Melayu oh Melayu

SIAPA MELAYU?

Melayu adalah satu bangsa yang pada suatu ketika dikenali dengan sikap yang sopan santun, berbudi bahasa dalam tutur bicara dan mempunyai sikap hormat menghormati orang lain yang tinggi. Sebagaimana menurut Perlembagaan Persekutuan, Melayu ditakrifkan sebagai “Seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu yang lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari merdeka dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura”. Dari segi antropologi, Melayu itu adalah berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa (Syed Husin Ali).

Bagaimana pula dengan Melayu sekarang?

Belakangan ini, pelbagai kebejatan sosial yang berlaku di kalangan orang Melayu. Daripada hal-hal yang menyentuh kemaksiatan kepada hal-hal yang menyakitkan hati dan memedihkan mata. Beberapa minggu yang lalu, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan insiden pembuangan bayi yang begitu buas dan ganas apabila ada satu kes bayi dibakar dan dibuang di kawasan longgokan sampah serta seorang lagi bayi yang mati dibiarkan dihurungi semut. Apakah yang menjadikan pelaku itu bersikap terlalu zalim dan ekstrem sebegini? Bayi adalah insan kerdil yang memerlukan kasih sayang dan perhatian dan bukan dibunuh dan dibiarkan merata tempat tanpa sebarang pembelaan. Semuanya ini berkaitan dengan ketipisan iman di kalangan pelaku yang berseronok membuat maksiat yakni gagal mengawal nafsu syahwat masing-masing sehingga menumbuhkan benih yang haram.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan penderaan tanpa belas oleh seorang lelaki ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun di Hulu Selangor yang meninggal dunia akibat pendarahan otak, cedera parah di perut dan sekeliling buah pinggangnya akibat dipukul dan disepak dengan ganas. Lagi menyedihkan, dilaporkan bahawa ibu mangsa mengadakan hubungan luar nikah dengan lelaki tersebut (pelaku) sehingga melahirkan seorang lagi anak. Astaghfirullah.

Jika difikirkan apakah yang menjadi punca kepada semua permasalahan ini? Masih banyak lambakan masalah sosial lain yang masih belum mendapat liputan meluas di pengetahuan umum. Mengecewakan apabila setiap gejala sosial yang berlaku majoriti pelakunya adalah ORANG MELAYU. MELAYU. MELAYU.. Jika pasal mendaulatkan Melayu, semua bertempik melaung-melaungkan amarah akan ancaman ke atas kaumnya. Tetapi apabila berlakunya kebejatan sosial sebegini, semuanya hanya membisu. Adakah Melayu sebegini yang diagung-agungkan? Saya Melayu dan kini saya sudah semakin malu dengan orang Melayu sendiri. Kekadang, berjalan mahupun berada di kalangan orang Melayu sendiri saya terasa takut dan segan kerana sekarang Melayu itu banyak menipu, suka mengambil kesempatan, mengancam keselamatan (meragut, merogol dan lain-lain lagi) walaupun ke atas bangsa sendiri. Di manakah nilai-nilai kemurnian yang dikatakan Melayu itu beradab dan berbudi bahasa? Cuba anda googling perkataan ‘melayu’ di Google Image, Melayu apakah yang anda bisa lihat? Tepuk dada tanya iman anda.

Dalam masalah ini, semua pihak haruslah memainkan tanggung jawab penting. Bukan hanya mengharapkan kepada satu-satu pihak sahaja. Tetapi yang paling utama bertindak adalah pihak pemerintah kerana mereka yang mengawal arah tuju sesebuah negara. Setiap kempen yang dilaksanakan bukan hanya menjadi retorik di bibir dan dilaksanakan bagaikan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Sebaliknya setiap kempen perlu disertai dengan tindakan yang berterusan dan istiqamah agar ia dapat menyerap dan menelusuri jiwa dan keperibadian masyarakat untuk menghayatinya. Agama Islam perlu menjadi prioriti untuk ditegakkan kebenarannya bukan dengan agenda keMelayuan yang melampau. Hiburan khususnya berkenaan dunia artis mestilah dibanteras dengan jitu. Pelbagai rancangan berunsurkan hiburan yang melalaikan di televisyen seumpamanya rancangan realiti haruslah digantikan rancangan berbentuk ilmiah dan memantapkan kerohanian masyarakat. Bukannya menggalakkan lagi dunia nyanyian sehingga kanak-kanak pun dimanipulasi untuk terlibat dijadikan sebagai idola yang lari daripada idola sebenar seorang Islam yakni Muhammad saw. Ini ditambah lagi dengan kejemuan dan menyampah melihat lawak-lawak bodoh yang memperbodohkan diri demi untuk menjadi seorang pelawak. Banyak lagi unsur-unsur hiburan yang nyata sekali tidak berfaedah untuk membangunkan ummah. Dan orang yang paling ramai menyertai hiburan sebegini juga adalah orang Melayu.

Dengan nama Melayu itu belum tentu dapat mencium bauan syurga jika iman dan pegangan agamanya longgar. Itulah Melayu sekarang. Bagaimanakah agaknya Melayu pada masa akan datang? Wallahu a’lam.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s