Arkib Label: palestin

Konvoi Freedom Foltilla diserang

1 Jun

Beberapa hari lepas, saya sering mengikuti peristiwa terkini dalam rancangan AWANI ch501 setiap hari untuk mendapat input terbaharu daripada wartawan AWANI di atas salah satu kapal konvoi misi kemanusiaan Lifeline For Gaza (LL4G) ke Gaza yang membawa pelbagai barangan keperluan  dan perubatan untuk diserahkan kepada penduduk Palestin. Kembara mereka melibatkan 9 buah kapal yang terdiri daripada pelbagai negara seperti UK, Turki, negara Asia dan Eropah. Mereka berkumpul di perairan Cyprus dan seterusnya bergerak ke Gaza.

Majlis sebelum perlepasan konvoi dari negara Turki

Walau bagaimanapun, semalam dikejutkan dengan berita apabila salah satu kapal konvoi tersebut yakni “MV Mavi Marmara” diserang oleh rejim Zionis sehingga mengakibatkan 20 orang aktivis terbunuh. Manakala puluhan yang lain mengalami kecederaan akibat terkena tembakan. Apabila mengetahui tentang peristiwa ini, perasaan amarah dan geram menyelubungi diri kerana berlakunya penindasan secara terang-terangan oleh Israel ke atas sebuah pasukan yang bermotifkan keamanan bagi membantu golongan Islam yang berada di Palestin. Penindasan ini seolah-olah ditutup sebelah mata oleh kuasa dunia khususnya Amerika Syarikat tanpa sebarang kenyataan rasmi dibuat setakat ini. Memang sudah diketahui, hubungan yang terjalin antara Amerika Syarikat dan Israel adalah erat. Namun, yang menyedihkan adalah negara-negara Islam yang kaya raya sepi dan membisu tanpa mengambil langkah bagi meningkatkan syiar Islam terutamanya dalam membantu membangunkan negara Palestin. Lihat lah bagaimana negara Mesir, Arab Saudi dan beberapa negara Islam yang lain hanya berpeluk tubuh dan bungkam apabila melibatkan perjuangan membela rakyat Palestin.

Di manakah peranan badan OIC? Bagaimanakah pula tindakan yang bakal diambil oleh PBB selaku badan keselamatan dan keadilan dunia? Saya berkeyakinan isu ini hanya akan terus dibisukan dan jika dibicarakan pun sudah pasti hanya di permukaan sahaja. Zionis akan tetap dilindungi. Pengetahuan dan kesedaran berkenaan apa yang berlaku di Palestin amat penting ditanam dalam jiwa seseorang sebagai rakan Muslim. Perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara daripada cengkaman penjajah buas perlu ditekuni sejarah dan corak pemikiran mereka. Bagaimana? Bacalah segala maklumat yang telus dan bebas pendiriannya daripada buku, artikel di media cetak mahupun internet.

Penindasan ke atas golongan Palestin sudah berlaku terlalu lama. Saya masih ingat bagaimana saya menggunakan isu kekejaman Yahudi ini sebagai penerangan kepada para pelajar saya. Rata-ratanya tidak tahu langsung latar belakang peristiwa berdarah di benua Arab itu. Maka, perkongsian maklumat dicurahkan kepada para pelajar supaya mereka tidak ketinggalan dengan isu berat dan serius untuk difikirkan. (Kecewa kerana rata-rata pelajar sekarang lebih peka kepada isu hiburan yang melibatkan artis).

Sehubungan itu, sama-samalah kita mendoakan keamanan di atas muka bumi ini. Selamatkan Palestin. Berdoa semoga semua aktivitis dalam keadaan selamat dan tidak patah semangat dan terus berjuang menegakkan keadilan di bumi Palestin. Untuk mengetahui lebih lanjut boleh melawat ke ruangan di bawah ;

Lifeline 4 Gaza

Viva Palestina

Masjid al-Aqsa ditakluk

28 Okt

Israel ditubuhkan sebagai sebuah negara menjelang 1948. Mandat ini telah diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana mereka merasakan rakyat Yahudi berhak untuk memiliki negara sendiri setelah menjadi pelarian pada dekad sebelumnya. Tanah yang menjadi milik mereka sekarang merupakan sebahagian daripada tanah Palestin yang semakin susut setelah kehadiran puak Yahudi tidak mengenang jasa itu.

Kini, sudah hampir 60 tahun kita masih menjejak di permukaan bumi ini dengan segala rasa simpati dan belas kasihan akan nasib rakan kita di bumi Palestin yang merempat di negara sendiri. Beberapa hari ini, berlakunya satu peristiwa di mana pihak berkuasa Yahudi telah menguasai Masjid Al-Aqsa dengan menghalang kaum muslimin Palestin menggunakan masjid yang pernah menjadi kiblat kepada umat Islam tersebut. Kekerasan digunakan dengan memukuli para jemaah dan menembak peluru gas pemedih mata.

Syeikh Muhammad Hussein, seorang ulama terkemuka dan pemimpin agama, menggambarkan situasi di Al-Aqsa sangat berbahaya. “Para tentera Israel menyerang semua orang, termasuk perempuan dan anak-anak,” katanya.

Betapa tersiksanya rakan seMuslim kita di sana yang sering bersengketa demi mempertahankan kesucian agama Islam yang semakin dinodai oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan. Selepas puak Yahudi ini menguasai Masjid Al-Aqsa, kini mereka bermaharajela dengan menguasai sumber air pula sehingga menjejaskan keperluan seharian penduduk Palestin. Mereka hanya dibekalkan dengan penggunaan air yang terhad walaupun bilangan penduduk Palestin berjumlah 2-3 juta orang. Namun, bagi penduduk Yahudi pula mereka dimewahkan dengan sebegitu banyak sumber air walaupun penduduk Yahudi yang berada di Tebing Barat hanyalah seramai 450 000 orang. Kolam renang, menyiram rumput di halaman rumah dan air untuk irigasi penternakan besar di pemukiman Israel dapat digunakan dan dibazir-bazirkan oleh para penduduk Yahudi dan sangat berbeza berbanding penduduk desa-desa Palestin.

Ini merupakan diskriminasi yang keterlaluan dan pihak antarabangsa perlu mengambil berat berkenaan persengketaan ini dengan mencari jalan terbaik untuk membantu rakyat Palestin agar mereka tidak tertindas dengan sewenang-wenangnya. Pemimpin-pemimpin negara Islam pula haruslah berdiskusi dengan membuat keputusan yang berani dan lantang bagi membela umat Islam yang memerlukan bantuan. Bukan hanya dengan melihat mata hati yang buta dan tidak berperasaan.

Sumber lanjut

Jiwa yang luntur

24 Jan

Genjatan senjata daripada tentera Israel sudah pun berlalu beberapa hari yang lalu. Kini, warga Palestin menghadapi sisa-sisa kehidupan dengan penuh kehibaan. Jika dahulu mereka ditemani sanak saudara, kini mereka menjadi sebatang kara. Alangkah malangnya kanak-kanak yang hidupnya sudah keseorangan tanpa sesiapa lagi di sisi. Kehidupannya kini ditemani insan-insan yang senasib dengannya. Ketika mereka diperangi oleh askar Yahudi, rakan-rakan negara Islam yang lain hanya mampu melihat dan bercakap dari luar sambil melindungi kepentingan masing-masing.  Persidangan gempar di kalangan negara Arab yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian sebaliknya menjadi perbalahan antara mereka. Akhirnya, tiada titik noktah dapat dilaksanakan.

Dengan masyarakat Palestin yang sekarang dalam kebuluran dan kesejukkan tanpa kediaman yang sudah ranap menyembah bumi, ada insan berbangsa Arab yang kaya-raya di mana asetnya puluhan billion hanya lebih mengutamakan temboloknya. Tiada sebarang kesedaran pun untuk membantu warga Palestin yang kini amat memerlukan bantuan.

Dilaporkan dalam Harian Kosmo hari ini, seorang jutawan Arab bernama Dr. Sulaiman Al-Fahim yang bersungguh-sungguh untuk memiliki empayar pasukan Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hydra Properties yang berpangkalan di Abu Dhabi juga merupakan Pengerusi Falcon Equity, syarikat yang dikendalikan Holger Heims, bekas rakan niaga Deutsche Venture Capital (DVC) begitu bersemangat untuk mengambilalih kepentingan pasukan ini daripada Roman Abramovich. Sebelum itu, seorang lagi jutawan Arab yang memiliki kelab Manchester City beria-ia untuk membawa masuk bintang Brazil, Kaka dari AC Milan dengan tawaran sebanyak 243 juta pound (RM1.28 bilion). Tawaran yang diberikan ialah dengan gaji tahunan sebanyak 13.28 juta pound (RM69 juta) bersamaan dengan 255,000 pound (RM1.32 juta) seminggu. Ketamakan mereka dengan kuasa wang nyata sekali menyakitkan hati.

Faktor sebeginilah menyebabkan umat Islam ditindas dengan mudah kerana pihak yang jahat mengetahui bahawa semangat dan keimanan umat Islam kini sudah luntur malahan ada yang sudah semakin jauh terpesong. Ini semua disebabkan keberkesanan gerakan hegemoni yang mereka laksanakan dari dulu sehingga sekarang yang nyata sekali merosakkan akidah umat Islam. Yang kaya terus lupa yang memerlukan di bawah. Mereka tidak menyedari rezeki yang Allah swt kurniakan bila-bila sahaja boleh ditarik semula.

Bantahan serangan Israel..

30 Dis

Hari ini sudah masuk hari keempat Israel membedil negara Palestin. Alasan yang diberi adalah untuk memerangi Hamas yang telah melancarkan serangan roket ke atas negara mereka. Kekejaman Israel ini mendapat reaksi yang negatif daripada seluruh pelosok dunia tidak kira orang Islam mahupun yang bukan Islam. Semuanya membantah serangan kejam pihak Israel. Pengeboman dari udara yang bertalu-talu nyata memusnahkan Gaza di mana bangunan-bangunan berkecai menjadi batu halus dan debu. Tidak cukup, serangan dari laut juga dilakukan.

Sebagai umat Islam, kita berasa sedih dengan dugaan yang dihadapi oleh rakan seagama di sana. Di mana kah pemimpin-pemimpin Islam yang lain? Semuanya takut dan menjaga kepentingan masing-masing. Yang berkepentingan bersama Amerika hanya diam seribu bahasa. Tiadanya perpaduan dan perasaan kesetiaan di kalangan pemimpin Islam  menyebabkan rakyat Palestin dilanyak tanpa kasihan. Amerika selaku polis dunia hanya menyaksikan kejadian ini dengan sebelah mata. Penindasan dan pembunuhan rakyat Palestin dihalalkan bagi pemimpin mereka. Oleh itu, tidak asing lagi Presiden Bush dilemparkan dengan kasut oleh Muntadar al-Zeidi iaitu seorang wartawan yang kini ditahan di Iraq sebelum ini. (lagi…)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.