Martabatkan bahasa Melayu

“Boni ak Bungan, please arrange the numbers in descending order.” tanya Cikgu Hamidah kepada salah seorang pelajarnya sambil menunjukkan soalan di papan tulis setelah segala ilmu diajar sebentar tadi. Kali ini respon pelajar dilihat untuk menilai kefahaman mereka.

Boni bangun dan pergi ke hadapan kelas dengan perlahan untuk menulis jawapan. Dia kelihatan teragak-agak untuk memberikan jawapan.

Semua pelajar diam menunggu termasuk Cikgu Hamidah.

“Boniii, arrange the numbers in descending orderrr. What are you looking for?” Cikgu Hamidah sekali lagi bertanya dengan nada yang agak tinggi. Geram.

Kelas senyap. Pelajar-pelajar lain mula gerun apabila mengetahui cikgu mereka sudah kelihatan naik angin. Semua mata terpaku ke arah Boni. Boni masih kaku tanpa jawapan. Matanya terkebil-kebil melihat soalan di papan tulis. Mulutnya bagaikan terkunci. Otaknya ligat berfikir apa maksud yang ditanyakan oleh Cikgu Hamidah.

Akibat terlalu lama menunggu, akhirnya telinga Boni dipulas dan dikerah untuk berdiri sebagai hukuman. Para pelajar lain pula sudah mula ketakutan jika giliran mereka pula ke hadapan.

***

Inilah realiti yang berlaku kepada anak-anak bangsa yang menjadi mangsa kepada perlaksanaan PPSMI di sekolah sejak 6 tahun dahulu. Keperitan ini lebih dirasai oleh anak-anak di pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan yang baik dalam meningkatkan kemahiran mereka sebagaimana di bandar.

Suasana sebegini telah wujud dalam setiap kelas yang tahap pelajarnya agak rendah. Jika dahulu subjek Matematik menjadi kesukaan pelajar, kini ia sudah berubah di mana subjek ini menjadi kebencian kepada mereka kerana guru yang sentiasa kemarahan dan isi kandungannya pula sukar untuk difahami.

Di bandar, pelajar boleh mengikuti tuisyen di pusat-pusat tuisyen yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Tetapi di pedalaman, pelajar kebanyakan belajar sendiri tanpa bimbingan peribadi. Ayah dan ibu sudah sibuk mencari mata pencarian untuk menyara keluarga. Bertani, berkebun dan menjala ikan semata-mata untuk  sesuap nasi. Kedua-dua ibu bapa juga ada yang buta huruf dan tidak tahu membaca. Apatah lagi disuruh mengira dan membaca bahan dalam bahasa asing. Kehidupan seharian pula memperlihatkan bahasa iban, bidayuh dan melanau menjadi perantara dalam komunikasi. Maka, Bahasa Inggeris hanya diucapkan dalam kelas yakni ketika subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Adakah memadai untuk memandaikan dalam bahasa Inggeris dengan ruang waktu yang sedikit?

Sehubungan itu, PPSMI haruslah dikaji semula perlaksanaannya kerana yang nyata, tidak semua para pelajar dapat mengikuti langkah ini. Mungkin di bandar-bandar besar langkah ini berkesan kerana kebanyakan para pelajar sudah didedahkan dengan bahasa Inggeris dan ada segelintir yang menunjukkan bahawa Bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi seharian mereka termasuk di rumah.

Langkah yang sepatutnya diambil jika ingin memajukan masyarakat dalam bahasa Inggeris adalah dengan meningkatkan mutu pengajaran dalam bahasa Inggeris. Para guru pelatih di IPT dan institut pendidikan guru (IPG) haruslah dilengkapkan dengan ilmu kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik serta teknik-teknik mengajar yang berkesan. Apabila ini dilaksanakan, keseronokan akan timbul kepada para pelajar sekolah jika guru yang mengajar dapat mencurahkan hasil latihan mereka di kampus sekian lama. Melalui keberkesanan pengajaran bahasa Inggeris di kelas, maka pelajar sudah berkemampuan menguasai dua bahasa tanpa menggugat penyampaian ilmu Matematik dan Sains dalam bahasa kebangsaan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s