Hafalan Solat Delisa

Sebuah novel yang meruntun jiwa dan emosi. Memang tidak dinafikan bagaimana ia boleh menjadi novel bestseller di Indonesia. Nyata, kebijakan penulisnya, Tere-Liye dalam mencipta watak yang cukup menyentuh emosi sehingga bisa mengalirkan air mata simpati dan kekaguman kepada inti ceritanya.

Novel comel bertajuk Hafalan Solat Delisa mengisahkan berkenaan seorang gadis kecil berambut perang, bermata hijau dan teduh sehingga membuatkan yang melihat kagum dengan ciptaan-Nya ini yang dikenali sebagai Delisa. Delisa yang berumur 6 tahun merupakan anak bongsu daripada empat orang puteri iaitu Kak Fatimah (anak sulung), diikuti kembar Kak Zahra dan Kak Aisyah. Keempat-empat anak ini hidup penuh dengan kebahagiaan dan kedamaian di bawah jagaan Umi mereka yang sentiasa menitikberatkan kehidupan beragama. Setiap subuh, mereka anak-beranak akan solat berjemaah termasuk Delisa yang tidak tahu membaca dan mengerti apa semasa solatnya. Dari kejauhan, Abi nya bekerja keras mencari nafkah di atas kapal minyak yang sentiasa berkembara di seluruh pelosok dunia sehingga tugas sebagai ketua keluarga diserahkan kepada isterinya.

Watak Delisa telah melahirkan satu perasaan yang bening di kalangan pembaca kerana digambarkan beliau seorang yang cantik, periang, manja dan suka kali bertanya apa sahaja kerana sifat ingin tahunya yang mendalam sekali sehingga kekadang menimbulkan kelucuan apabila mangsa pertanyaan terkial-kial mencari jawapan yang paling sesuai. Uminya berjanji bahawa jika Delisa mampu menghafal bacaan dalam solat, maka kalung yang mempunyai huruf ‘D’ akan dihadiahi sebagai cagaran kejayaannya. Ini membuatkan Delisa begitu bersemangat sekali untuk menghafalnya.

Hari bersejarah pada 26 Disember 2004, gelombang tsunami mengganas menghanyutkan segala daratan Banda Acheh dan kawasan sekitar termasuk Lhok Nga di mana pada masa yang sama Delisa sedang membaca bacaan solat di hadapan Cikgu Nur di sekolah. Namun, tsunami yang melanda berlaku dengan sangat pantas. Delisa telah kehilangan insan-insan tersayang termasuk uminya yang menemaninya ke sekolah pada pagi itu. Setelah beberapa minggu kejadian, Delisa ditemui di celah ranting kayu dalam belukar yang lemah bagaikan tidak bernyawa. Delisa diselamatkan dan dia menghadapi masalah yang cukup kritikal. Plot inilah yang paling berkesan dalam memainkan emosi seseorang. Aduh..apakah yang perlu dilakukan jika diri menghadapi situasi yang sama.

Bencana yang melanda membuatkan Abi Usman balik serta merta ke Acheh untuk mencari ahli keluarganya. Kegembiraan terpancar apabila nama Delisa yang disahkan selamat dan sedang dirawat oleh sukarelawan Amerika. Sisa kehidupan seterusnya membibitkan kasih sayang antara Abi dan Delisa yang perlu cekal menempuhi kehidupan. Kematangan dan kecerdasan Delisa nyata sekali mengagumkan walaupun usianya masih muda. Epilognya sekali lagi mengejutkan saya kerana tidak sangka ia diakhiri sebegitu rupa.

Novel ini banyak berkisar berkenaan soal kekeluargaan, persahabatan, kecekalan hidup dan sudah pasti meningkatkan kesedaran diri dalam menjalani kehidupan. Ia banyak memberikan kesedaran terutamanya kekhusyukan dalam mengerjakan ibadah solat. Paling penting, penulis menyampaikan hubungan hamba dan Tuhannya yang sangat dekat sehingga mengajak menginsafi dan memperbaiki diri agar tidak terleka dengan kenikmatan dunia. Khamsia Tere-Liye kerana menulis sebuah novel yang cukup mengesankan.

Tajuk : Hafalan Solat Delisa

Penulis : Tere-Liye

Penerbit : PTS Litera

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s