Apa yang saya baca..

Esok merupakan satu hari yang sangat istimewa kepada golongan pecandu buku. Seluruh dunia akan menyambut hari esok dengan harapan buku menjadi santapan minda yang abadi dalam jiwa pembaca walaupun kini disaingi pelbagai gajet yang bisa mengelapkan dunia perbukuan konvensional jika perubahan minat pembaca berjaya dipengaruhi oleh gajet-gajet mewah sekarang.

23 April setiap tahun Hari Buku dan Hari Hak Cipta Sedunia akan diraikan. Pada tahun ini, Ljubljana, Slovenia dipilih sebagai ibu kota buku sedunia yang menewaskan bandar-bandar lain yang juga kepingin untuk menjadi tuan rumah. Bagaimana Ljubljana boleh dipilih? Anda boleh baca di sini.

Namun, apa yang saya ingin kongsikan di teratak ini adalah bukan untuk menceritakan tentang hari buku sedunia. Tetapi, saya ingin berkongsi berkenaan buku yang saya tengah uliti pada masa ini yakni karyanya Thomas L.Friedman bertajuk Hot, Flat and Crowded : Why The World Needs a Green Revolution – And How We Can Renew Our Global Future. Terlebih dahulu ingin saya katakan, saya masih belum mengusaikan pembacaan buku tersebut. Masih di pertengahan jalan. Tapi dengan daya tarikan yang terlalu kuat dalam penulisannya, saya berasa begitu teruja untuk menyampaikan atau berkongsi pada setakat yang telah saya baca. Sangat menarik untuk direnungi dan dijadikan buah fikiran. Lebih utama lagi, kita boleh saksikan pelbagai bencana alam yang kini berlaku dengan begitu kerap dalam satu jangka masa yang pendek melumpuhkan semua aktiviti manusia. Semuanya adalah kesan daripada aktiviti manusia juga.

Mengapa buku ini diberi tajuk HOT, FLAT and CROWDED?

Apabila membaca buku ini, pembaca akan dibentangkan dan difahami dengan istilah CROWDED terlebih dahulu, kemudian FLAT seterusnya terakhir baru HOT.

CROWDED – Dalam bahasa Melayu, perkataan ini boleh dimaksudkan sebagai sesak. Maka, apa yang disampaikan oleh penulis melalui sub ini adalah kesesakan manusia yang semakin bertambah di atas muka bumi pada masa sekarang. Dalam isu ini, banyak analogi mudah yang diberikan oleh penulis untuk difikirkan oleh pembaca. Ini memberikan peluang kepada pembacanya agar jelas tentang apa yang berlaku dalam dunia yang penuh kesesakan ini. Ada satu analogi yang menjadi tarikan kepada saya dalam buku ini. Friedman mengungkapkan bahawa ;

Bayangkan satu tab mandi itu merupakan sebuah dunia. Tab mandi tersebut dipenuhi dengan air yang diwakili oleh rakyat negara Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara lain. Diandaikan, air siraman hujan di atas tab mandi itu adalah rakyat China dan India. Apabila air siraman hujan ini dibuka pilinya dan airnya mencurah masuk ke dalam tab apakah yang berlaku ke atas air di dalam tab tersebut. Itulah situasi yang sedang dan bakal berlaku kepada dunia.

Dalam tahun 1800, London merupakan sebuah bandar yang paling besar di dunia dengan penghuninya seramai 1 juta orang. Pada tahun 1960, terdapat 111 buah bandar yang penduduknya melebihi 1 juta orang. Pada tahun 1995 ianya ada 280 buah bandar, dan kini bandar-bandar besar ini sudah mencecah melebihi 300 buah bandar. Manakala bilangan untuk bandar mega (10 juta ke atas penduduk) di dunia ini telah meningkat daripada 5 buah pada 1975 kepada 14 buah pada tahun 1995 dan dijangka akan mencecah 26 buah bandar mega menjelang tahun 2015. Maka melalui statistik ini, kita dapat membayangkan betapa ributnya dunia dengan kesesakan manusia yang semakin bertambah. Kesannya, sudah pasti banyak tanah dan hutan diterokai untuk pembangunan, kekeringan bekalan makanan dan pencemaran alam sekitar.

Bagaimana pula dengan FLAT? – Flat bermaksud rata. Dunia adalah rata. Tetapi bukan membawa definisi mengatakan daratan itu diratakan secara fizikal. Apa yang dimaksudkan oleh Friedman adalah kombinasi teknologi, pasaran dan geopolitik yang membuka peluang kepada semua masyarakat untuk menikmati taraf kehidupan yang selesa secara bebas. Kini, semua orang bisa menggunakan peralatan digital. Kesemua golongan ini juga aktif terlibat secara langsung dalam bidang kepenggunaan. Menurut penulis mengamalkan kehidupan seperti orang Amerika – memiliki kereta, penghawa dingin, telefon bimbit, komputer dan ipod yang kesemuanya mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna seluruh dunia. Kepelbagaian keperluan benda sebegini memerlukan begitu banyak tenaga daripada sumber alam semulajadi yang sekaligus memberikan kesan rumah hijau. Sekali lagi, Friedman memberikan satu analogi kepada pembaca untuk direnungi.

Jika billion manusia ini diberikan setiap seorang satu lampu yang berkuasa 60-watt. Sekarang, mari kita memasangnya. Jika ia dipasang secara serentak, maka ia menghasilkan 60,000 megawatt. Namun bertuahnya kerana (billion manusia) ini hanya menggunakan lampu selama 4 jam sehari, maka kita dapat menurunkan kepada 10,000 megawatt. Lihatlah, kita masih memerlukan 20 atau 500 megawatt penjana kuasa arang batu untuk menampung jumlah jutaan manusia pada seterusnya.

Dapat pembaca bayangkan, betapa banyaknya pencemaran yang kita lakukan tanpa kita sedari hanya memasang lampu untuk menerangi kegelapan malam. Maka, kedua-dua situasi ini secara tidak langsung telah memberikan kepanasan kepada bumi dan ini akan pembaca dapat hayati melalui sub HOT pula. Pertambahan bilangan manusia membawa pengertian pembebasan gas karbon dioksida melalui pernafasan manusia. Dalam masa satu hari, terdapat berbilion manusia di atas muka bumi melepaskan karbon dioksida di udara untuk bernafas. Ini belum lagi digabungkan dengan taraf hidup manusiawi yang menggunakan pelbagai alatan elektronik yang juga membebaskan pelbagai gas tercemar di udara. Tapi sebagai manusia, kita tidak menyaksikan kandungan gas secara mata kasar. Sesungguhnya, Nate Lewis dari Institut Teknologi California telah membuat satu lagi analogi menarik :

“Bayangkan kamu memandu kereta dan setiap kilometer dilalui anda melontar sebungkus plastik keluar menerusi tetingkap kereta anda. Dan setiap orang yang memandu juga melakukan perkara yang sama, dan mana-mana pemandu yang memandu Hummers pula membuang dua bungkus dalam setiap kilometer itu. Bagaimanakah perasaan kamu? Pasti tidak selesa bukan. Baiklah, itulah yang kita lakukan sekarang, cuma ia tidak dapat dilihat dengan penglihatan kasar. Apa yang kita buang itu adalah CO2 – yang memasuki atmosfera, iaitu setiap kilometer yang kita pandu.

Apabila saya menghayati setiap analogi dalam buku ini, maka saya berasa bersalah kerana saya adalah satu daripada bilion manusia dalam dunia yang terlibat dalam pemanasan bumi. Setiap hari saya memandu untuk pergi ke tempat bertugas dan bersiar-siar. Setiap hari saya menonton televisyen dan memasang penghawa dingin di rumah. Semua aktiviti tetap ini membebaskan kandungan gas yang tidak baik untuk udara. Walaupun belum mengusaikan pembacaan, saya berasa bertuah kerana menyempatkan diri mengenali buku ini. Ianya sebuah buku yang baik. Banyak maklumat sama ada dalam bentuk analogi dan statistik dapat dihadami melalui buku ini khususnya berkaitan alam sekitar. Kepada pencinta alam, buku ini menjadi kewajipan untuk dimiliki.

Alhamdulilah, kini seluruh dunia sudah sedar. Teknologi hijau mula menjadi perhatian dunia. Seluruh dunia terlibat untuk memajukan bidang teknologi mesra alam ini. Tidak ketinggalan negara Malaysia. Semoga apa yang dirancangkan, dilaksanakan dengan penuh tanggung jawab dan bukan dengan hanya kata-kata manis serta di atas kertas putih sahaja.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s