Ketika Cinta Bertasbih vol.2 (Resensi)

Ketika Cinta Bertasbih vol.2

Saya berasa puas. Puas yang amat sekali. Puas kerana menghabiskan bacaan novel yang mengandungi 664 muka surat itu. Akhirnya, segala persoalan dan konflik terjawab di akhir halaman. Iya..saya sudah usai membaca Ketika Cinta Bertasbih (KCB) vol.2. Ternyata, tabik diberikan kepada Kang Abik atas penghasilan novel sebegini yang meruntun jiwa dan bisa menambahkan keimanan kepada Ilahi. Mengubah paradigma lama menganjak perubahan menuju kehidupan yang diredhaiNya.

Jika KCB vol.1 berkisar di Mesir, sambungannya vol.2 pula mengambil setting di Indonesia terutamanya Solo. Kepulangan Khairul Azzam telah disambut dengan deraian air mata kegembiraan ibu dan adik-adiknya. Dalam KCB kali ini, ia banyak menampilkan watak Ayatul Husna (adik Khairul Azzam) yang sudah pun membesar menjadi seorang muslimah yang matang dan memiliki sifat dalaman yang menarik. Husna nama panggilannya adalah seorang psikologi muda dan penulis cerpen yang baru meningkat naik. Karyanya Menari Bersama Ombak telah memenangi tempat pertama dalam kategori sastera remaja dan mendapat penghargaan daripada Menteri Pendidikan Nasional Indonesia.

Dalam KCB kali ini, langsung tidak menyentuh watak sampingan di dalam KCB vo.1 sebaliknya watak Azzam, Anna dan Furqan menjadi intipati perjalanan novel. Ditambah dengan watak baru sebagai pendokong seperti Zumrah, Pak Kiai Lutfi dan ibunya Azzam. Menurut pandangan peribadi saya, keberadaan tokoh utama dari KCB 1 dan watak baru menjadi rencah menarik kepada KCB 2 sehingga merasakan jalan ceritanya lebih enak.

KCB 2 lebih banyak menampilkan konflik yang menggugah jiwa pembaca. Membikin diri tidak sedar akibat keasyikan menjamah isi ceritanya dari satu helaian ke satu helaian. Kisahnya bermula dengan pertemuan dua insan yang saling memendam cinta iaitu Anna Althafunnisa dan Khairul Azzam secara tidak sengaja apabila diperkenalkan oleh adiknya Husna. Namun tidak diluahkan kerana Anna sudah pun menjadi tunangnya Furqan. Bibit penyesalan di sanubari Anna kerana sudah terlajak menerima pinangan Furqan ketika masih menuntut di Mesir.

KCB 2 masih lagi menerapkan nilai usahawan selain persoalan cinta. Khairul telah berjaya membuka gerai bakso yang begitu dikenali sehingga dia mampu membuka banyak cawangan kesan daripada inovatifnya dalam bidang perniagaan.

Klimaks berlaku apabila Furqan mendedahkan hal sebenar kepada isterinya, Anna Althafunnisa di sebuah hotel. Anna yang tidak dapat menerima kenyataan berasa marah dengan sikap Furqan yang mendiamkan perkara tersebut sebelum perkahwinan berlangsung. Akhirnya, Anna dan Furqan bercerai. Satu lagi mengenai kecelakaan jalan raya ke atas Khairul Azzam yang meragut nyawa ibunya. Khairul Azzam terlantar di hospital  kerana mengalami kecederaan serius. Berlaku satu scene yang menyayat hati di sini kerana ia berlaku 4 hari lagi sebelum pernikahan Khairul Azzam bersama gadis dari Kudus.

Menerusi KCB 2, banyak perkara yang di luar dugaan pembaca. Namun, kebijaksanaan Kang Abik mengolah dan mengadun kisah yang berlaku menjadikan ceritanya berkesinambungan antara watak-watak di dalamnya. Di samping itu, Kang Abik turut menyelitkan beberapa kata-kata yang memantapkan rohani melalui penyampaian kuliah oleh Kang Azzam berdasarkan kitab al-hikam di Pesantren Darul Quran naungan Kiai Lutfi.

Akhir sekali, alhamdulilah semua yang berlaku dan berlalu memberikan jawapan yang memuaskan hati pembaca. Senyuman terukir di bibir. Terasa kebahagiaan yang bakal ditempuhi oleh Khairul Azzam dalam hidupnya.

2 thoughts on “Ketika Cinta Bertasbih vol.2 (Resensi)

  1. Salam.

    Wah! Sungguh tak kuduga! Seorang pembaca lelaki tahan membaca buku ini! Saya baca lebih kurang 10 muka surat, dah mengalah.

    Saya dapati, Kang Abik banyak mengulang elemen yang terkandung di dalam Ayat-Ayat Cinta, dan noveletnya Pudarnya Pesona Cleopatra. Maka itulah saya rasa novel ini kurang daya tarikan, langsung saya hilang minat untuk meneruskan :-p

  2. Bunnybaby – Wasalam. Sememangnya banyak kesempatan masa, maka tidak harus dipersia-siakan menyelesaikan bacaan. Ya, saya pun bersetuju. Sememangnya karya Kang Abik banyak berkisar persoalan yang sama dalam setiap novelnya tetapi yang menarik dan penting adalah dakwah yang disampaikan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s