Amanah baru

Alhamdulilah, lima hari pertama berada di sekolah menjalankan tugas berjalan dengan lancar. Maaf atas kekurangan diri yang tidak sempat untuk menulis sebarang entri di sini dalam beberapa hari kebelakangan ini walaupun banyak isu yang telah berlaku untuk dikongsikan bersama.

Pada hari Isnin bertarikh 5 Januari 2009, saya telah ditugaskan untuk mengajar kelas Tingkatan Enam bagi kertas Pengajian Am Bahagian 2 (penulisan kreatif). Ternyata, tanggung jawab ini disambut dengan syukur kerana berpeluang untuk mencurahkan ilmu yang ada kepada anak didik. Amanah ini juga saya jadikan sebagai pemangkin untuk memajukan diri melengkapkan minda dengan isu-isu semasa sama ada di dalam mahupun luar negara.

Setelah mengharungi 5 hari mengajar, didapati rata-rata pelajar kurang membaca bahan-bahan berunsur ilmiah. Sebagai pelajar yang mengambil ujian STPM pada tahun ini, para pelajar kelihatan tidak mempunyai inisiatif sendiri untuk mematangkan pemikiran dan mengasah kemahiran dalam mengolah karangan yang bermutu. Ternyata, begitu banyak kelemahan dalam penulisan mereka terutamanya dari segi penggunaan struktur bahasa dan ayat, ejaan dan  tatabahasa. Namun, alhamdulilah terdapat segelintir pelajar yang mampu menghasilkan karangan yang baik. Cuma masih perlu diberi bimbingan bagi menjadikan mereka lebih mahir dalam penulisan.

Dewan Masyarakat, Dewan Ekonomi dan Dewan Kosmik adalah majalah-majalah yang asing bagi kebanyakan pelajar untuk membacanya. Bila mengenangkan perkara ini, tiada jalan lain yang dapat dilakukan kecuali pelajar harus disogokkan dengan seberapa banyak maklumat agar mereka menimba pengetahuan am yang luas dan mencukupi. Pengorbanan harus dilakukan asalkan pelajar berjaya.

Dua perkara ini bakal menjadi amanah bagi  saya dalam melahirkan pelajar yang cekap dan berkemahiran tinggi dalam dunia penulisan sekaligus membantu memperkasakan bahasa agar dijulang martabatnya.  InsyaAllah, doakan saya agar semuanya berjalan dengan lancar.

BAHASA JIWA BANGSA.

2 thoughts on “Amanah baru

  1. Salam.

    Izinkan saya memberi cadangan.

    Memandangkan pelajar-pelajar saudara kurang membaca, eloklah sekiranya ‘kecanduan membaca’ itu diusahakan terlebih dahulu, agar pelajar bercinta dengan buku. Apabila kecanduan membaca sudah berputik, pelajar sudah tentu tidak perlu lagi disuruh-suruh membaca.

    Memancing pelajar agar suka membaca lebih baik daripada menyuapkan mereka dengan maklumat dan pengetahuan. Sesuatu benda dan perkara yang didapati dengan mudah biasanya kurang dihargai.

    Sekadar pendapat. Wassalam.

  2. Nana – Wasalam. Terima kasih atas pandangan dan cadangan akak. Ianya satu pendapat yang menarik. Pernah juga diri terfikir untuk melakukan sedemikian. Ini memandangkan bagaimana diri saya mula ‘kecanduan membaca’ setelah dikhayalkan dengan karya 1515 yang nyata mengubah paradigma saya dalam dunia perbukuan negara.

    Sebagai langkah permulaan, saya merancang untuk memperkenalkan keistimewaan dan keunikan novel-novel yang ada untuk induksi di awal proses pengajaran dan pembelajaran. Mungkin dengan ini serba sedikit dapat membuka minda pelajar bahawa dunia pembacaan itu sangat menarik untuk hanyut di dalamnya sebelum langkah-langkah yang lebih mendalam dilaksanakan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s