Matahari Di Atas Gilli

Mungkin nama Lintang Sugianto lebih dikenali sebagai seorang penyair kerana beliau begitu aktif dalam melahirkan puisi dalam dunia kesusasteraan. Matahari Di Atas Gilli (MDAG) merupakan novel pertamanya. Ternyata pengaruh beliau dalam bidang puisi menjadikan novel ini penuh dengan ungkapan dan kata-kata yang begitu mencengkam jiwa dan mengasyikkan.

Setiap watak dan alam sekeliling digambarkan secara mendalam dan begitu terperinci kerana beliau banyak menggunakan metafora-metafora bagi mengungkapkannya menjadikan pembaca hanyut dalam bait-bait kata yang dititipkan. Sebagaimana menurut W.S Wendra, inilah keistimewaan Lintang dalam kemampuannya melukiskan peristiwa jiwa.

MDAG mengisahkan seorang gadis bernama Suhada yang lahir tanpa diketahui asal usulnya semenjak dilahirkan. Tetapi dia bertuah kerana diangkat oleh seorang wanita tunggal iaitu Mamak yang memberikannya nafas kehidupan yang cukup bermakna di desa Baros. Pada usia menginjak 7 tahun, takdir memisahkan mereka apabila sebuah keluarga dari kota Bogor datang untuk membawa Suhada ke bandar dengan tujuan memberikan peluang belajar kepadanya. Itulah saat terakhir Suhada bersama dengan Mamak yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri. Pelbagai ranjau dan peristiwa menyedihkan sepanjang dia di kota sebagai pembantu rumah sambil bersekolah sehingga bertemu satu keluarga yang baik di kota Cinebron.

Masa terus berlalu, Suhada sudah menamatkan SMA dengan cemerlang. Dalam masa yang sama, kehadiran Suamar memberikan sinar baru dalam kehidupannya. Ini adalah semua gara-gara berkat kecekalan dan ketabahannya dalam meneruskan kehidupan. Perkahwinannya dengan Suamar membuatkan dirinya terasa begitu bahagia sehingga memperkenalkan kepada satu perkampungan nelayan iaitu di Pulau Gilli, kampung kelahiran suaminya.

Cabaran bermula apabila Suhada yang begitu bersemangat untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak Gilli yang mempunyai potensi menjadi manusia yang berguna dan bijak sana. Tetapi ditentang oleh masyarakat kerana tidak mahu peristiwa lalu berulang kembali. Namun, kebijaksanaan dan sifat dalaman Suhada yang sungguh luar biasa dapat mempengaruhi masyarakat sekitar sekaligus berjaya mengecapi impiannya melihat kanak-kanak memperolehi pendidikan yang sepatutnya.

Konflik yang timbul selepas itu seperti perebutan wilayah sempadan lautan nyata menggugah jiwa kerana melibatkan pembunuhan nyawa. Kemuncak ceritanya semakin rumit apabila Suhada yang mengandung melahirkan anaknya, Sambam yang sepatutnya disambut dengan penuh keceriaan namun berlaku sebaliknya. Keadaan terus berlarutan apabila Suamar menjadi tidak waras kerana tidak dapat menerima kenyataan apa yang sudah tersurat. Ceritanya tidak habis di sini sahaja sebaliknya penulis membuat pengakhiran yang begitu menyentuh perasaan kerana ia penuh dengan unsur kejutan.

Lintang Sugianto sememangnya penulis yang begitu mengagumkan. Setiap unsur di dalam novelnya seolah diberi nafas untuk terus hidup sehingga membuai diri saya sebagai seorang pembaca. Isinya nyata sekali sungguh mengesankan dan mampu menjadi satu daya inspirasi kepada sesiapa yang membaca novel ini.

Tajuk : Matahari Di Atas Gilli

Penulis : Lintang Sugianto

Penerbit : PTS Litera

Halaman : 481 muka surat

Harga : RM 25.50 (Semenanjung)/RM 28.50 (Sabah/Sarawak)

Tinggalkan komen