Cuti-cuti di Jalan TAR

Setelah empat hari berkampung di Kelana Jaya, akhirnya tengahari tadi mengambil kesempatan membawa isteri bersiar-siar di Jalan Tunku Abdul Rahman. Alhamdulilah, panas hingga ke petang tidak seperti hari-hari sebelum ini yang sering dilanda hujan yang amat lebat. Bermula dari pusat membeli belah Sogo, kami mengenalpasti dan membeli barangan keperluan cahaya mata pertama yang bakal menjenguk dunia, insyaAllah pada bulan September. Sambil itu, apa yang saya dapat perhatikan adalah sesetengah pekerja swasta atau awam (berdasarkan pakaian dan tag nama) yang turut membeli belah walau pun jam di tangan baru beranjak pada pukul tiga petang. Timbul kehairanan adakah mereka tidak masuk bekerja atau memang sudah jam keluar untuk balik? Saya pun tidak pasti.

Seterusnya destinasi kami adalah ke Pustaka Mukmin. Kerinduan kepada kedai buku sudah tidak dapat ditahankan lagi. Sebaik sahaja melangkah masuk, mata melilau mencari-cari buku yang menarik dan menjadi perhatian selama ini. Akhirnya membeli empat buah buku sahaja iaitu ;

1. Aku Terima Nikahnya (Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)

2. Anakku Hebat Anakku Soleh (Ustaz Zahazan Mohamed)

3. Travelog Turki Bumi Khalifah (Jhaz Kitaro)

4. Ke Mana Wang Anda (Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir)

Bagi buku Aku Terima Nikahnya, saya sudah pun memilikinya. Berdasarkan isi dan penyampaiannya yang cukup bagus bagi pasangan rumah tangga, saya membelinya sekali lagi untuk dihadiahkan kepada sahabat yang bakal membina istana bersama pasangannya pada hujung minggu ini.

Manakala buku Anakku Hebat Anakku Soleh dan Ke Mana Wang Anda? adalah buku yang sudah lama saya perhatikan sebelum ini cuma kali ini baru berkesempatan untuk mendapatkannya kerana ia amat berguna sebagai asas dan panduan dalam menguruskan rumah tangga yang berjaya dalam segenap segi.

Seterusnya adalah buku Travelog Turki Bumi Khalifah. Saya mula mengenali buku ini daripada laman Kak Mina iaitu salah seorang pembaca tegar dan pengumpul buku yang saya kagumi. Pemilikan buku ini menjadikan saya sudah mempunyai 3 koleksi buku berlatarkan  negara Turki. Dua lagi adalah buku Istanbul (Orhan Pamuk) dan Secangkir Teh Pengubat Letih (Ustaz Hasrizal Abdul Jamil). Sejak tahun lepas, saya sedang berusaha untuk mendapatkan buku-buku yang berlatarkan negara Turki, Iran dan Palestin.

Selepas itu, saya menemani isteri mencari dan membeli tudung. Sepanjang perjalanan kaki, apa yang saya lihat begitu berwarna-warninya kain dan tudung. Kalau menjadi wanita, sudah pasti saya mengalami kekaburan mata dan tidak tahu memilih yang mana terbaik. Pada kali ini, saya berasa sedih dan pilu mengenangkan peniaga Melayu di kawasan ini. Rata-ratanya sudah hampir didominasikan oleh peniaga dari luar seperti Siam dan Indonesia. Kemungkinan pemilik asal masih Melayu. Hanya pekerja sahaja dari negara luar. Saya tidak pasti.

Destinasi terakhir selepas solat di Masjid India, saya mengajak isteri singgah sebentar di kedai wajib yakni Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin. Dengan kesuntukan masa, saya hanya sempat membeli empat buah buku  lagi walau pun sedikit hampa kerana beberapa buku yang dicarikan sudah kehabisan stok. Maka, saya hanya membeli buku ;

1. Aku Seorang Muslimah-Muallaf (Lucy Bushill-Matthews)

2. Bahkan Barat Pun Butuh Islam (Sayyid Quthb, Dr. Abdullah Azzam, Syaikh Sulaiman bin Nashir Al-‘Ulwan)

3. Pengantin Surga (Dr. Muhd Sa’id Ramadhan Al-Bouthy)

4. Rasulullah saw Sejak Hijrah Hingga Wafat (Ali Syariati)

Walau bagaimanapun, sementara menunggu proses pembayaran baru lah saya ternampak buku yang saya carikan iaitu Dari Puncak Baghdad : Sejarah Dunia Versi Islam (Tamim Ansary) dan buku tulisan Karen Armstrong. Tetapi, sudah terlambat. Lagi pun kertas bernilai dalam dompet sudah kering. Tunggu di lain masa sahaja. Daripada empat buah buku tersebut, hanya buku tulisan Dr. Said Ramadhan Al-Bouthy sahaja yang termasuk dalam senarai pembelian. Sudah lama saya mencari dan cuba mengenali karya beliau. Ini adalah kerana saya pernah terbaca daripada satu artikel yang diterbitkan dalam satu laman dari Indonesia tentang kehebatan tokoh ini. Setiap kali ceramahnya, berjaya menghimpunkan ramai manusia dan penyampaiannya yang cukup berkesan sehingga mampu menitiskan air mata pendengar.

Tepat jam 5 petang, saya dan isteri beranjak pulang menaiki Putra LRT kerana tidak mahu bersesakan dengan ramai pekerja yang balik dari tempat kerja masing-masing.

InsyaAllah, minggu depan destinasi ke Kota Bharu pula 🙂

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s