Arkib Label: pesta buku

Langkahan kaki di Read Malaysia’10

6 Jun

Pagi semalam berkunjung ke Read Malaysia’10 di MIECC, The Mines. Sengaja memilih datang awal kerana selepas ini sudah tidak mempunyai kesempatan kerana mulai minggu hadapan berkelana ke Kelantan dan Melaka. Kehadiran terlalu awal membuatkan diri mempunyai kebebasan tidak perlu berasak-asak dengan orang ramai. Malahan sewaktu kedatangan di sana, semua orang masih lagi melihat dan mengikuti upacara perasmian yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Shiong.

Tidak banyak booth yang terlibat. Bagi syarikat PTS, mereka terletak bersama-sama dengan syarikat Gramedia. Tidak begitu banyak pilihan buku yang dipamerkan. Adakah memang sebegitu atau kesilapan saya yang datang terlalu awal. Menariknya, buku di booth Gramedia dijual dengan diskaun 50 peratus.

Tidak ketinggalan jualan oleh booth MPH yang terdiri daripada pelbagai jenis buku sama ada berbahasa Melayu dan English. Yang selebihnya adalah buku berbahasa Cina dan beberapa booth menjual peralatan elektronik dan permainan minda.

Inilah antara beberapa pemandangan sepanjang hari tersebut :

Upacara perasmian

Aznil Hj.Nawawi yang dipilih sebagai

Duta Read Malaysia’2010

Booth MPH

Sebelum balik, sempat mengabadikan foto

Antara buku-buku yang dibeli dari gerai Gramedia

Buku dibeli dari gerai Gramedia (PTS) dan MPH

“Mungkin” semalam adalah yang terakhir untuk membeli buku buat sementara waktu. Sudah mampir 20 buah buku yang dibeli. Kini, memikirkan cara untuk membawanya kembali ke Sarawak. Tambah lagi dengan buku yang bakal dibawa oleh rakan isteri yang dibeli semasa PBAKL 2010 yang lalu. Bila dah banyak sebegini, timbul semangat meluap-luap untuk membaca dan menikmatinya sepuas hati. Tetapi, tidak tahu bilakah semuanya dapat dihabiskan :)

Aku dan buku lagi

29 Ogo

Terasa masa begitu cepat berlalu. BookFest@Malaysia 2009Hari ini sudah masuk hari Sabtu dan menunjukkan bahawa umat Islam sudah lapan hari berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh berkat. Ini juga bermakna baki percutian tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kembali ke Sarawak.

Mengambil kesempatan cuti yang ada, saya bersama isteri berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur khususnya di Jalan TAR dan balik ke Melaka selama tiga hari. Apa yang ingin dititipkan adalah kegembiraan terpancar dalam diri apabila berpeluang untuk berkunjung ke BookFest @ Malaysia 2009 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre tempoh hari.

BookFest yang dianjurkan oleh Popular Bookstore ini adalah salah satu daripada pesta buku yang terbesar di Malaysia selain Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan Read Malaysia anjuran MIECC di Mines, Seri Kembangan setiap tahun. Pada hari tersebut, saya dan isteri bersama-sama mengenalpasti buku-buku yang ingin dibeli dan sememangnya tidak menghairankan jika majoriti yang berada di pesta buku tersebut adalah masyarakat berbangsa Cina kerana BookFest menawarkan pelbagai buku dalam bahasa Cina yang disertai oleh penerbit dari luar seperti Hong Kong, Taiwan dan China. Cuma pada tahun ini satu keistimewaan diberikan apabila buku-buku Melayu turut berkongsi tempat. Antara syarikat penerbitan yang menyertai adalah PTS Publications, DBP, Anbakri, Alaf 21, Galeri Ilmu, Jemari Seni Publishing dan pelbagai syarikat lagi.

Ini adalah antara beberapa buku yang sempat dibeli dengan kadar diskaun yang hebat. Terasa tidak rugi apabila membuat pembelian buku pada setiap kali pesta buku berlangsung. Bertuah rasanya.

 Novel Melayu

                                                                                                               

Buku non-fiksyen

Kesemua buku ini dibeli dengan kadar tidak melebihi Rm200. Jimat kan. Hehe..

Terima kasih sayang

27 Apr

Malam semalam bermakna berakhir sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 setelah berlangsung seminggu. Ini bermakna, para pencinta buku dan ilmu perlu menunggu tahun hadapan untuk merasai nikmatnya kembali. Ternyata, faktor geografi yang memisahkan menyebabkan diri tidak berkesempatan untuk singgah berbanding ketika menuntut di Tanjong Malim dahulu bagi merasai kemeriahan dan bergelumang bersama para pencinta ilmu di sana.

Walau bagaimanapun, terima kasih kepada isteri yang amat mengerti dan memahami jiwa dan minat suaminya ini dengan bersusah payah menghadirkan diri ke pesta buku tersebut bersama kakak ipar Sabtu yang lalu dalam keadaan yang amat meletihkan akibat bersesakan bersama orang ramai. Alhamdulilah, akhirnya sebelas buah buku dapat diperolehi walaupun beberapa judul buku yang disenaraikan tidak berjaya didapati akibat sudah kehabisan stok di gerai-gerai berkenaan misalnya Laskar Pelangi.

Berikut antara buku-buku yang dapat dibeli oleh isteri tersayang ;

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Bertuah sungguh pada hari yang sama, saudara Faisal Tehrani berada di gerai Al-Ameen Publishing dan nyata peluang ini tidak sama sekali dilepaskan dengan meminta isteri mendapatkan tanda tangan berharga beliau bagi karya-karyanya pada masa tersebut.

Ketupat Cinta

Namun, kesemua buku tersebut hanya akan dapat dibaca dan dibelek apabila sudah berangkat ke Selangor pada bulan Jun nanti. Dengan pembelian kali ini, ia menambahkan lagi koleksi buku yang sedia ada dan komitmen diperlukan untuk mengusaikannya bagi memenuhi azam pada tahun ini untuk menghabiskan dalam kadar 50 buah buku. InsyaAllah..

“Terima Kasih sayang”

Membilang hari..

14 Apr

Sekian lama tidak menitipkan perkhabaran di ruangan ini. Kebetulan Sarawak menikmati cuti am pada Jumaat lalu sempena Good Friday’s iaitu satu hari istiwewa yang disambut oleh masyarakat Kristian. Mengambil kesempatan itu, saya terbang melalui langit biru di kala malam menyeberang Laut China Selatan untuk bersama isteri yang berada di Selangor.

Alhamdulilah, selepas diijab kabul pada 19 Mac lalu, saya selamat bertemu kembali bersama isteri tersayang di sana. Di Kuala Lumpur, hujan sentiasa mencurah lebat sebaik sahaja hari mula menginjak waktu petang. Apa yang ingin dijelaskan sebenarnya, kedatangan minggu lepas ke sana menyebabkan kehadiran untuk singgah ke sana untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 dibatalkan.

Semata-mata untuk menjimatkan kewangan bagi tambang penerbangan yang sudah semakin mahal di samping tiada cuti tambahan pada hari Jumaat atau Isnin minggu kemudiannya. Maka, senarai buku yang ingin dibeli sudahpun dibuat untuk memudahkan wakil membelinya nanti. Antara buku yang disenaraikan adalah ;

1. Ketupat Cinta – Faisal Tehrani

2. Bercinta Sampai Ke Syurga – Ustaz Hasrizal

3. SiddharthaHermann Hesse

4. Debu HiroshimaOthman Puteh

5. Untuk Siapa Genta BergemaErnest Hemingway

6. Menjadi Pasangan Paling Bahagia – Pustaka Al-Kautsar

7. Inspiring Words – Pustaka Al-Kautsar

8. Tuhan Manusia – Faisal Tehrani

9. Karbala – Faisal Tehrani

10. Laskar Pelangi – Andrea Hirata

11. ArkeologiTrevor Barnes

12. Panggil Aku MelajuRahmat Haroun Hashim

Semoga tahun ini kemeriahan PBAKL09 lebih hangat sekaligus melahirkan semakin ramai masyarakat yang gemar membaca dan meningkatkan indeks pembacaan setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.