jangan ada satu binatang pun yang membunuh binatang lain. Semua binatang adalah sedarjat”

Dalam masa yang sama, Si Major Tua juga memimpin lagu pemberontakan Satwa England yang dinyanyikan secara bersama-sama dengan penuh riang dan bersemangat oleh semua binatang yang hadir, akhirnya diakhiri dengan ledakan senapang oleh tuan ladang, Tuan Jones yang terjaga dari tidur akibat suara binatang yang bingit dengan pelbagai bunyi pada malam itu.

Apabila ditakdirkan Si Major Tua meninggal dunia, kepimpinan revolusi para binatang diteruskan oleh Snowball dan Napolean, dua ekor babi muda yang mempunyai wawasan tersendiri.  Detik kisah dalam buku ini bermula dari era kepimpinan dua pemimpin muda tersebut sehingga membawa kemenangan kepada mereka dalam menyingkirkan Tuan Jones dari Ladang Manor dan semenjak itu juga ladang tersebut ditukarkan namanya kepada Ladang Binatang. Pemberontakan ini ternyata menakutkan para peladang bersebelahan kerana bimbang terpengaruh dengan kemenangan pihak binatang. Daripada inilah pembaca akan dihidangkan dengan aksi-aksi yang mungkin melucukan terutama melalui setiap perwatakan dalam mengusahakan dan memajukan ladang tersebut.

Di samping itu, pembaca juga merasai sendiri sindiran George Orwell melalui watak-watak yang ada kepada sikap dan nilai orang politik seperti nilai hasad dengki, fitnah, korupsi, salahguna kuasa, penipuan dan penjilat kata-kata. Maka, melalui plot yang dibina pembaca mempunyai ruang untuk berfikir dan membandingkan segala apa yang diceritakan dengan realiti semasa dalam dunia politik. Apa yang saya suka, penulisan Orwell dalam menghasilkan karya ini membuatkan pembaca tidak boleh berhenti daripada satu bab ke bab yang seterusnya kerana beliau bijak memancing untuk menarik pembaca untuk terus berkeinginan tahu apa yang berlaku seterusnya. Tidak asing pembacaan buku ini boleh usai dalam satu hari.

Menurut Wikipedia, Majalah Time memilih buku ini sebagai salah satu daripada 100 novel bahasa Inggeris terbaik (1923 hingga 2005), ia juga menduduki nombor 31, Senarai Novel Terbaik Abad ke-20 Perpustakaan Moden. Ia telah memenangi Anugerah Retrospektif Hugo dalam tahun 1996, dan juga disenaraikan ke dalam Pemilihan Buku Terbaik Dunia Barat.

Tahniah kepada ITBM atas terjemahan buku ini. Sebuah lagi karya terjemahan klasik yang terbaik selepas Dunia Sophie. Diharapkan pihak ITBM terus melaksanakan tanggungjawab dalam menerbitkan karya agung di masa akan datang bagi melahirkan rakyat yang matang dari segi paradigma pemikiran dan jiwa.

Advertisements

4 thoughts on “POLITIK KANDANG : George Orwell (ITBM)

  1. P/S: Buku saya Kumpulan Cerpen Remaja: Tetamu Istimewa terbitan ITBM, 2014 dah baca ke? Kalau berminat boleh pesan terus dengan saya. Maklumat lanjut boleh baca di blog saya. Terima kasih.

  2. Hari itu masa di PBAKL14 ada nampak bukunya. Insha Allah nanti boleh dapatkan dari saudara. Tahniah daripada saya. Kagum seorang guru boleh menghasilkan karya. Harap sudi berkongsi tips.. 🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s