ULASAN BUKU : LEAVING MICROSOFT TO CHANGE THE WORLD

LEAVING MICROSOFT TO CHANGE THE WORLD (Edisi Bahasa Melayu)

Penulis : John Wood

Penterjemah : Tuan Iskandar Syah Ismail

Secara lumrahnya, seseorang insan yang sudah memiliki segala apa yang didambakan yakni pekerjaan yang hebat, gaji yang lumayan, kereta beserta pemandunya sekali, opsyen saham dan kebebasan penuh melawat seluruh dunia yang dibiayai sepenuhnya oleh majikan sudah pasti akan merasakan kebahagiaan atas apa yang sudah dicapai dalam kehidupan dunia. Namun, segalanya tidak beerti kepada seorang jejaka yang sanggup meninggalkan segalanya demi menubuhkan sebuah organisasi amal untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah mendapatkan pendidikan,

John Wood. Begitulah nama yang diberi kepada jejaka tersebut yakni bekas pegawai pemasaran syarikat Microsoft di China. Langkah beliau untuk meninggalkan syarikat Microsoft dalam keadaan yang cukup selesa dan serba mencukupi mungkin dikatakan sebagai tindakan gila oleh sesetengah masyarakat. Semuanya adalah demi satu gagasan yang murni.

Kisah inspirasi ini bermula apabila John Wood bercuti di salah satu daerah di Nepal. Di sana, beliau berkenalan seorang nazir sekolah, Paspupathi yang mengajak untuk melawat di salah satu sekolah di kawasan tersebut. Apa yang menyedihkan beliau adalah apabila terdapat sebuah perpustakaan sekolah yang tidak memiliki apa-apa kecuali beberapa buah buku yang diberikan oleh pengembara sebelumnya tetapi dikuncikan dalam sebuah almari. Alasan guru besarnya adalah demi menjaga buku-buku itu daripada kerosakan ataupun hilang oleh para pelajar. Maksudnya pelajar tidak mendapat akses buku tersebut sebagaimana dinamakan perpustakaan.

Sekembalinya daripada percutian, John Wood mengambil keputusan nekad untuk meletak jawatan di syarikat Microsoft dan menubuhkan sebuah NGO bebas yang lebih dikenali dengan “Room To Read” iaitu sebuah pertubuhan yang membekalkan buku-buku dan mendirikan perpustakaan sekolah di kawasan pergunungan Nepal.

Bermula daripada episod ini, pembaca akan didedahkan dengan kaedah pengurusan organisasi yang digunakan oleh John Wood dalam menguruskan pertubuhan yang baru bermula dengan cara ala-ala Microsoft. Maka, pembaca akan melihat sendiri bagaimana usaha dan kerja keras yang dilakukan oleh beliau yang dilakukan secara bertahap-tahap akhirnya membuahkan hasil yang sangat menakjubkan. Melalui bahagian ini juga pembaca akan mengenali secara lebih dekat kaedah atau teknik mengumpul dana bagi membiayai sesuatu projek. Apa yang menarik saya adalah dengan keikhlasan dan keterbukaan masyarakat Barat dalam  nilai MEMBERI tanpa rasa berbelah bahagi kepada golongan yang mereka rasakan perlu diberi pertolongan dengan angka-angka derma yang cukup luar biasa. Ia bukan sahaja dilakukan oleh orang dewasa malahan kanak-kanak juga begitu bersemangat untuk mencari dana dengan inisiatif sendiri untuk membantu organisasi Room To Read. Mungkin inilah sisi positif dalam kehidupan Barat yang boleh dijadikan sebagai teladan walaupun dalam agama Islam nilai ini sudah ditekankan sendiri oleh Allah swt.

Setelah beberapa tahun, operasi Room To Read telah berkembang dengan maju di serata dunia apabila mereka telah membantu menyediakan kemudahan pendidikan di negara-negara selain Nepal seperti Sri Lanka, Kemboja, Vietnam, Afrika Selatan, Laos dan India. Semua kejayaan ini adalah hasil bantuan dana daripada orang ramai dan pasukan-pasukan Room To Read sendiri yang berkerja dengan penuh dedikasi dan ikhlas dalam tugasann masing-masing.

Banyak pelajaran yang dapat dikongsikan oleh John Wood dalam buku ini. Antaranya adalah apabila ingin melakukan sesuatu keputusan, janganlah bertangguh untuk melaksanakannya. Sikap bertangguh bisa menjadi punca kepada kegagalan sesuatu keputusan. John Wood turut berkongsi bahawa setiap manusia berjaya hendaklah menanamkan cita-cita yang besar untuk dicapai agar keupayaan yang diusahakan mampu seiring dengan kejayaan yang ingin digapai. Ternyata, dari puncak ketinggian Himalaya, kini gagasan Wood melebar luas di seluruh dataran untuk kanak-kanak miskin, melalui ilmu yang terdapat dalam lipatan buku-buku.

Tahniah kepada penterjemah, Tuan Iskandar Syah Ismail kerana memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk membaca kisah inspiratif ini dalam bentuk bahasa Melayu yang cukup menyakinkan. Semoga usaha sebegini diteruskan untuk membuka minda dan memandaikan bangsa.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s