Kempen Membaca

Dalam jangka masa 11 tahun lagi, negara Malaysia bakal menjadi sebagai sebuah negara maju. Adakah tercapai wawasan yang telah dicanangkan sekian lama sejak era kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ini iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Jika diamati sekarang, rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan asas dan kadar pembacaan di kalangan rakyat.

Di Sarawak, walaupun sudah 45 tahun menyertai Malaysia, tetapi masih ada segugus kawasan yang masih hidup seperti zaman kolonial. Kawasan ini masih belum menikmati air bersih dan bekalan elektrik. Masih mengharapkan tenaga janakuasa generator sepanjang masa. Untuk sampai ke kawasan ini pula, masih belum ada jalan raya yang baik dibina. Sebaliknya, hanya menggunakan jalan balak dan jalan denai sebagai perhubungan dengan dunia luar. Jika kemudahan asas penduduk belum disiapkan, jangan lah kita gah dengan pembangunan yang selalu dicanang-canangkan. Hakikatnya, masih ada insan yang hidupnya ketinggalan daripada arus kemodenan.

Bagi kadar literasi pula, adakah benar penduduk Malaysia masih lagi jauh ketinggalan daripada pembacaan buku dalam kehidupan seharian? Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia membaca secara purata sebanyak dua buah buku setahun. Ini merupakan satu keadaan yang menyedihkan kerana minda masyarakat belum diperkembangkan walaupun negara sudah memasuki era kemajuan teknologi maklumat.

Dalam minggu ini tadi, peluang digunakan untuk bertanya kepada pelajar bahawa sesiapa yang hobinya adalah membaca. Namun, amat menyedihkan jika dilihat responnya di mana sesetengah kelas langsung tiada pelajar yang mengangkat tangan. Bagi kelas lain, hanya 4-5 orang pelajar sahaja sebagai tanda apa yang dimaksudkan. Ini menunjukkan bahawa kadar pembacaan generasi muda terutamanya pelajar sekolah luar bandar amat rendah sekali. Di samping itu, di perhentian bas mahupun di dalam tren kita juga dapat melihat bagaimana masa terbuang tanpa menyantap minda dengan bahan-bahan bacaan. Kebanyakan asyik melayan sms, melihat orang lalu lalang dan duduk termenung. Begitu juga dengan pak jaga. Mereka kelihatan tidak mengambil peluang untuk membaca sambil berada di dalam pondok jaga. Mereka lebih suka bersembang kosong bersama teman yang datang bertandang. Jika difikirkan, amatlah rugi apabila sesetengah masyarakat tidak mengambil berat mengenai kepentingan membaca dalam kehidupan. Melalui buku, individu itu mampu menghayati pengalaman penulis malahan membawa diri berfantasi di alam yang berlainan. Sebagaimana kata seorang penulis barat yang pernah mengatakan bahawa hanya melalui buku, kita mampu menjelajah dunia tanpa perlu berada di tempat tersebut.

Seharusnya, satu mekanisme yang menarik dan berkesan perlu dilaksanakan bagi memupuk semangat cintakan buku di kalangan rakyat Malaysia. Ibu bapa mesti memperuntukkan sedikit perbelanjaan bagi membeli bahan bacaan untuk anak-anak kecil. Dengan pengorbanan sebegini, ia dapat menanam minat anak-anak agar gemar membaca buku dalam kehidupan seharian. Tambahan lagi, penerbit buku juga haruslah mengurangkan sedikit keuntungan agar segala bahan bacaan yang diterbitkan dapat dijual dengan harga yang murah. Jika kita melihat kepada industri buku di United Kingdom, kebanyakan buku ataupun novel dijual di bawah harga 10 pound sterling. Ini sedikit sebanyak menarik pembaca untuk membaca kerana buku seolah-olah seiring dengan harga makanan sahaja. Seterusnya, Institut Terjemahan Negara mestilah memainkan peranan dengan lebih giat lagi dalam menterjemahkan karya-karya penulis asing sama ada dari bahasa Inggeris, Sepanyol, Latin dan Arab ke dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, institut terjemahan negara mereka cukup efektif dan efisien sekali dalam menterjemahkan karya luar untuk tatapan rakyat mereka. Karya terbaru dengan pantas dapat diperolehi dalam bentuk bahasa Indonesia. Keadaan ini telah melahirkan masyarakat Indonesia yang bermaklumat dalam pelbagai bidang.

Semoga Wawasan 2020 dapat dicapai dengan jayanya sambil penduduk negara sentiasa berinformasi dalam segenap perkara melalui bidang perbukuan.

2 thoughts on “Kempen Membaca

  1. Salam.

    Ada cadangan mekanisme menarik untuk memupuk semangat cintakan buku?

    Perpustakaan sering dikritik kerana kurang efektif dalam menjalankan kempen gerakan membaca. Realitinya, orang hanya tahu mengkritik tetapi tidak berminat pun hendak berkongsi memberi cadangan membina.

    Banyak aktiviti berteraskan memupuk minat membaca dijalankan, tetapi bilangan peserta dan penonton, aduhai kasihan. Sedih, Pesta Buku Selangor malah dibuat di kompleks membeli-belah, pun tidak mampu menarik pengunjung sedia ada bersama-sama menikmati majlis ilmu di hadapan pentas kompleks.

    Sesekala ingin mendengar pandangan dan cadangan orang awam, apa lagi yang harus perpustakaan jalankan? Anda ada idea?

  2. Nana – Waalaikummusalam. Terima kasih atas persoalan kak Nana yang cukup mengesankan di mana segelintir masyarakat kita masih kurang kesedaran berkenaan amalan membaca dalam kehidupan. Jika diamati, apa yang menjadi kesukaran untuk menyemai tabiat membaca ini adalah MENTALITI masyarakat sekarang yang terlalu berorientasikan hiburan yang melampau. Kehidupan artis selalu diperbesar-besarkan di media-media sebaliknya kisah dan coretan kehidupan sasterawan dikesampingkan. Sebagaimana dengan kepulangan allayarham Arena Wati ke rahmatullah tidak mendapat publisiti yang meluas oleh media kita. Sebaliknya, di Indonesia berita ini tersebar luas memberitahu rakyat di sana.

    Apabila bidang hiburan menjadi pujaan masyarakat, ini yang menyebabkan masyarakat lalai dan tidak memperkembangkan minda mereka kerana hanyut dalam keasyikan dunia artis sehingga pembelian buku dianggap membazir jika dibandingkan dengan alat-alat elektronik yang jauh lebih mahal. Tambahan lagi, para produser negara kita terlalu suka menghasilkan filem picisan yang langsung tidak berkualiti. Kita tengok di Indonesia, bagaimana produser filem mereka amat mengambil berat mengenai perkembangan dunia kesusasteraan mereka sehingga karya yang bagus diadaptasikan menjadi sebuah filem seperti Ayat-ayat Cinta dan Laskar Pelangi yang mendapat sambutan hangat masyarakat di sana. Secara tersiratnya, ini menarik minat penonton untuk membeli novel asal filem itu sebagai kudapan minda di ruang waktu mereka. Di Malaysia, kita mempunyai karya yang begitu bagus untuk diangkat menjadi sebuah filem seperti 1515, 1511[kombat], Bedar Sukma Bisu dan banyak lagi namun, ia hanya terus berada di rak buku tanpa mendapat peluang untuk ditayangkan dalam bentuk visualisasi.

    Sebenarnya, pelbagai langkah lain yang bisa dilaksanakan. Kepimpinan atasan dan media satu-satunya cara yang paling berkesan untuk menjayakan kempen ini. Jika mereka ini masih mengutamakan hiburan, nescaya sampai bila-bila pun masyarakat terus lalai tanpa mengambil berat mengenai perbukuan negara. Apabila paradigma sudah dapat dibongkar dan diganti dengan kesedaran kepentingan membaca, justeru itu barulah perpustakaan menjadi tempat tumpuan masyarakat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s