IKON SYABAB. Ustaz Umar Muhammad Noor

Bukunya nipis.

Tetapi intinya sarat dengan hikmah.

Khusus untuk para pemuda.

Meneladani tokoh-tokoh hebat dalam era kegemilangan Islam.

Ikon Syabab. Telaga Biru

Ikon Syabab. Telaga Biru

Buku terbitan Telaga Biru hasil pena Ustaz Umar Muhammad Noor ini merupakan salah satu karya yang perlu dimiliki oleh semua khususnya para pelajar. Memang tidak asing dengan tulisan penulisnya yang cukup dikenali sebagai seorang editor penting, Majalah Al- Ustaz dan kolumnis tetap di Majalah Solusi dan Gen-Q.

Jika mengamati penulisan beliau di Majalah Gen-Q, pembaca dapat mengagak perkongsian penulis lebih kepada sejarah keperibadian dan kehebatan para salafus soleh dalam menegakkan syiar Islam dalam kehidupan.

Ikon Syabab. Ikon boleh didefinisikan sebagai seseorang yang dijadikan contoh atau suri teladan. Manakala Syabab adalah pemuda. Maka, istilah ini boleh difahami maksudnya yakni tokoh-tokoh pemuda Islam yang layak menjadi ikutan remaja Islam khususnya. Sebagaimana menurut penulis di awal tulisannya,

“…Tanpa ikon yang menjadi ikutan, seorang remaja boleh karam dalam lautan hiburan yang melalaikan”.

Sesungguhnya, penulis banyak menghidangkan kisah-kisah salafus soleh dalam buku ini dengan membahagikan kepada empat bahagian iaitu Indahnya Masa Muda, Bersama Ibu Bapa, Guru dan Teman, Motivasi Pemuda dan Pemuda Belajar. Dalam Bahagian I, penulis banyak berkongsi bagaimana para pemuda Islam terdahulu memanfaatkan masa muda dengan sebaik-baiknya untuk mendapatkan keredhaan Allah swt. Di samping itu, penulis juga menyelitkan berkenaan kisah yang perlu dijadikan peringatan dan teladan seperti diceritakan oleh Imam Abdul Haq al-Isybili tentang seorang pemuda yang tergoda dengan kecantikan wanita.

Bahagian II pula berkisar tentang hubungan ibu bapa-anak, guru-pelajar dan sesama teman. Dalam bahagian ini, penulis lebih banyak menegur samada secara langsung dan tidak langsung kepada golongan yang menuntut ilmu iaitu pelajar. Dalam setiap kisah-kisah dipaparkan, penulis mengambil kesempatan untuk menambahkan ulasan dalam bentuk teguran dan peringatan kepada pelajar terutamanya dalam menuntut ilmu. Dan sebagai seorang guru, apa yang dinyatakan oleh penulis sememangnya dilihat dengan mata saya sendiri yang berhadapan dengan pelajar yang tidak menghormati ilmu yang disampaikan apabila ada pelajar yang suka bersikap ‘berasa sudah tahu’ dan perasaan tidak suka atau benci kepada guru.

Bahagian III, penulis membincangkan tips-tips kepada remaja agar terus bersemangat menuntut ilmu walaupun dihadapi pelbagai halangan dan cabaran nafsu. Antara tips yang dikongsikan yang saya rasa perlu diambil sebagai motivasi adalah daripada kata-kata Imam As-Syafi’i iaitu

“…Sesiapa yang ingin Allah membuka dan menerangi hatinya, maka jauhilah ucapan yang tidak berguna, tinggalkan dosa dan maksiat dan hendaklah dia memiliki ibadah tersembunyi antara dirinya dengan Allah swt”.

Bahagian terakhir, menjurus kepada kelebihan ilmu, adab-adab dengan ilmu dan pentingnya penguasaan bahasa Arab. Yang menjadi tarikan saya dalam bahagian ini adalah bagaimana penulis berkongsi tentang bagaimana pelajar bukan Islam khususnya dari negara Jepun, Korea, Hungary dan UK begitu giat mempelajari bahasa Arab demi kelangsungan hidup untuk merebut kemajuan karier di negara Arab yang kini berlumba-lumba membuka pasaran ekonomi. Dalam kesempatan yang sama penulis menyindir kepada orang Islam jika pada suatu masa nanti tidak pelik orang bukan Islam lebih mahir berbahasa Arab berbanding orang Islam.

Secara keseluruhannya, saya merasakan ini adalah satu-satunya buku yang terbaik dalam mengisahkan keteladanan kehidupan para salafus soleh dengan bicara yang agak santai, namun sarat dengan makna yang mendalam. Sebelum ini, saya pernah membaca buku seumpama ini menerusi hasil pena Syaikh Abdu Fattah. Kepada para pelajar, anda harus memiliki dan membaca buku ini.

“Ilmu memperkenalkan kita kepada Allah, Rasulullah, hari akhirat, cara beribadah dan sebagainya. Tanpa ilmu, kita tidak berbeza dengan haiwan yang hidup hanya untuk makan, tidur dan berkahwin. Mereka yang tanpa ilmu tidak mempersiapkan dirinya untuk hari pembalasan sehingga suatu hari nanti akan mati dengan penuh penyesalan.” (Ustaz Umar Muhammad Noor)

“Sesiapa yang menginginkan dunia, maka kuasailah ilmu. Dan sesiapa yang menginginkan akhirat, maka kuasailah ilmu” (Imam asy-Syafi’i)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s