Arkib Label: raya

SALAM AIDILFITRI

7 Sep

Salam Aidilfitri,

Bercerita berkenaan kemeriahan Aidilfitri, saya amat merindui sambutan bulan Syawal ketika di zaman kanak-kanak. Masih segar dalam ingatan bagaimana pada zaman itu saya bersama rakan-rakan berkunjung ke semua rumah orang kampung sama ada dikenali ataupun tidak sehingga perut meragam kerana makan pelbagai makanan yang dihidangkan. Paling diingati adalah apabila balik sahaja daripada solat sunat Aidilfitri saya dan rakan terus ingin berkunjung ke rumah orang kampung untuk beraya dan malangnya dihalau oleh tuan rumah kerana masih belum bersedia untuk menghidangkan apa-apa. :) Keseronokan yang lain sudah semestinya apabila mendapat wang raya daripada tuan rumah. Di samping itu, keterujaan bermain mercun sudah pasti tidak dilupakan. Kemeriahannya cukup terasa. Masa itu, para anak-anak tidak disogokkan dengan siaran televisyen kerana kehangatan raya lebih bermakna disambut bersama rakan-rakan yang sentiasa melakukan kunjungan ke rumah-rumah untuk beraya.

Apabila menginjak kaki ke alam persekolahan, saya amat menyukai mengirim kad-kad raya kepada para guru dan rakan-rakan. Pada masa tersebut, setiap kad yang diberi akan dibalas oleh rakan-rakan dengan ucapan yang jika dibaca pada umur sekarang, mungkin ia satu perkara yang melucukan. Kad-kad yang dibalas akan dikumpul bersama kad-kad yang diterima daripada ibu dan ayah, kakak dan abang. Pada malam raya, kami beradik akan menggunakan kreativiti yang ada untuk mengubah dan menampal kad-kad raya tersebut di dinding rumah sebagai menambahkan seri dan suasana raya.

Kini, ketika umur sudahpun menginjak dewasa, saya tidak pasti adakah kanak-kanak sekarang masih berpeluang menyambut Aidilfitri sebagaimana masa yang lalu. Jika tidak, ini satu situasi yang merugikan. Semuanya mungkin disebabkan oleh perubahan zaman yang kini lebih banyak kepada kemajuan teknologi sehingga mencetuskan satu revolusi perubahan dalam gaya hidup masyarakat kini. Apa yang dapat diperhatikan, kini masyarakat lebih gemar beraya di rumah dengan berhibur menonton pelbagai aneka rancangan hiburan di televisyen. Tidak ketinggalan, masyarakat kini juga lebih suka mengucapkan salam aidilfitri kepada rakan-rakan dan sanak saudara hanya melalui kiriman SMS dan email sahaja. Lebih-lebih lagi kini masyarakat kita yang terpengaruh dengan kelazatan ber’facebook’ yang segalanya mudah, ringkas dan cepat.

Semoga kemeriahan Aidilfitri kembali seperti dahulu pada masa akan datang.

Akhir kata, semoga ceria dan gembira ketika menyambut lebaran kali ini bersama keluarga, saudara mara dan rakan-rakan. Lupakan segala sengketa dan bermaaf-maafan di bulan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.

SALAM AIDILFITRI,  MAAF ZAHIR DAN BATIN .

Lebaran bersama isteri

27 Sep

Syawal 1430HCepat benar masa berlalu. Kita sudah pun memasuki 9 Syawal. Ini bermakna sudah 9 hari kita pergi meninggalkan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Semalam juga saya menghantar isteri balik di Lapangan Terbang Sibu dengan perasaan yang amat berat sekali. Kepergian isteri sudah pasti mengundang kerinduan lagi buat sementara atas tuntutan komitmen yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan apabila bermulanya sesi persekolahan.

Namun, bertuah rasanya apabila dapat menikmati kemudahan ICT sekarang yang cukup menyenangkan kami yang berada di kejauhan. Perkembangan teknologi semasa mengubat kerinduan melalui kiriman SMS dan perbualan di telefon serta sekali sekala berhubung menggunakan YM menerusi saluran internet.

Syawal pada tahun ini menjadi sejarah kepada kami untuk menyambutnya bersama-sama sebagai sepasang suami isteri. Tahun ini, kami meraikan Syawal di kampung halaman saya, Bintangor. Kejutan kepada isteri apabila suasana hari raya di sini amat berbeza berbanding di Semenanjung. InsyaAllah, pada tahun hadapan giliran bersama isteri menyambut lebaran di Melaka pula.

Lebaran di sini, setiap rumah dihidangkan dengan pelbagai kuih muih terutamanya aneka kek, biskut dan makanan ringan khas untuk kanak-kanak. Disertakan juga hidangan berat yakni ketupat, lemang, kelupis, nasi minyak, rendang ayam dan daging serta kari ayam/daging. Di samping itu, tetamu dihidangkan dengan air lemenet (berkarbonat) di setiap rumah. Sememangnya Syawal di Sarawak memberikan kejutan kepada isi perut setelah berpuasa sebulan.

Di Sarawak juga, amalan tradisi kunjung mengunjungi dari rumah ke rumah masih lagi giat berjalan. Sepertimana pada Syawal pertama, rumah saya diamuk oleh rakan-rakan ayahanda dan jiran tetangga dari pagi sampai ke malam tanpa henti. Malamnya semua ahli keluarga kepenatan tidak dapat menahan kantuk untuk tidur awal.

Suasana sebeginilah yang dikatakan isteri sudah semakin pudar disambut di kampung halamannya.

Jika diamati, sekarang amalan kunjung mengunjungi sememangnya sudah semakin berkurangan diamalkan berbanding dahulu. Saya masih ingat bagaimana ketika masih bersekolah rendah, saya dan rakan-rakan membuat kunjungan ke setiap rumah di kampung sehingga tidak larat untuk menjamah makanan pada akhirnya akibat terlalu kekenyangan. Pada masa itu, masing-masing berlumba-lumba siapakah yang paling banyak mengunjungi rumah. Tak kira rumah sesiapa pun. Manis sungguh saat menyambut raya ketika zaman kanak-kanak.

Kini, semua memori itu menjadi kenangan indah dan kepulangan isteri membuatkan diri terasa sunyi dan kesepian semula.

Rindu padamu.

Syawal bakal menjelang…

16 Sep
Bersalam-salaman tanda kemaafan

Bersalam-salaman tanda kemaafan

Hari ini sudah enam belas hari umat Islam menunaikan puasa. Ini menandakan tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan meraikan aidilfitri pula. Di Malaysia, sambutan bulan syawal amat meriah sekali jika dibandingkan dengan sambutan bulan ramadhan. Kemeriahan hari rayanya disambut sehingga berhari-hari dan ada sehingga seminggu secara berterusan. Maka, tidak mustahil bahawa umat Islam di Malaysia menyambut kehadiran syawal dengan begitu mengujakan sekali. Keadaan ini amat berbeza jika dibandingkan di Timur Tengah di mana bulan syawal disambut secara sederhana sahaja. Inilah bezanya syawal di Malaysia dengan negara lain.

Sehubungan ini, ada umat Islam yang sudah pun menempah baju raya sebelum ramadhan lagi. Ada juga yang berbisnes menjual kuih-kuih dan biskut raya. Tidak ketinggalan ada yang sudah mengecat dan mengindahkan halaman rumah. Jelaslah, sambutan hari raya begitu ditunggu-tunggu oleh umat Islam di Malaysia amnya.

Harian Metro hari ini menyiarkan di mana seorang pelajar wanita IPTA pengsan ketika berasak-asak membeli belah pakaian raya di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur. Keadaan ini adalah biasa setiap kali menjelangnya bulan syawal apabila umat Islam berpusu-pusu mendapatkan bekalan hari raya sebelum pulang ke kampung halaman. Tiket-tiket bas untuk ke kampung sudah semestinya laris bagaikan pisang goreng di tika ini. Berita gembira dikhabarkan sebanyak 5,600 bas disediakan untuk balik ke kampung. Betapa hebat sambutan hari raya di Malaysia.

Beberapa hari lagi, di radio-radio mahupun televisyen akan kedengaran lagu-lagu raya yang sudah semestinya mengimbau kenangan kepada warga Malaysia yang menyambutnya. Bagi yang bertugas dan tidak dapat balik ke kampung, perasaan sedih dan syahdu bertakhta di hati. Arakian, saluran komunikasi menjadi perantara bagi mengubat kesyahduan di pagi raya.

Apa yang ingin disampaikan, sambutlah syawal kali ini dengan penuh kesyukuran dan sederhana. Bersyukur atas kemenangan kita menyempurnakan kewajipan rukun Islam iaitu berpuasa di bulan ramadhan ditemani amalan-amalan sunat yang kita telah amal kan. Semoga ia disuburkan dalam kehidupan secara berterusan. Dan besederhanalah kerana ia lebih baik untuk diri.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.