Hari-hari Terakhir Seorang Seniman

hari-hari-terakhir-seorang-senimanSebaik sahaja membaca perkataan pertama, saya terus melekat untuk mencapai ke titik pengakhiran. Dalam masa setengah malam bermula selepas marghrib sehingga tengah malam saya mengusaikannya. Ia adalah angkara kehebatan salah satu karya pemenang Anugerah Sasterawan Negara ke-10, Anwar Ridhwan.

Novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (HHTSS) adalah karya pertama Anwar Ridhwan yang pertama kali saya baca. Ia juga buat pertama kalinya saya mengenali gaya penulisan beliau. Sememangnya tepat penganugerahan yang telah diberikan kepada beliau sebagai kelompok Sasterawan Negara (SN) baru-baru ini. Walau pun sedikit kecewa dengan pengakhiran novel tersebut, tapi saya amat berpuas hati apabila dapat membaca karya sebegini. Timbul perasaan yang pelbagai dalam diri setelah menghayati peristiwa yang terkandung di dalam novel tersebut. Kadang kala menghiburkan. Sedih. Suspen. Marah dan bersemangat.

HHTSS merupakan sebuah novel yang mengisahkan berkenaan seorang lelaki tua yang lebih dikenali sebagai Pak Hassan, iaitu seorang penglipur lara di kala kehidupan zaman pendudukan British dan Jepun. Kehadirannya di beberapa buah daerah nyata sekali menghiburkan penduduk setempat kerana kebijaksanaan dan kepintaran beliau mengolah cerita yang nyata sekali menceriakan mereka untuk mendengarnya. Maklumlah, pada masa itu masih tidak dilengkapi dengan teknologi seperti sekarang. Radio pula mahal dan tidak mampu milik oleh semua orang (pada zaman itu). Maka, Pak Hassan menjadi tumpuan penduduk untuk berhibur. Namun di sebalik itu, kehidupan Pak Hassan dilingkari dengan kesedihan atas pemergian isteri kesayangan, Selemah setelah meninggal akibat sakit selepas bersalin. Nyata, pemergian isterinya membuatkan Pak Hassan kerinduan dan hanya ditemani dua orang anaknya yakni Senah dan Mat Jusuh yang terencat akal.

Sebelum itu, keistimewaan yang dimiliki oleh Pak Hassan telah menjadinya amat disenangi oleh penduduk. Keperibadiannya yang ceria, ramah dan suka bergurau menjadikan jiran-jiran tidak merasa janggal dengan Pak Hassan sekeluarga. Akhirnya, di sebuah kampung Pak Hassan sekeluarga dijemput untuk tinggal menetap dengan tawaran tanah dan rumah oleh Imam Mahali. Sejak itu, dari sebuah kampung yang suram kini bersinar dengan kehadiran Pak Hassan sekeluarga. Itu lah yang berlaku sebelum kepergian isterinya. Kini, anak-anaknya sudah membesar dan Senah selaku anak sulung banyak mengikut ciri-ciri isterinya sehingga Pak Hassan teringat kepada Selemah. Namun, keadaan Mat Jusuh yang tidak sempurna sedikit sebanyak menganggu pemikirannya.

Dalam novel ini, pembaca akan didendangkan dengan bahasa yang indah dan tersusun rapi. Setiap unsur-unsur alam seolah-olah dicirikan dengan baik sekali. Ia membuatkan pembaca seolah-olah tenggelam dalam kehidupan Pak Hassan. Itu lah tarikan penulisan Anwar Ridhwan. Apabila plot yang mendebarkan, pembaca akan turut rasa berdebar sebagaimana wataknya. Melalui HHTSS ini juga, pembaca akan diingatkan kepada keseronokan permainan-permainan tradisional atau permainan orang kampung yang nyata sekali mengimbau kenangan zaman keanak-anakan pembaca. Saya tersenyum sendirian apabila membaca dan menghayatinya melalui watak Aziz, anak lelaki Ramli. Di samping itu, pembaca juga dihidangkan dengan keadaan atau situasi ketika penduduk di ambang penjajahan Jepun. Jika sebelumnya, penduduk bebas ke mana-mana. Tetapi semenjak kehadiran mereka, batas-batas perjalanan terhad kerana risau dengan nafsu askar Jepun ke atas para perawan khususnya golongan gadis kampung. Deruan kapal terbang Jepun di malam hari. Kegelapan rumah kerana takut dihampiri askar Jepun. Semuanya mendedahkan kepada generasi muda sekarang kepada suasana yang berlaku pada suatu ketika dahulu.

Apa yang menyedarkan melalui novel ini adalah bagaimana pada suatu ketika dahulu masyarakat setempat hidup secara bersama-sama, tolong-menolong tanpa mengira sesiapa sahaja. Semuanya dilakukan dengan ikhlas dan penuh kejujuran. Semangat kekitaan begitu kuat sekali. Ia amat berlainan dan berbeza dengan situasi masyarakat kita sekarang. Kebanyakan orang-orang kita bersikap individualistik khususnya di kawasan bandar. Dalam kawasan perumahan yang sama, mungkin ada sesetengah masyarakat masih tidak mengenali jiran-jiran seperumahan walau pun sudah duduk menetap bertahun-tahun.

Klimaks novel ini apabila berlakunya pergolakan jiwa dialami oleh Pak Hassan selepas kedua-dua anaknya iaitu Senah dan Mat Jusuh melarikan diri daripadanya. Kehilangan mereka membuatkan kehidupan Pak Hassan murung, sedih dan dilanda kekecewaan. Ternyata, ia amat menggangu dan menguji keimanannya untuk redha dengan ketentuan-Nya. Melalui plot ini, mungkin pembaca akan sedikit kecewa kerana penulisnya tidak menceritakan apa yang berlaku pada Senah dan Mat Jusuh selepas melarikan diri walau pun pembaca boleh mengagak apa yang berlaku. Dan inilah satu-satunya pembunuhan watak oleh penulis yang membuatkan pembaca sedikit terkilan. Atas dasar kasihan kepada Pak Hassan, kedua-dua watak tersebut adalah sama penting dengan watak utama sebenarnya kerana mereka perlu juga diberi kredit kerana berjaya menghidupkan cerita bersama Pak Hassan.

Walau bagaimanapun, novel ini mempunyai tarikannya tersendiri. Ia boleh mencandukan pembaca untuk mengusaikannya pada masa itu juga. Ia karya yang wajib dibaca oleh semua rakyat Malaysia kerana ia mengandungi nilai-nilai sejarah, kemanusiaan, sosial dan motivasi dalam menginspirasikan kita untuk dijadikan renungan dan lebih bersemangat menempuh arus kehidupan. Daripada 5, saya memberikan 5 bintang novel ini.

Selepas ini, saya ingin mengenali Naratif Ogonshoto pula.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s