Arkib Label: pendidikan

Takziah kepada mangsa

27 Okt

Sebagai seorang guru, apabila menerima berita ini sudah semestinya mengundang simpati dan belas kasihan.

Hari ini, akhbar berbahasa Inggeris telah melaporkan berkenaan peristiwa seorang pelajar mati lemas dan dua orang lagi masih dalam pencarian apabila jambatan gantung yang mereka naiki secara beramai-ramai untuk menyeberangi Sungai Kampar, Perak putus.

Ketika kejadian, seramai 22 orang pelajar telah dihanyutkan arus deras dan 19 orang daripadanya berjaya diselamatkan.

Mereka adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Ironiknya, jambatan gantung tersebut baru sahaja dibina untuk menggantikan jambatan lama yang sudah dimamah usia.

Mangsa yang mati lemas adalah seorang pelajar berbangsa India yakni Dina Deve Nathan, 11, dari SK Tamil Mambang Diawan. Semoga ahli keluarga adik Dina tabah menerima apa yang telah berlaku. Takziah.

Sumber foto : The Star Online

Tips Peperiksaan

25 Okt

Hari kian berlalu. Akhir tahun sudah semakin menjelang tiba. Para pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM sudah pasti sedang berkeringat menelaah pelajaran kerana ujian yang dinanti-nantikan hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi.

Apa yang penting sekarang, para pelajar perlu bijak menggunakan masa yang ada untuk mengoptimumkan daya ulang kaji pelajaran. Antaranya adalah ;

Mengemaskini segala nota yang telah dipelajari.

Memperbanyakkan latihan menjawab soalan yang berbentuk peperiksaan sebenar.

Mengenalpasti dan mengaplikasikan teknik menjawab yang betul sebagaimana kehendak soalan.

Bagi pelajar Muslim khususnya, paling penting adalah mereka harus mendekatkan diri kepada Allah swt dengan menunaikan amalan-amalan yang mulia dan meninggalkan larangan-Nya. Ini adalah kerana hati yang bersih daripada segala kekotoran akan mudah mencerna isi pelajaran dan meluahkannya di kala peperiksaan.

Dari segi jasmani, pelajar perlu mendisiplinkan diri agar fizikal yang sihat dan cergas dapat dihasilkan. Antaranya ;

Tidur yang cukup. (6-7 jam sehari)

Menjaga keselamatan diri. Khususnya ketika berada di tempat terbuka yang terdedah dengan bahaya seperti di jalan raya.

Menjaga pemakanan seharian. Makanan yang berkualiti akan membekalkan nutrien yang mencukupi dalam tubuh badan. Bagi insan Muslim, digalakkan memakan manisan seperti kurma, kismis dan madu lebah kerana ia memberikan hikmah yang istimewa dalam diri seorang pelajar terutamanya untuk mengingat nota pelajaran.

Bersukan. Ini penting untuk melancarkan peredaran darah dalam tubuh badan sekaligus membekalkan oksigen yang mencukupi kepada otak. Namun, dalam bersukan ia hanya memadai dengan bersederhana sahaja kerana takut memberikan kepenatan yang berlebihan.

Justeru, diharap para pelajar membuat persediaan rapi dengan melipat gandakan usaha kerana apa yang dilalui sekarang merupakan pelaburan yang paling utama untuk kehidupan masa hadapan. Tidak lupa untuk sentiasa berdoa kepada Yang Maha Berkuasa agar dipermudahkan segala apa yang bakal dilalui.

2010 : Pembekuan penempatan guru?

7 Okt

Bagaimanakah perasaan mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di institusi pendidikan pada masa ini apabila kemungkinan mulai tahun hadapan penempatan guru ke sekolah di seluruh negara akan dibekukan.

Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa semasa ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam ‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa dua hari lepas.

Isu ini mungkin masih belum diperbincangkan secara meluas untuk pengetahuan khalayak ramai kerana ia masih belum pasti untuk dilaksanakan. Namun jika ia benar, diharapkan pihak berkenaan mengambil pendekatan yang proaktif agar masalah ini dapat diatasi dengan keputusan yang boleh memberikan manfaat kepada para bakal graduan pendidikan tersebut.

Ini memandangkan sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak masih lagi mengalami kekurangan tenaga pengajar. Jikalau penempatan tersebut dibekukan, sudah semestinya berlaku kesukaran kepada pihak sekolah untuk memenuhi tuntutan mana-mana mata pelajaran yang memerlukan perkhidmatan guru ini.

Tambahan lagi, peningkatan jumlah bilangan pelajar di sekolah juga memberikan sedikit tekanan kepada para guru untuk mengajar atas ketidakselesaan kelas yang agak sesak. Ini sekaligus memberikan kesan yang tidak baik juga kepada hak para pelajar untuk menuntut ilmu dalam keadaan yang kondusif. Kesannya, segelintir pelajar mula berasa bosan dan tidak berminat untuk belajar dan seterusnya bisa menganggu rakan-rakan yang mempunyai keinginan tinggi untuk belajar. Implikasi seterusnya adalah para pelajar ini akan mencetuskan masalah disiplin di sekolah yang kini sudah pun semakin parah dengan pelbagai isu disiplin yang tidak enak untuk didengar di media massa saban tahun. Maka, nisbah guru kepada pelajar 1:25 semakin sukar untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara. Nyata sekali, banyak kesan berantai yang akan berlaku jika isu pembekuan guru ini dibekukan pada tahun hadapan.

Kepada mahasiswa/i pendidikan yang merasai keperitan atas perkhabaran ini, semoga tabah dan tidak patah semangat untuk terus menuntut ilmu serta terus bersiaga dalam menempuhi dunia yang luas ini dengan kemahiran yang sudah diasuh di tempat pengajian masing-masing.

MajalahSains.com menarik

28 Sep

Majalahsains.comSekarang saya sedang meneliti beberapa artikel dan laman web berkenaan bidang sains dan teknologi. Dasarnya saya ingin mendapatkan maklumat berkenaan bidang nanoteknologi. Sememangnya, mungkin masih ramai yang belum didedahkan dengan kehebatan bidang ini dalam kehidupan seharian kita.

Cuma apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah berkaitan sebuah laman web yang begitu bermaklumat dalam menyampaikan ilmu-ilmu dan pengetahuan tentang bidang sains dan teknologi. Pengasasnya adalah seorang pemuda yang cukup prolifik dalam penghasilan artikel di majalah khususnya Dewan Kosmik keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka serta sisipan estidotmy Utusan Malaysia yakni saudara Faizal Aziz.

Laman web tersebut adalah Majalahsains.com dengan temanya “Jambatan Sains dan Teknologi Untuk Masyarakat”. Ia merupakan sebuah web berbahasa Melayu yang membicarakan dunia sains dan teknologi untuk dicernakan oleh masyarakat tanpa mengira usia dan tahap akademik. Sememangnya, ini adalah satu usaha yang sangat terpuji dalam memandaikan masyarakat untuk berfikir secara lebih saintifik dan bermaklumat.

Harap MajalahSains.com terus berjuang dalam mendedahkan penemuan-penemuan menarik dan baharu berkenaan bidang sains dan teknologi.

Kes pelajar lagi

8 Sep

Apa yang sudah berlaku sebenarnya. Semakin hari pelbagai masalah dan nanah yang menjangkiti warga institusi persekolahan. Hari ini dalam akhbar menunjukkan bagaimana trend penagihan dadah di kalangan pelajar sekolah meningkat dalam masa tiga tahun.

Pada tahun 2007, seramai 117 orang yang positif dadah diikuti 159 orang pada tahun berikutnya. Tahun 2009 (sehingga Ogos) sebanyak 306 orang pelajar terbabit dalam kes ini. Peningkatan ini memberikan satu petunjuk kepada masyarakat bahawa kes salah laku di kalangan pelajar semakin membarah. Sebelum ini pelbagai kes kita pernah dengari misalnya kes buli, rogol, gangsterisme, pelajar menumbuk guru dan seks bebas.

Golongan pelajar yang paling ramai terlibat sudah semestinya Melayu yang dikenali sebagai bangsa yang beragama Islam. Ke manakah hilangnya jati diri dan keimanan yang menjadi sebagai pendinding kepada nafsu dan tingkah laku dalam kehidupan? Sebagai orang Melayu, saya berasa amat malu dan kasihan dengan nasib orang Melayu sendiri yang sudah semakin jauh menyimpang daripada norma kehidupan. Bagaimana pula dengan nasib negara kita jika golongan pelajar yang bermasalah ini memegang tampuk pemerintahan di masa hadapan. Adakah kita hanya mendiamkan diri sahaja meratapi nasib malang yang menimpa nanti.

Kredit gambar daripada Zamdee

Budaya hedonisme yang melanda jiwa para remaja sekarang cukup mengesankan. Kebanjiran hiburan yang melampau daripada media massa menjadikan masalah ini sudah semakin sukar untuk dirawati. Sebagai guru, dalam kelas pelajar sudah semakin hilang sikap hormat kepada insan yang mendidik mereka. Kesopanan juga diabaikan. Keadaan ini amat berbeza dengan tahun 90-an dahulu di mana pelajar amat gerun dengan kelibat guru. Budaya menghormati orang yang lebih dewasa masih meninggi sekali.

Di sekolah, subjek Pendidikan Islam hanya diajar beberapa waktu sahaja dalam seminggu. Berbanding dengan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang diajar dengan kuantiti masa yang banyak dalam masa satu minggu. Situasi ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara kita terlalu menekankan prestasi akademik dan mengabaikan pemantapan kerohanian pelajar. Sememangnya, kita tidak menolak kepada kemajuan dalam bidang profesional tetapi ia hendaklah seiring dengan pegangan agama yang ampuh untuk menempuh arus kehidupan.

Semoga umat Islam menyedari dan peka dengan masalah ini dengan mengambil pelbagai pendekatan untuk menyelamatkan bangsa yang tewas dalam gejolak keduniaan sekarang. Apakah salahnya jika negara ini diperintah secara Islam sepenuhnya dari segi hukum pelaksanaan dan pentadbirannya. Islam itu adil kepada semua bangsa dan agama.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.