Arkib Label: perkahwinan

Fikir sedalam-dalamnya

9 Mac

Malam Sabtu yang lepas, saya begitu tertarik dengan sebuah drama yang disiarkan di tv3.

Apa yang menariknya? Melalui drama tersebut, kita dapat melihat bagaimana kisah percintaan orang muda yang diakhiri dengan sebuah talian perkahwinan. Persoalannya, adakah pasangan muda benar-benar bersedia untuk membina mahligai mereka demi mengelakkan diri terjerumus ke lembah kemaksiatan? Sememangnya, terdapat banyak kebaikan apabila insan muda mengikat hubungan mereka dengan ikatan yang sah. Tetapi, apa yang dikhuatiri adalah dari segi persediaan mereka. Jika kedua-dua pasangan tidak berkompromi dan tidak bertolak ansur, masalahnya di akhir hubungan berlakulah penceraian dan masalah kahwin lain sehingga kesannya pula ke atas anak2 yang tidak mengerti apa2.

Drama lakonan Fahrin Ahmad dan Syarifah Amani cukup berkesan dan mampu menyampaikan nilai-nilai penting yang patut dijadikan iktibar kepada pasangan muda yang ingin membina keluarga sendiri. Bukan sudah berkahwin, apabila berlaku masalah dalaman, salah seorang pasangan pula mengungkapkan ayat TERIMA LAH SAYA SEADANYA. Kalau begini penyelesaiannya, sampai bila-bila rumah tangga tersebut tidak dapat dibina dengan asas yang kukuh. Tidak pandai memasak. Tidak pandai mengemas. Tidak pandai melipat kain baju. TERIMALAH SAYA SEADANYA.  Jika begini keadaannya, sudah mestinya salah seorang akan makan hati dan menyesal dengan hubungan yang dibina seterusnya menyebabkan berantakan di kesudahannya. Maka, perbaiki lah diri. Lengkapkan diri atas kekurangan yang ada. Bukan hanya menyerah begitu sahaja. Kini, pelbagai sumber boleh diperolehi dengan mudah untuk belajar dan dijadikan sebagai rujukan. Sama ada mahu atau tidak sahaja lagi.

Segelintir orang muda ingin berkahwin cepat kerana tidak mengawal gelora nafsu. Maka, jalan penyelesaiannya adalah perkahwinan. Tetapi mereka tidak memikirkan ia secara mendalam dan berpandangan lebih jauh. Perkahwinan bukan dibina hanya dalam 2-3 tahun sahaja. Sebaliknya, ia perlu dibajai dan disuburi dengan persefahaman dan kasih sayang yang berkekalan hingga ke akhir hayat. Ada pasangan yang baharu, baru beberapa tahun sudah menyatakan kebosanan dan kejemuan serta rindu kepada kehidupan bujang semula. Jika perasaan sebegini masih berdaki dalam diri seseorang, maksudnya perkahwinan itu hanya dibina atas landasan nafsu semata-mata.

Melalui drama ini juga, mengingatkan saya kepada sebuah buku bertajuk Aku Terima Nikahnya yang ditulis oleh seorang pendakwah yang kini semakin dikenali iaitu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Beliau lebih popular dengan laman sesawangnya Saifulislam.com.  Seterusnya, pada tahun lepas beliau melancarkan buku sambungannya yang bertajuk Bercinta Sampai ke Syurga. Bagi saya, setiap pasangan muda yang ingin membina rumah tangga dalam tempoh awal khususnya kepada lepasan IPT digalakkan membaca karya ini kerana ia memuatkan banyak kisah dan pengalaman sebenar yang mesti dilalui oleh setiap pasangan ketika melayari rumah tangga mereka. Banyak kesedaran dan motivasi yang dapat dijadikan sebagai panduan dan peringatan bahawa perkahwinan itu bukan sekadar keseronokan semata-mata sebaliknya ia memerlukan pengorbanan yang sangat besar demi kemaslahatan keluarga. Dan persediaan itu juga harus terdiri daripada persediaan fizikal, mental dan emosi yang kukuh.

Maka, pasangan yang mempunyai niat untuk melangsungkan pernikahan perlu muhasabah diri dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan. Tetapi, bagi yang sudah betul-betul bersedia ingin melakukan pergorbanan dan sudah pun berazam dengan menanam keinginan menjadi seorang suami dan isteri yang soleh mahupun solehah, pemimpin keluarga yang bertanggung jawab, laksanakan lah dan jangan bertangguh-tangguh.

Alhamdulilah..

22 Mac

Terlaksana sudah..

Pada Ahad yang lepas bersamaan 15 Mac 2009, saya bersama keluarga berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menyunting bunga yang sudah lama menanti sang kumbangnya. Syukur alhamdulilah, pada 19 Mac 2009 terlaksana jua tanggungjawab saya memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah s.a.w dalam mendirikan rumahtangga. Ternyata, ia menjadi satu detik paling indah dalam kehidupan.

Cincin perkahwinan

Bermula saat itu juga, saya bergelar seorang suami dan menjadi pemimpin untuk isteri. InsyaAllah, dengan berkat doa daripada semua diharapkan semua berjalan sebagaimana yang diredhai oleh-Nya. Amalan 7P yang disuarakan oleh tok kadi sebelum lafaz  ijab dan kabul akan menjadi pegangan dan diamalkan bagi membentuk sebuah keluarga yang sakinah. Amin.

Menanti detik..

4 Mac

Borang Nikah

Rasulullah s.a.w bersabda ;

Wahai para pemuda, sesiapa yang sudah bersedia berkahwin, hendaklah dia segera berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu boleh menghalang pandangan(kepada yang dilarang oleh agama) dan memelihara kehormatan. Dan barangsiapa yang tidak sanggup, hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu adalah perisai baginya

(H.R Bukhari dan Muslim)

Perkahwinan adalah kaedah terbaik bagi menolong menguatkan agama dan menghindari bisikan syaitan. Ia juga penawar terbaik bagi mengubati jiwa yang kesunyian. (Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat)

InsyaAllah, dalam masa seminggu lagi sempurna sudah tanggungjawab sebagai seorang Muslim iaitu mengikuti sunnah Nabi Muhammad s.a.w dalam mendirikan sebuah perkahwinan. Ini bermakna satu dimensi baru dalam kehidupan bakal dihayati dan ditempuhi yang memerlukan kematangan dan kesabaran sebagai seorang ketua keluarga nanti.

Alam baru..

Alhamdulilah, segala perancangan sekian lama menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi. Cuma berharap agar istana mahligai yang bakal dibina berdiri kukuh dan dirahmati-Nya. Maka, bekalan ilmu dunia dan akhirat haruslah mencukupi untuk melayari bahtera kehidupan agar tidak tewas dilanda badai. Sehubungan itu, bahan bacaan tambahan berkenaan ilmu rumahtangga dibaca dan dihayati isinya sebagai peringatan kepada diri agar menjadi seorang suami yang soleh dan penyayang sekaligus menikmati kebahagiaan antara suami isteri.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.