BUMI CINTA – Resensi

Alhamdulilah, novel BUMI CINTA dapat diusaikan dalam masa 2 hari. Bermula pada malam raya dan habis pada petang Syawal ke-2.  Sememangnya sudah tidak asing lagi bahawa karya kang Abik sentiasa mengugah jiwa dan menggetarkan minda pembaca.  Sebelumnya, Kang Abik amat dikenali melalui kemasyhuran novel Ayat2  Cinta dan ketika cinta bertasbih. Kedua-dua novel ini pun sudah ditayangkan kepada bentuk visual yakni filem.  Ternyata sambutan amat memberangsangkan. Namun, sebagai seorang pembaca karyanya, kenikmatannya lebih terserlah melalui pembacaan novel Kang Abik berbanding dengan layar perak.
Bagi peminat Kang Abik, BUMI CINTA mungkin terdapat sedikit kelainan dari segi latar tempat dan plotnya. Ini adalah kerana novel beliau kali ini mengambil setting di negara Rusia iaitu antara negara yang paling bebas di dunia. Jika kita pernah mendengar berkenaan bandar Amsterdam sebagai salah satu bandar yang menghalalkan semua perkara yang terlarang di negara lain seperti industri pelacuran dan penggunaan dadah dan ganja, tetapi Rusia adalah sebuah negara yang lebih dahsyat dari segi kerendahan moralnya kerana kebanyakan rakyatnya berfahaman seks radikal sebagaimana menurut penulis di halaman muka. Inilah perbezaannya jika dibandingkan dengan karya Kang Abik sebelum ini yang lebih banyak berkisar kepada negara Timur Tengah.
BUMI CINTA mengisahkan tentang seorang pemuda Indonesia bernama Mohd Ayyas yang ingin membuat kajian berkenaan kehidupan orang Islam di zaman moden di Rusia. Maka, sepanjang Ayyas berada di Moscow, pelbagai dugaan dan cabaran yang beliau hadapi dalam mempertahankan keimanan dan ketaatannya kepada Yang Maha Esa. Corak kehidupan di Rusia ternyata satu kejutan kepadanya lebih-lebih lagi apabila beliau terpaksa menyewa di sebuah apartmen yang dikongsi oleh dua wanita muda Rusia yang cantik iaitu satu situasi yang cukup menggetarkan keimanannya daripada melakukan perkara yang terkutuk. Maka, Ayyas telah diperkenalkan kepada beberapa watak penting yang lain antaranya Yelena (rakan sewa dan seorang pelacur atasan), Linor (wartawan dan agen perisik Mosad serta sering menggoda Ayyas untuk melakukan kegiatan tidak bermoral/ rakan sewa), Prof. Anastasia (pembimbing Ayyas dalam membuat kajian dan mempunyai perasaan cinta kepada Ayyas) dan watak-watak lain seperti Pak Joko dan Deivid.
Apa yang menarik berkenaan novel ini adalah bagaimana watak-watak penting ini mengalami kecelaruan dan konflik keimanan mempertahankan maruah, pegangan dan kepercayaan diri. Maka, pembaca akan didedahkan dengan perjuangan Ayyas melawan ajakan nafsu yang sentiasa mengoncang keimanannya kepada Allah swt.  Ayyas juga bertanggungjawab dalam menjelaskan bahayanya kefahaman ateisme iatu satu fahaman yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan sebagaimana yang dialami oleh Yelena. Seterusnya, pembaca akan mengenal kepelbagaian jenis ateisme yang dihuraikan oleh Kang Abik melalui watak Ayyas secara terang dan jelas. Tambahan lagi, pembaca turut dibuka mindanya dan disedarkan dengan keajaiban dan keagungan al-Quran melalui penerangan secara mudah oleh Ayyas dalam menguatkan hujahnya dan memberikan kefahaman kepada yang tidak mengetahui kehebatan al-Quran yang dibuktikan dengan keislaman oleh beberapa tokoh sains dan akademik yang sebenar.
Selain itu, apa yang saya kagumi kepada penulisan Kang Abik kali ini adalah dengan penceritaan secara terperinci berkenaan kawasan bandar Moscow. Saya tidak tahu samada Kang Abik membuat kajian untuk menulis novel ini dengan benar-benar pergi ke ibu kota Rusia tersebut ataupun melalui pembacaan beliau daripada pelbagai sumber. Maka, dengan ini pembaca dapat menghayati dan membayangkan situasi yang berlaku di bandar ini. Kang Abik memberikan butir secara jelas tentang jalan-jalan di Moscow, sistem aliran transit ringannya, restoran-restoran yang ada dan pusat pelancongan penting di sana. Untuk penghayatan dengan lebih mendalam, Kang Abik juga menyatakan dialog-dialog dalam bahasa Rusia yang disertakan dengan nota kaki untuk memudahkan rujukan pembaca. Di samping itu, dalam novel ini pembaca juga dapat mengenali beberapa menu penting makanan Rusia sebagai pengetahuan. Penulis  turut memberikan input berguna apabila membaca bahagian pembantaian masyarakat Islam di Shatila dan Sabra pada tahun 1982 oleh rejim Zionis. Ternyata ini telah mengembalikan nostalgia pahit kepada pembaca berkenaan situasi yang begitu zalim dilakukan oleh askar Yahudi ke atas masyarakat Palestin yang tidak berdosa. Dan ini sedikit sebanyak melahirkan perasaan simpati kepada rakan Islam kita di sana yang sehingga kini masih ditindas tanpa belas kasihan oleh pihak yang sama.
Sesungguhnya,  saya amat mengagumi kreativiti dan daya penulisan Kang Abik dalam menghasilkan novelnya. Dalam menyampaikan sebuah cerita, sudah pasti terselit ilmu-ilmu berguna dalam mendidik jiwa dan minda pembaca untuk diselami agar sentiasa sedar keagungan Allah swt. Walau bagaimanapun, setelah membaca setebal 722 muka surat ini, pembaca mungkin sedikit kecewa kerana epilognya seolah-olah tergantung dan memerlukan sambungan lanjut. Namun begitu, masih terasa puasnya dan sekarang tidak sabar jika ada sambungannya daripada Kang abik. Harap begitu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s