Aku Seorang Muslimah-Muallaf

Mungkin ramai yang mengenali Muhammad Ali dan Yusuf Islam. Kedua-dua tokoh ini amat berjaya dalam bidang masing-masing. Muhammad Ali merupakan jaguh dalam bidang sukan tinju. Manakala saudara Yusuf Islam yang pada suatu ketika lebih dikenali sebagai Cat Stevens adalah seorang penyanyi yang cukup diminati oleh semua golongan. Namun, kini beliau telah menjadi seorang Muslim dan begitu aktif menyampaikan dakwah dalam bentuk seni nyanyian.

Sangat bersyukur atas kembalinya mereka ke jalan yang benar. Sebenarnya lebih ramai tokoh-tokoh lain yang turut menjejak langkah yang sama dengan memeluk agama Islam. Maka, apa yang saya ingin bingkiskan di sini adalah perkongsian saya hasil pembacaan sebuah buku yang bertajuk “Aku Seorang Muslimah-Muallaf”. Melalui buku tersebut, secara dekatnya saya memahami situasi yang dihadapi oleh seseorang muallaf yang hidup di negara yang majoriti komunitinya adalah bukan beragama Islam.

Buku ini adalah catatan peribadi seorang wanita sepanjang kehidupannya menjadi seorang Muslim muallaf di negaranya sendiri yakni, Britain. Dengan usia yang masih muda iaitu 19 tahun, penulisnya Lucy Bushill-Matthews telah mengambil satu keputusan berani untuk menukar agama anutannya daripada agama Kristian kepada agama Islam. Keputusan ini seperti jangkaan pembaca iaitu mendapat respon yang kurang mesra daripada keluarganya sendiri. Walau bagaimanapun, apa yang saya kagumi adalah apabila ahli keluarga mereka tidak membentak secara melampau sebaliknya menerima keputusan anak mereka dengan sedikit aman. Peristiwa ini disampaikan dalam bentuk satu situasi yang agak mendebarkan iaitu ketika menikmati makan malam.

Ketika itu, Lucy merupakan graduan yang masih menuntut di Universiti Cambridge. Mengejutkan, Lucy juga telah mengambil keputusan untuk menikah pada usia muda dengan calon pilihannya, Julian (seorang berketurunan Iran). Maka, seterusnya pembaca dihidangkan dengan rentetan peristiwa yang memaparkan suka-duka Lucy dalam menempuhi kehidupannya sebagai seorang Muslim. Seperti anak yang baru lahir, Lucy begitu rajin berusaha untuk mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama khususnya penguasaan bahasa Arab agar dia dapat membaca surah al-Fatiha. Membaca surah al-fatihah adalah syarat sah dalam solat. Maka, dia sentiasa berusaha sehingga berjaya malahan memahami dan menghafal terjemahannya. Keupayaan ini telah memberikan satu paksi positif kepada pembaca bahawa mereka yang baru memeluk Islam tapi sudah mampu menguasai kefahaman mereka tentang pengertian sesuatu surah. Alangkah malunya jika yang dilahirkan sebagai seorang Islam tapi masih gagal menandingi keupayaan tersebut.

Nyata sekali, kehidupan sebagai seorang muallaf di Britain memberikan banyak cabaran kepada Lucy dalam memahamkan insan di sekitarnya tentang Islam walaupun ada yang juga cuba berpandangan sinis dan berbaur keagamaan kepadanya. Melalui pengalaman-pengalaman ini membuatkan pembaca seolah berada di tempat kejadian dan sekaligus memahami apa yang berlaku.

Dari seorang remaja sehingga melahirkan 3 orang anak, banyak perkara yang dikongsikannya bersama pembaca. Antaranya tentang sambutan orang sekeliling kepada gaya hidupnya sebagai seorang Muslim juga kepada anak-anaknya. Pelbagai peristiwa yang terkadang agak meriangkan, lucu malahan juga membuatkan pembaca terkedu seperti peristiwa anak gadisnya yang masih kecil telah memakan daging khinzir ketika sesi persekolahan di mana makanan yang ada sudah disediakan oleh pihak sekolah. Walaupun perkara ini sudah dimaklumkan dengan lebih awal lagi, namun ia tetap berlaku juga. Maka, Lucy memerlukan banyak ketabahan dan kesabaran dalam membimbing anak-anaknya yang nyata sekali mengalami kekeliruan pegangan akibat sekelilingnya yang menuntut kepada perbezaan yang nyata.

Melalui buku ini sebenarnya, ia disusun dengan begitu rapi dan ini memudahkan pembaca menghadami isi yang ada sekaligus menjadikan ia pembacaan yang agak santai walaupun isinya kelihatan sedikit berat. Antaranya bab ketika awal memeluk Islam, ketika penikahan dan pemakaian tudung, pengembaraan di negara orang khususnya negara Islam seperti Indonesia, Arab Saudi dan Iran, perjalanan haji dan pengalaman sebagai ibu muda Islam.

Banyak yang dapat dilihat melalui pembacaan buku ini. Di samping itu, pembaca juga akan berasa kagum dengan semangat penulis ini dalam menegakkan syiar Islam di negaranya sendiri. Contohnya perkongsian penulis dengan rakan-rakan untuk membuka madrasah sendiri demi kepentingan akidah anak-anak yang masih kecil serta memberikan ceramah dan syarahan umum di sekolah, di pejabat mahupun kepada kelompok tertentu untuk memahami apakah Islam dan kaum Muslim itu sendiri.

Tajuk : Aku Seorang Muslimah-Muallaf

Penulis : Lucy Bushill-Matthews atau kunjungi

http://www.lucybushillmatthews.com/Home.htm

Penerbit : Lentera Hati

Lokasi pembelian : Fajar Ilmu Baru, Kuala Lumpur.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s