Memoir Seorang Guru

Tika saat menunggu untuk memasuki kelas, saya mengambil peluang memenuhi masa yang ada untuk menghadam isi kandungan novel karyanya Pak Azizi Hj.Abdullah ini. Nyata sekali, kepuasan mengusaikan pembacaan begitu bermakna sekali. Takjub dan kagum dengan penulisnya yang mampu mengungkapkan setiap watak dengan cukup berkesan. Mungkin pada permulaan pembacaan, saya masih terkial-kial memahami perkataan yang digunakan seperti ‘kepikunan’ yang sedikit mengganggu penghayatan. Namun, setelah dari satu helaian ke satu helaian, ia menjadi kebiasaan dan keseronokan itu mula wujud dengan plot dan perwatakan yang diciptakan begitu menarik sehingga menimbulkan pelbagai perasaan dalam diri.

Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang ustaz yang cukup berkeras melarang anak gadisnya bernama kamariah menceburi bidang perguruan kerana baginya bidang tersebut tidak mendatangkan keberkatan dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Ini semua adalah disebabkan beliau tidak mahu anaknya mengikuti apa yang telah dilaluinya sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak bangsa.

Novel ini disusun dengan begitu baik sekali sehingga pembaca tidak terkeliru dengan latar masa yang dipersembahkan. Penulis menggunakan teknik imbasan yang begitu berkesan dalam menceritakan pengalaman ustaz mendidik setiap watak anak muridnya yang berbeza. Bermula dengan kisah Mat yang tercucuk selumbar kayu sehingga ditembak mati oleh ayahnya sendiri akibat tidak mahu Mat tersiksa menanggung kesakitan. Permulaan kisah ini diibaratkan oleh ustaz sebagai masyarakat yang tidak celik dan mundur sehingga beliau tidak ingin bertanggungjawab dalam masyarakat sebegini.

Kemudian pembaca dibawa menghayati kebencian ustaz kepada anak-anak muridnya yang mempunyai pelbagai ragam dan kisah yang mengundang simpati seperti kisah Sakinah yang bermata juling, kisah Mihad yang suka menangkap katak untuk dijadikan umpan haruan, kisah Alias yang tercedera telinganya akibat ditampar oleh ustaz serta kisah Mohd.Dhuha yang rajin mengerjakan solat sunat Dhuha dan meninggal akibat ditabrak kereta.

Penceritaan novel ini berakhir apabila ustaz yang sedang dalam perjalanan ke Johor untuk menemui Kamariah yang lari dengan menumpang di rumah pak cik selepas tiadanya kata putus daripadanya. Klimaksnya apabila ustaz menghadapi kemalangan dalam perjalanan tersebut. Sama ada ustaz masih hidup atau tidak, pembaca harus mendapatkan buku ini untuk mengetahui epilognya.

Sesungguhnya, novel ini cukup berkesan dalam menyampaikan peranan seorang guru melahirkan insan yang berguna. Ketika membaca novel ini, mengingatkan saya kepada para guru ketika bersekolah dahulu. Tanpa mereka, tidak mungkin saya dapat berdiri di mana berada sekarang. Semoga semua guru yang pernah mengajar dan mendidik saya mencapai tahap kemurabbian dalam hidup mereka.

Tajuk : Memoir Seorang Guru

Penulis : Azizi Hj. Abdullah

Penerbit : Alaf 21 Sdn. Bhd

Dilahirkan pada 4 April 1942 di Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah. Beliau mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Kepala Batas, Seberang Perai. Kemudian beliau bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah. Beliau pernah menjadi Karyawan Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1998/1999. Bagi mempertajamkan kreativiti, beliau mengikuti kursus penulisan kreatif di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (1975/1976).

Advertisements

11 thoughts on “Memoir Seorang Guru

  1. Salam perkenalan. Ini kali pertama saya singgah. Ulasan yang menarik, hingga saya rasa mahu baca buku ini. Lagipun berbeza dengan tanggapan ramai orang tua yang mahu anak mereka jadi guru. Cuma tertanya-tanya, latar masa watak ustaz tu jadi guru itu tahun berapa.

  2. najibah – Terima kasih atas kunjungan saudari di laman ini. Sebenarnya intipati yang ingin disampaikan dalam novel ini adalah mengenai keberkatan rezeki yang setiap insan usahakan. Ya, tugas seorang guru itu amat mulia. Namun, adakah tanggungjawab yang digalas dijalankan dengan niat yang ikhlas dan amanah? Betulkah jika mengabaikan pelajar yang sering mencetuskan masalah sehingga menimbulkan kebencian satu tindakan yang baik? Keadaan ini yang menjadi iktibar kepada pembaca memuhasabahkan diri dalam mendapatkan erti keberkatan rezeki kehidupan. Saya berharap saudari mendapatkan novel ini kerana ia memang satu karya yang menarik. Mengenai latar masa, penulisnya tidak menjelaskan tahun berapa dalam novel tersebut. Mungkin era 80-an rasanya 🙂

  3. Assalamualaikum..
    tumpang singgah..Saya tertarik dengan ulasan saudara tentang novel ini dan teruja untuk memilikinya. saya sudah mencarinya di beberapa buah kedai buku, tapi malangnya telah kehabisan stok kerana novel ini sudah lama diterbitkan. Saya harap novel ini dapat dijadikan rujukan kepada bakal-bakal guru untuk menimba sedikit sebanyak pengalaman hidup seorang guru dan bukan hanya sekadar sebuah novel. Bukan senang untuk menjadi seorang murabbi..
    Kepada penulis, teruskan ulasan anda tentang buku-buku yang dibaca. Semoga sedikit sebanyak dapat berkongsi ilmu dan manafaat..

  4. syuhaida,

    Waalaikummusalam. Saya dahului dengan ucapan terima kasih atas kunjungan saudari ke teratak ini. Sememangnya novel ini amat sesuai dijadikan kayu pengukur oleh para guru dalam melaksanakan amanah dan tanggung jawab mendidik anak bangsa di sekolah. Berkenaan novel ini juga, mungkin saudari bisa menggunakan alternatif lain dengan memperolehinya melalui pembelian secara online sahaja. Misalnya Ujana Ilmu mahupun Kedai-Buku.com sebagaimana yang tertera di halaman kanan blog ini.

    Selamat mendapatkannya dan berkongsi pandangan perihal isinya 🙂

  5. Assalamualaikum..
    Alhamdulillah..Saya sudah mendapatkan novel ”Memoir Seorng Guru”. Berbicara soal keberkatan, teringat saya pada nasihat bapa saya yang juga merupakan bekas guru, beliau sangat menitik beratkan soal keberkatan dalam mendidik pelajar, dan selalu beliau ingatkan kepada saya dan kakak-kakak saya yang merupakan guru supaya menjaga kualiti masa bersama pelajar. Kalau guru mengajar sambil lewa, masuk kelas lewat dan membuat kerja-kerja lain sedangkan waktu tersebut guru perlu berada di kelas dan mengajar dengan bersungguh-sungguh, secara tak sedar hilang keberkatan pada gaji yang kita dapat setiap hujung bulan. Apabila hilang keberkatan..yang banyak pun masih tak cukup, serba serbi tak kena..Jadi, sentiasalah muhasabah diri..Rasa gusar pulak, risau tak dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya nanti..novel ini sememangnya menyedarkan saya, tugas seorang guru bukanlah sekadar tanggungjawab semata-mata..tetapi ia adalah amanah buat kita..

  6. Waalaikummusalam. Tepat sekali bahawa menjadi seorang guru bukan satu tugas yang mudah. Ia sememangnya memerlukan komitmen yang jitu dan sentiasa ikhlas dalam mendidik para pelajar. Amanah yang diberi harus dilaksanakan dengan sebaik-baik yang mungkin. Tika sudah habis menamatkan pembacaan Memoir Seorang Guru, semoga saudari segera dapatkan pula novel sambungannya yang bertajuk Zikir Rindu 🙂

  7. Sukarnya memanusiakan manusia =)Terima kasih..Insyaallah saya akan dapatkan segera..saya mula meminati karya Azizi Abdullah..Ada kelainan disebalik penulisannya..

  8. Pingback: Terima Kasih, Guru, Cikgu, | Jurnal Kehidupan

  9. salam tuan
    mohon izin share
    saya dah baca buku ni
    tapi tak reti nak ulas
    saya baca buku ni masa dalam ward
    sampaikan nurse-nurse pun ikut nak emmbacanya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s