Cinta Agung : Mamu dan Zein

Di Malaysia ini khususnya, mungkin semua orang telah mengenali kisah percintaan agung antara manusia seperti kisah cinta Romeo dan Juliet yang disebarkan melalui peradaban Barat, Laila dan Majnun dari wilayah Arab serta episod cinta di India yang memaparkan perhubungan jiwa dan hati Rama dan Shinta. Namun demikian, amat jarang kita mendengar satu lagi tragedi cinta yang mendebarkan dan tragis iaitu melibatkan kisah Mamu dan Zein yang amat popular dalam kalangan masyarakat Kurdis.

Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthy

Kisah percintaan ini bisa sahaja dibaca dan dinikmati nilai-nilai kesejatian cinta dalam buku Pengantin Surga yang ditulis oleh seorang ulama terkenal yakni Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buthy. Beliau adalah seorang ulama yang kini bertugas di Universiti Damascus, Syria. Keilmuannya yang tinggi dan memiliki pemikiran yang tajam membuatkan beliau adalah seorang tokoh Islam yang amat produktif dalam menghasilkan karya tulisannya dalam pelbagai bidang seperti syariah, sejarah dan peradaban, falsafah dan  sosiologi. Menariknya tentang buku Pengantin Surga ini adalah kerana ia merupakan karya pertama dan satu-satunya buku sastera yang ditulis oleh Dr. Said Ramadhan sepanjang hidupnya kini dan ia ditulis ketika beliau masih lagi belum berusia 14 tahun. MasyaAllah..

Pengantin Surga mengambil kisah percintaan dari sebuah kerajaan jazirah Buton yang terlerak di utara Iraq. Ia mengisahkan bagaimana kerajaan tersebut dipimpin oleh seorang putera yang dikenali sebagai Zainuddin. Kerajaannya amat luas dan memiliki pengaruh yang kuat dengan aset kekayaan melimpah ruah. Di samping itu, di sebalik semuanya Zainudin memiliki dua orang adik perempuan yang memiliki kecantikan yang luar biasa sehingga mereka terkurung di istana dengan kawalan yang cukup ketat dan buktinya, tidak seseorang pun yang mengenali rupa fizikal mereka kecuali dikenali dengan nama mereka yang cukup gah di bibir rakyat jelata. Semuanya hanya boleh berfantasi dengan kecantikan luar biasa itu. Mereka ialah Siti dan Zein. Bagaimana luar biasa rupa paras fizikal mereka hanya penulis sahaja yang mampu mengungkapkannya dengan ayat yang begitu berseni dan bermain-main dalam menjana imaginasi pembaca.

Percintaan agung ini bermula apabila kedua-dua adik beradik tersebut mencuri keluar dari istana ke satu pesta dengan melakukan penyamaran sebagai lelaki agar mereka bisa menemukan seseorang yang boleh dijadikan pendamping hidup. Mereka telah menemukannya, iaitu dua sahabat karib Tajudin dan Mamu yang menyamar sebagai perempuan untuk mencuri masuk ke istana ingin melihat sendiri keindahan dua beradik kerajaan Buton. Ia juga bermakna bermula episod hitam dalam kehidupan mereka khususnya antara Mamu dan Zein. Kisah Siti dan Tajudin berbeza kerana hubungan mereka direstui oleh putera Zainuddin atas persamaan taraf.

Malangnya, jodoh Mamu dan Zein tidak kesampaian atas perbezaan latar belakang dan menyebabkan putera Zainudin tidak memperkenankan mereka. Semuanya berpunca daripada sifat keji dan tipu daya oleh si batu api, Bakar sehingga mempengaruhi pemikiran dan setiap tindakan putera kerajaan itu. Akibatnya, Mamu dan Zein masing-masing mengalami kepahitan cinta dan penderitaan akibat kerinduan yang tidak berkesudahan. Dengan kelicikan pembantu putera Zainudin iaitu Bakar menyebabkan Mamu terperosok ke dalam penjara bawah tanah selama satu tahun. Manakala Zein hanya dapat menanggung kesedihan dengan dugaan jiwa yang begitu hebat sehingga mengalami kondisi yang mengundang simpati sesiapapun akibat gejolak perasaan yang tidak tertanggung dengan nasib Mamu dan jodoh antara mereka.

Semenjak dimasukkan ke dalam penjara, Mamu mulai sedar akan takdir yang menimpa dirinya dan sekaligus insaf dengan kesilapannya mengejar cinta dunia yang hanya bersifat sementara. Saban hari Mamu hanya bermunajat dan berdoa kepada Allah swt kerana hanya Yang Maha Berkuasa adalah cinta yang paling agung untuk dicintai dan dikasihi. Mamu amat mengharapkan syurga milik-Nya menjadi tempat bersemayam dan penghibur yang kekal abadi.

Namun itulah takdirnya. Mamu dan Zein tidak dapat disatukan di muka bumi kecuali di tempat gelap jauh di dalam tanah bersama satu liang lahad. Inilah buktinya bahawa apa yang ditentukan oleh-Nya sudah digariskan agar percintaan mereka terpelihara, suci dan sejati sekaligus melangkaui dunia yang hanya bersifat tipu daya kepada insan yang lalai daripada jalan-Nya.

Sebenarnya buku ini diterbitkan pada tahun 1958 di mana asal cerita ini adalah merupakan satu antologi puisi yang disyairkan oleh seorang ulama Kurdis iaitu Ahmad Al-Khouni yang telah pun wafat pada tahun 1953. Kebijakan dan keupayaan Dr. Said Ramadhan mengolahkannya dalam bentuk cerita yang begitu indah untuk dibaca sepatutnya dikagumi kerana usianya masih terlalu muda untuk menulis karya agung ini.

Buku ini sebenarnya amat bagus jika dijadikan sebagai bacaan ringan bagi melepaskan kelelahan dan kepenatan sepanjang bertugas seharian kerana bahasanya mudah dan indah tidak terlalu memerlukan penaakulan yang tinggi. Tetapi, bagi yang sudah biasa membaca sastera Islami karya Kang Abik atau Faisal Tehrani, mungkin membaca buku ini membuatkan diri mengatakan bahawa ia buku yang biasa berkenaan dunia percintaan. Ini kerana tiada sebarang petikan hadis mahupun terjemahan ayat al-Quran yang dimuatkan bagi melengkapi karya ini sebagaimana karya kedua-dua penulis tadi. Tetapi, memandangkan buku ini ditulis oleh Dr. Said Ramadhan ketika usia yang masih remaja, mungkin ini boleh diketepikan. Walau bagaimanapun, kemampuan penulis mengungkapkan setiap perkataan begitu berseni dan indah sekurang-kurangnya mengubat kekecewaan pembaca yang inginkan sesuatu yang lebih daripada karya ini.

Cinta bukan hanya soal raga dan hati.

“Cinta sejati penuh dengan makna. Sebab cinta, hasil perpaduan akal dan perasaan, jiwa dan raga, serta hati dan nurani. Ini tidak akan pernah diketahui dan dirasakan, kecuali oleh mereka yang mengalaminya. Begitulah cinta”

Dr. Yusuf al-Qardhawi


Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s