Arkib Label: membaca

Hadiah

28 Jun

Semalam sekolah ganti sempena cuti Aidilfitri bulan September nanti. Maka, minggu ini hanya hari ini dapat diluangkan untuk merehatkan badan dan minda sebelum menempuh besok yang menuntut komitmen semula.

Pada saat ini, saya sedang memikirkan berkenaan hadiah yang sudah dijanjikan kepada pelajar mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan. Hanya satu benda yang paling sesuai untuk dihadiahkan yakni BUKU. Ini bagi menanamkan dan menyemai sifat membaca di kalangan generasi ini agar mereka pula meneruskan untuk anak-anak mereka pula nanti.

Memandangkan faktor tempat yang berada di pedalaman, saya memasang perancangan untuk ke Bandar Sibu bagi mengenalpasti dan mencari buku yang sesuai untuk mereka. Saya tidak pasti untuk membeli buku apa kerana kebiasaannya di kedai-kedai yang selalu saya singgahi secara tetap agak lambat untuk mengeluarkan produk buku yang terbaru. Sedikit terlewat berbanding dengan Semenanjung.

Dengan harapan, agar buku yang sudah bermain-main di minda dan hati sudah ada di kedai buku, Sibu. Jika tidak, kena menunggu atau bisa membeli secara online sahaja.

Dilema seorang guru

19 Mei

Hakikatnya jasad saya kelihatan bergerak biasa seperi tiada bencana yang berlaku namun apa yang tersirat, roh saya melayang dan menerawang memikirkan apa yang telah berlaku petang tadi. Memerah idea bagaimana ingin menyelesaikan hal itu.

Petang tadi, saya bersama guru lain yang mengajar mata pelajaran Pengajian Am dikerah untuk menghadiri mesyuarat di Pejabat Pelajaran Sarikei.  Tujuan dan matlamatnya diadakan adalah untuk mengenalpasti permasalahan guru sepanjang pengajaran subjek tersebut di sekolah masing-masing. Namun, penghujungnya tiada jalan penyelesaian dapat dirungkaikan bagi menangani kesemuanya.

Bagi sekolah cemerlang, sudah semestinya para guru tersenyum lebar dengan prestasi sekolah yang memuaskan. Berbanding sekolah tahap sederhana kedengaran rungutan dan keluhan daripada guru-gurunya termasuk saya sendiri. Selama ini, para guru telah berhempas pulas berkorban tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk memandaikan anak didik. Seolah-olah para gurunya pula yang bakal menduduki peperiksaan STPM.

Malangnya, semua pengorbanan ini dipandang dingin oleh pelajar. Mereka hanyut dalam dunia sendiri tanpa mempedulikan apa yang telah disumbangkan oleh guru. Kadang-kadang saya sebagai guru merasai kesedihan dan kepiluan apabila segala penat lelah tersisa begitu sahaja tanpa diambil berat oleh pelajar. Namun, bukan kesemuanya pelajar sebegitu. Ada juga pelajar yang berusaha untuk memajukan diri.

Dalam mesyuarat, semua guru mengemukakan permasalahan bahawa kurangnya membaca di kalangan pelajar. Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh kami bagi menggalakkan semangat membaca dalam diri pelajar. Biar bergadai wang ringgit demi untuk manfaat pelajar. Hasilnya, masih lagi di tahap yang tidak memadai.

Di sekolah, pelajar sebenarnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Bagi anak-anak murid saya misalnya, peratusan ibu bapa mereka adalah daripada keluarga yang susah seperti petani, buruh kasar dan nelayan. Maka, had perbelanjaan kebanyakan anak murid adalah terbatas untuk membeli bahan-bahan bacaan. Maka, tiada tempat lain bergantung sepenuhnya kecuali kepada guru. Tambahan lagi, keadaan luar bandar dan pedalaman sukar untuk mendapatkan atau melihat kedai-kedai buku yang menjana minda masyarakat. Kebanyakan hanya peralatan tulis yang bisa dibeli dan mudah diperolehi. Dan pelajar-pelajar saya majoritinya adalah penghuni asrama. Di rumah, mereka tidak mempunyai kemudahan untuk mengakses internet. Semua ini telah seolah-olah menjadi dinding untuk mereka menanamkan sifat membaca.

Itulah hakikat dan kemelut yang dihadapi oleh kami warga pendidik di sekolah pedalaman.

Wahai insan-insan yang berada di luar sana, mohon agar memberikan sebarang idea dan pendapat bagaimana ingin mencetuskan minat membaca di kalangan anak-anak muda di pedalaman ini.

Demi nusa dan bangsa kita.

Dunia maya dalam industri buku

24 Feb

Terasa sukar sekali untuk log in wordpress sekarang. Ia memerlukan masa yang agak lama untuk loading dan kesabaran amat dituntut. Alhamdulilah setelah percubaan demi percubaan, akhirnya dapat log in dengan selamat.

Kemajuan dunia melalui bidang internet telah meluaskan kadar informasi masyarakat mengenai apa yang berlaku di sekeliling dan di luar sempadannya. Ternyata, faedah yang diterima tidak ternilai harganya namun harus berlandaskan penggunaan yang betul tanpa menyeleweng. Jika suatu ketika dahulu, setiap buku-buku yang dikeluarkan di pasaran, resensi mengenai buku tersebut hanya dapat dibaca dan dinilai melalui akhbar-akhbar dan majalah. Tidak ketinggalan, penyebaran secara lisan dari bibir ke bibir. Kesannya, sesebuah buku itu akan dikenali dan dibaca oleh masyarakat. (lagi…)

Koleksi baru

20 Feb

Majalah Solusi Isu No.4Ahad yang lalu singgah ke kedai buku yang terdapat di bawah Premier Hotel, Sibu. Niat pada mulanya untuk mendapatkan majalah keluaran DBP iaitu Dewan Masyarakat dan Dewan Kosmik bagi kegunaan bahan tambahan dalam pengajaran. Namun, kedai tersebut sudah tidak melanggan kedua-dua majalah ini lagi. Aduhai..mengapa majalah yang bagus sebegini sudah tidak dilanggan? Adakah ianya kurang sambutan? Sebagai pengubat, sempat membelek-belek satu majalah yang agak baru di mana tertulis di hadapan kulitnya isu no.4. Ternyata, artikel yang terdapat di dalamnya amat menarik sekali dan terus membelinya untuk santapan minda dan rohani di rumah.

Majalah tersebut dikenali dengan nama Solusi. Ataupun dalam maksud yang mudah ialah “penyelesaian”. Berdasarkan tajuk majalah tersebut, kita dapat mengenalpasti bahawa tujuan ia diterbitkan untuk merungkai dan menyelesaikan kekusutan dan kekalutan kita dalam menangani soal kehidupan berkaitan soal kerohanian. Antara isu-isu yang disentuh adalah meliputi ilmu hadis, tafsir, muamalat, fiqah, sejarah dan motivasi. Apa yang menarik dalam majalah ini ialah kebanyakan artikel yang diterbitkan merupakan tulisan daripada tokoh yang cukup dikenali seperti Ustaz Zahazan Mohamed, Dr. Hj Mohd Fadhilah Kamsah, Ustz. Siti Nor Bahyah, Ustaz Zaharuddin, Ustaz Pahrol Mohd Juoi dan Uztaz Hasrizal Abd. Jamil. Bagi bidang yang berkaitan dengan keusahawanan kita dapat membaca sumbangan penulisan oleh Dr. Irfan Khairi.

Di samping itu, majalah yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd ini turut menyelitkan iklan-iklan menarik berkenaan buku yang diterbitkan oleh mereka berserta dengan promosi yang hebat. Tambahan lagi, terdapat satu kolum di mana ia berkisar mengenai ulasan sesebuah buku yang menjadi tatapan pembaca. Sekurang-kurangnya ini memudahkan pembaca untuk mengetahui buku keluaran terbaru dan sekaligus menarik minat bagi mendapatkannya dalam meningkatkan ilmu agama.

Majalah

Ternyata, kini saya sudah menambah lagi kecintaan saya kepada satu lagi bahan bacaan tetap setiap bulan sebagai koleksi selepas majalah DM, DK, Milenia Muslim dan Tunas Cipta.

Kempen Membaca

9 Feb

Dalam jangka masa 11 tahun lagi, negara Malaysia bakal menjadi sebagai sebuah negara maju. Adakah tercapai wawasan yang telah dicanangkan sekian lama sejak era kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir ini iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Jika diamati sekarang, rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan asas dan kadar pembacaan di kalangan rakyat. (lagi…)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.