Jadi “orang” gara-gara dirotan guru

Assalamualaikum

RAMAI pelajar yang menarik nafas lega apabila Kementerian Pelajaran mengekalkan arahan supaya sekolah tidak melaksanakan hukuman rotan di khalayak ramai seperti terkandung dalam Surat Pekeliling Iktisas Bil 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid. Hukuman berkenaan di khalayak ramai dikatakan boleh menjatuhkan maruah dan menimbulkan kesan negatif yang lebih besar terhadap perkembangan keperibadian seseorang murid.

Bukan pelajar saja yang gembira, tetapi mungkin juga ibu bapa yang lebih teruja dengan keputusan itu. Senario hari ini cukup berbeza dengan zaman persekolahan dulu. Malah ketika saya bersekolah dulu, lebih dua dekad lalu, budaya merotan adalah perkara biasa sama ada di hadapan ramai ketika perhimpunan mahupun di bilik guru disiplin.

Rasanya tidak pernah timbul isu menjatuhkan maruah seseorang pelajar, malah boleh dikatakan pelajar yang pernah dirotan itulah hari ini yang menjadi presiden, ketua pegawai eksekutif mahupun pengarah di kebanyakan syarikat dan mungkin juga bergelar Yang Berhormat.

Malu? Sudah tentu berasa malu jika dirotan di depan khalayak ramai, lebih-lebih lagi jika orang yang anda minati (Maklum zaman remaja) turut ada dalam perhimpunan. Tetapi akibat daripada hukuman itulah yang membuatkan pelajar berkenaan berazam untuk memperbaiki diri supaya tidak lagi dimalukan di depan orang ramai.

Saya juga tidak terkecuali daripada menerima hukuman ketika bersekolah dulu. Pernah juga di rotan, tetapi bukan di perhimpunan, sebaliknya di depan kelas. Walaupun sekadar di depan kelas yang hanya terdiri daripada 30 murid, sudah tentu malu juga dibuatnya. Apatah pula dirotan gara-gara gagal kertas ujian biologi. Bodoh betul rasanya ketika itu kerana rakan lain mendapat markah yang baik sedangkan saya dan seorang, kalau tidak silap namanya, Sunitha, gagal.

Berbeza hari ini yang mana guru dikehendaki mendapatkan penjelasan daripada murid sebelum hukuman dilaksanakan, guru biologi saya ketika itu terus memanggil nama kami dan disuruh menghulurkan tangan untuk dirotan. Terpinga-pinga juga saya apabila dirotan, tetapi apabila dihulurkan kertas ujian yang menunjukkan markah sedikit, barulah saya faham kenapa dihukum.

Tidak pula saya marah kepada guru berkenaan atau berdendam sehingga merancang untuk menggores keretanya atau memanggil rakan lain untuk memukulnya kembali selepas waktu sekolah. Malah, saya bersyukur kerana hukuman itulah sehingga hari ini saya menjadi ‘orang’ dan paling penting, tidak mungkin saya lupa apa itu gizi makanan!

Sebenarnya, bila ingat zaman sekolah dulu, begitu banyak pengalaman pahit dan manis. Saya bukan saja pernah dirotan, malah disuruh ketuk ketampi di kelas seni rumah tangga (SRT), dihukum jalan itik 10 pusingan gelanggang bola keranjang kerana ditangkap bercakap di kelas persediaan (saya bersekolah asrama) selain berdiri di hadapan ramai bersama beberapa rakan sebilik selama beberapa jam sebagai hukuman kerana bermain mercun.

Ya, saya agak nakal ketika di sekolah dulu, tetapi tidaklah sampai ke tahap melakukan sesuatu yang memungkinkan saya terbabit dalam kegiatan tidak sihat. Memikirkan keluarga terutama emak dan abah yang bersusah payah membesarkan kami adik beradik, tidak tergamak rasanya untuk menconteng arang di wajah mereka.

Mengimbas kembali kenangan lalu, saya berasakan kanak-kanak hari ini terlalu dimanjakan. Kena penampar dengan guru sedikit sudah dibawa ke media. Zaman dulu, jika diberitahu ibu bapa kita dirotan guru, bukan simpati diberi, sebaliknya kena beberapa libasan lagi.

Mungkin itulah sebabnya mengapa kanak-kanak dulu lebih berdikari dan jarang terbabit dalam gelaja tidak sihat yang kini menjadi-jadi di kalangan remaja hari ini. Semuanya bermula daripada keluarga, iaitu didikan ibu bapa.

Cara terbaik ialah menoleh ke belakang untuk dijadikan teladan dan sempadan dalam hidup. Jika anak dirotan guru, pasti ada yang tidak kena dengan mereka, bukan pergi ke sekolah menyalahkan guru yang sanggup berkorban masa dan tenaga bagi memberi pendidikan kepada anak kita.

Paling penting, jangan salahkan orang lain jika anak kita terbabit dalam sesuatu yang tidak baik, kerana semuanya bermula dari rumah.

Oleh :fadzlena@bharian.com.my

Sumber : Berita Harian

Mesejabdul – Berharap kementerian pelajaran mengkaji semula kuasa merotan di kalangan guru. Jangan terlalu memanjakan pelajar. Tengok betapa teruknya keadaan pada masa kini apabila pelajar sudah hilang rasa hormat kepada insan yang mendidik mereka. Percaya lah, guru menghukum dengan niat untuk mendidik dan menyedarkan. Bukan untuk mendera pelajar. Jika pelajar dibiarkan tanpa tindakan untuk memberi kesedaran, maka inilah yang berlaku. Masalah disiplin pelajar sudah semakin liar. Nyawa guru terancam tanpa akta yang melindungi diri mereka. Dengan niat hukuman yang baik, melahirkan pelajar yang berjaya di masa akan datang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s