Cepat benar masa berlalu. Kita sudah pun memasuki 9 Syawal. Ini bermakna sudah 9 hari kita pergi meninggalkan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Semalam juga saya menghantar isteri balik di Lapangan Terbang Sibu dengan perasaan yang amat berat sekali. Kepergian isteri sudah pasti mengundang kerinduan lagi buat sementara atas tuntutan komitmen yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan apabila bermulanya sesi persekolahan.
Namun, bertuah rasanya apabila dapat menikmati kemudahan ICT sekarang yang cukup menyenangkan kami yang berada di kejauhan. Perkembangan teknologi semasa mengubat kerinduan melalui kiriman SMS dan perbualan di telefon serta sekali sekala berhubung menggunakan YM menerusi saluran internet.
Syawal pada tahun ini menjadi sejarah kepada kami untuk menyambutnya bersama-sama sebagai sepasang suami isteri. Tahun ini, kami meraikan Syawal di kampung halaman saya, Bintangor. Kejutan kepada isteri apabila suasana hari raya di sini amat berbeza berbanding di Semenanjung. InsyaAllah, pada tahun hadapan giliran bersama isteri menyambut lebaran di Melaka pula.
Lebaran di sini, setiap rumah dihidangkan dengan pelbagai kuih muih terutamanya aneka kek, biskut dan makanan ringan khas untuk kanak-kanak. Disertakan juga hidangan berat yakni ketupat, lemang, kelupis, nasi minyak, rendang ayam dan daging serta kari ayam/daging. Di samping itu, tetamu dihidangkan dengan air lemenet (berkarbonat) di setiap rumah. Sememangnya Syawal di Sarawak memberikan kejutan kepada isi perut setelah berpuasa sebulan.
Di Sarawak juga, amalan tradisi kunjung mengunjungi dari rumah ke rumah masih lagi giat berjalan. Sepertimana pada Syawal pertama, rumah saya diamuk oleh rakan-rakan ayahanda dan jiran tetangga dari pagi sampai ke malam tanpa henti. Malamnya semua ahli keluarga kepenatan tidak dapat menahan kantuk untuk tidur awal.
Suasana sebeginilah yang dikatakan isteri sudah semakin pudar disambut di kampung halamannya.
Jika diamati, sekarang amalan kunjung mengunjungi sememangnya sudah semakin berkurangan diamalkan berbanding dahulu. Saya masih ingat bagaimana ketika masih bersekolah rendah, saya dan rakan-rakan membuat kunjungan ke setiap rumah di kampung sehingga tidak larat untuk menjamah makanan pada akhirnya akibat terlalu kekenyangan. Pada masa itu, masing-masing berlumba-lumba siapakah yang paling banyak mengunjungi rumah. Tak kira rumah sesiapa pun. Manis sungguh saat menyambut raya ketika zaman kanak-kanak.
Kini, semua memori itu menjadi kenangan indah dan kepulangan isteri membuatkan diri terasa sunyi dan kesepian semula.
Rindu padamu.



Komen