Arkib Label: ramadhan

Semangat Membaca

25 Jul

Kali terakhir saya membeli buku adalah ketika menghadiri Read Malaysia 2010 pada awal Jun yang lepas. Semenjak itu, saya cuba menahan diri dan berpuasa daripada membeli buku kerana saya lebih berazam untuk menghabiskan buku-buku yang sedia ada terlebih dahulu yang begitu membukit menunggu giliran.

Buah tangan Zaid Ibrahim dan Habiburrahman El Shirazy

Namun, kesabaran saya sampai pada hadnya dan akhirnya tewas pada petang semalam apabila singgah di Popular Bookstore Sibu. Setelah sekian lama memendam rasa, akhirnya saya mengeluarkan belanja demi mendapatkan dua buah buku iaitu Bumi Cinta (Habiburahman el-Shirazy) dan Saya pun Melayu (Zaid Ibrahim). Kalau diikutkan hati ingin juga menyambar The Lost Symbol (Dan Brown) dan Bicara Buat Pemimpin dan Rakyat (Dr. Asri Zainul Abidin), tetapi isteri memberi amaran dengan lebih awal dan akhirnya mengakui kata-katanya.

Sambil menunggu isteri membuat scanning di salah satu klinik pakar puan, saya mengambil kesempatan untuk membaca Saya Pun Melayu. Dalam hati mengatakan bahawa sememangnya buku ini agak menarik juga untuk diselami isinya tentang nasib orang Melayu berdasarkan pemikiran bekas tokoh politik parti UMNO yang kini sudah pun berjuang bersama pimpinan pembangkang. InsyaAllah, buku ini dapat diusaikan dalam masa yang singkat.

Sebenarnya, di samping buku tulisan Zaid Ibrahim tersebut, saya juga sedang menghayati beberapa buku lain secara serentak yang sentiasa bergilir-gilir berdasarkan situasi dan persekitaran. Di sekolah, saya membaca buku Dewey:The Small Town Library Cat Who Touched The World (Vicki Myron), Terapi Solat Tahajud (Muhammad Saleh) dan Membangun Bangsa dengan Mata Pena (A. Kadir Jasin).

Manakala, di rumah saya menghayati kisah percintaan yang diibaratkan Laila dan Majnun bagi masyarakat Kurdis iaitu sebuah karya yang ditulis oleh Dr. Said Ramadhan al-Buthy yakni, Pengantin Surga. Buat pengetahuan, novel ini merupakan satu-satunya buku sastera yang dihasilkan oleh penulis berdasarkan reputasi beliau yang lebih khusus dalam bidang falsafah, keagamaan dan sosiologi. Dr. Said Ramadhan adalah seorang ulama yang cukup terkenal dan kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Damascus, Syria.

Sudah tersedia menunggu bulan Ramadhan

Situasi ini bermakna, saya perlu konsisten untuk mengusaikan pembacaan kerana saya sudah membuat satu ketetapan khusus bahawa apabila masuknya bulan Ramadhan, saya perlu lebih memperbanyakan bacaan buku bercorak keagamaan dan motivasi. Alhamdulilah, buku-bukunya sudah siap disusun dan hanya perlu menunggu untuk dinodai.

Tunaikan tanggungjawab..

30 Sep

Assalamualaikum warahmatullah,

Alhamdulilah, akhirnya tertunai sudah tanggungjawab kita menunaikan salah satu rukun islam iaitu berpuasa di bulan ramadhan. Namun begitu, jangan dilupai satu lagi rukun islam iaitu mengeluarkan zakat fitrah.

Zakat fitrah ialah zakat badan yang diwajibkan ke atas umat Islam kerana berakhirnya bulan Ramadan dan dikeluarkan mengikut peraturannya. Tujuan zakat dibayar adalah untuk membersihkan diri orang yang berpuasa daripada perkataan dan perbuatan yang keji. Ini juga memberi satu ruang untuk memberikan kelapangan dan kesenangan kepada orang miskin untuk menyambut lebaran.

Sempurnanya zakat

Sempurnanya zakat

Ia mesti dilaksanakan bermula malam raya sehinggalah sebelum solat Hari Raya eidil Fitri keesokannya. Ia harus juga dilaksanakan lebih awal sepanjang bulan Ramadhan. Melaksanakannya selepas solat raya akan menghilangkan pahala dan keberkatan zakat fitrah. Melewatkan pelaksanaannya sehingga terbenam matahari hari lebaran itu adalah berdosa. Zakat fitrah tidak akan luput sehinggalah ianya dilaksanakan.

Telah diriwayatkan dalam satu hadis: ” Puasa di bulan Ramadhan itu tergantung di antara langit dan bumi, tidak diangkat ke langit kecuali ditunaikan zakat fitrah.”

Maksud tergantung itu adalah bahawa penerimaan Allah terhadap puasa itu tidak sempurna. Ia tidak sempurna sehinggalah dilaksanakan zakat fitrah tersebut. Dari satu sudut ia membersihkan orang yang berpuasa dan dari sudut yang lain ia memberi kenyang kepada golongan miskin.

RasuluLlah telah bersabda dalam hadis yang lain, ” Cukupkan mereka daripada meminta – minta pada hari raya tersebut.” Jangan dibiarkan si miskin walau seteruk mana faqirnya, sebesar mana keperluannya untuk menghulurkan tangannya meminta – minta pada hari lebaran, hari kegembiraan dan keseronokan.

Wajib ke atas kaum muslimin untuk turut menyertakan golongan miskin bersama – sama bergembira di hari raya tersebut. Justeru zakat fitrah diwajibkan. Ia memberikan golongan faqir sebelum mereka meminta, sebelum dia menjatuhkan air mukanya dan sebelum dia menghulurkan tangannya.

Kadar zakat yang ditetapkan umumnya berbeza-beza pada setiap tahun dan di antara negeri, berdasarkan beberapa faktor seperti kos barang dan sara hidup, namun kadangkala kadar yang ditetapkan di kawasan kota lebih rendah berbanding di negeri yang kos hidupnya tidak seberapa.

Dari sini, dapat diperhatikan juga aspek penting yang menentukan sah atau tidak ibadat zakat fitrah ialah niat. Ini juga sesuai dengan hadis Bukhari yang menerangkan, setiap amalan adalah berdasarkan niat.

Waktu berniat ialah ketika menyerahkan zakat. Boleh juga didahulukan sewaktu mengasingkan benda zakat itu untuk diserahkan kerana zakat boleh diwakilkan.

Niat zakat fitrah seperti: “Ini zakat fitrah yang wajib bagi diriku pada tahun ini.” Tetapi jika menunaikan zakat fitrah dengan wang, niatnya: “Ini wang ganti beras zakat fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku, pada tahun ini.”

Daripada (Abdullah) Ibn Umar r.a, katanya: Rasulullah s.a.w sudah menentukan wajibnya zakat fitrah, segantang daripada buah tamar atau segantang dari sya’ir (sejenis gandum) atas setiap orang hamba abdi atau merdeka, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa dari kalangan umat Islam.” (Hadis sahih, riwayat Bukhari dan Muslim)

Ayat-Ayat Cinta

5 Sep

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh..

Lewat malam tadi, diriku baru sahaja menghabiskan membaca novel yang menjadi best seller iaitu “Ayat-Ayat Cinta”. Ternyata kepuasan dan keinsafan terbit dari dalam diri. Tidak kusangka penulisnya, Habiburrahman El-Shirazy cukup berjaya mempengaruhi diri pembaca sehingga terkadang diriku tersenyum, geram, sedih dan gembira keseorangan membacanya. Ternyata tulisan beliau mempunyai aura yang begitu kuat untuk menyedarkan pembacanya betapa agungnya cinta itu jika berlandaskan kepada Allah swt. Ku kira ini sudah boleh dianggap sebagai dakwah oleh penulis kepada para pembaca. Arakian, dakwah ini cukup berkesan. Alhamdulilah..

Aku merasakan sudah pastinya ramai rakan-rakan yang pernah membaca novel ini kagum dengan watak-watak yang ditonjolkan. Malahan, watak-watak yang tertulis menjadi inspirasi kepada para pembaca untuk menginsafi diri dan kembali ke jalan yang lurus. Tidak hairan, watak Fahri dan Aisha mahupun Maria menjadi model untuk dicontohi bagi menempuhi kehidupan yang serba mencabar tika ini. Selepas membaca novel ini, terkadang diri ku terpikir adakah sememangnya masih wujud insan-insan seperti mereka ini di dunia ini.? Jikalau masih wujud di luar sana, Allah yubarik fik (Semoga Allah melimpahkan berkah padamu).

Kehebatan watak Fahri begitu mengujakan. Fahri adalah seorang yang miskin tetapi merupakan pelajar yang bijak dan pandai sehingga memperolehi biasiswa untuk mengikuti pelajaran di Universiti al-Azhar. Dia juga seorang amat kuat berpegang kuat pada prinsipnya dan kehormatannya serta kuat agamanya. Namun, beliau juga kepingin untuk berkahwin. Namun, dalam hidupnya dia hanya rapat kepada dua wanita iaitu ibu dan neneknya. Tapi, bila di Mesir..kehidupannya berubah apabila menjadi rebutan empat wanita yang berlainan bangsa dan pegangan prinsipnya. Ini lah serba ringkas watak utamanya Fahri yang begitu aku kagumi. Di dalam novel ini, antara satu kejadian yang paling aku terkesan ialah di mana pada satu saat Fahri terlantar di hospital dan bermimpi menemui Abdullah bin Mas’ud iaitu insan yang Baginda Nabi saw ingin sekali mendengar bacaan Al-Quran darinya..

“Abdullah bin Mas’ud tersenyum padaku, serta merta aku mencium tangannya, ia menyambutku dan memeluk diriku. Ibnu Mas’ud membisikkan syafakallah ke telingaku. Aku mencium bau harum dari jubah dan tubuhnya..”

Semasa membaca novel ini, dalam diriku berkata betapa beruntungnya menjadi insan seperti Fahri. Kejadian ini hanya dapat dialami umat yang jitu iman dan takwanya kepada Allah swt. Bahawa roh orang yang telah wafat boleh bertemu dengan roh orang masih hidup atas keizinan dan kekuasaan Allah swt. Buktinya, kejadian seperti ini diambil oleh novelis daripada kisah keyakinan Rasulullah ketika bermimpi akan berhaji dan membuka kota Makkah.

Satu lagi watak yang memikat ialah watak Maria iaitu seorang gadis Mesir yang berpegang pada Kristian-koptik. Gadis ini seorang pemalu kepada mana-mana lelaki dan berfikiran terbuka kepada ajaran Al-Quran. Mengagumkan, dia telah menghafal beberapa surah seperti surah Maryam dan al-Maidah dan melantunkannya dengan memulai ta’awudz (A’udzubillahi minasy syaithaanir rajiim). Maria merupakan tetangga kepada Fahri di apartmennya. Namun dalam diam, Maria telah jatuh cinta kepada keperibadian Fahri. Dan seluruh rasa cintanya dinukilkan dalam diarinya sehingga dia jatuh sakit. Sukar untuk menceritakan keseluruhannya. Tetapi sekali lagi novelis memberikan kejutan apabila semasa sakit, Maria telah bermimpi menemui Maryam di hadapan pintu syurga sehingga dia dapat mencium betapa wanginya bau-bauan di syurga. …Tika diriku membaca babak ini, sekali lagi aku mengagumi kebesaran Ilahi.

Ya Allah, betapa kerdilnya diriku pada kebesaranMu. Menerusi novel ini, aku cukup terkesan dan menyedari segala kekurangan pada diri. Novel ini telah meningkatkan lagi takwa ku kepada-Nya. Sebenarnya begitu banyak pengajaran dan ilmu yang boleh diperolehi daripada novel ini. Kepada sesiapa yang masih belum membaca novel ini, alangkah baiknya di bulan Ramadhan ini mencari keredhaan dengan membacanya sementara menunggu waktu berbuka. Mudah-mudahan hati dan jiwa kita tenteram dan mengagungkan diri pada kebesaran-Nya kerana novel ini memberikan gambaran Islam itu teduh, penuh cinta, penuh perasaan, sangat menghargai diri wanita dan benar-benar sebuah karya yang luar biasa.

RAMADHAN KEMBALI MENJELMA…

31 Ogo

Firman Allah s.wt yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”. (QS 2:183)

Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang setiap tahun dinantikan kehadirannya oleh umat Islam seluruh pelosok dunia. Ini memandangkan bulan yang mulia ini memberikan banyak manfaat atau fadhilatnya bagi mereka yang menghayatinya.

Berdasarkan Sabda Rasullullah s.a.w ; “Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”

Maka, di bulan Ramadhan ini umat Islam perlu memanfaatkan bulan ini dengan memperbanyakkan amal ibadat seperti bersedekah, menunaikan solat sunat, memberi hidangan berbuka puasa, beramal soleh dalam kehidupan seharian dan bertaubat atas kesalahan-kesalahan lalu. Bulan ramadhan juga memberikan peluang kepada individu melakukan anjakan dan perubahan dalam kehidupan ke arah yang positif. Perubahan-perubahan ini akan meninggikan nilai dan takwa diri seseorang di sisi Allah swt.

Diingatkan, ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan adalah berlipat ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga 70kali ganda; manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardhu. Pada keseluruhannya, bulan Ramadhan ini terbahagi kepada tiga bahagian; untuk mendapat rahmat Allah swt yang mencurah-curah, untuk mendapat keampunan Allah swt dan untuk mendapat pelepasan dari azab neraka.

Oleh itu, semua umat Islam harus mengambil kesempatan untuk mendidik jiwa dan rohani serta menggilap kembali hati yang pudar yang selama ini dibayangi bisikan-bisikan syaitan dan nafsu sendiri. Peluang ini bukan dilakukan semata-mata di bulan mulia ini sahaja, malah berterusan sebagai muslimin atau muslimah yang bertakwa kepada Allah swt.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.