Arkib Label: lailatul qadr

Realiti atau Dongengan

22 Sep

Petang tadi hanya berbuka dengan murtabak ayam. Alhamdulilah dapat melangsaikan puasa hari ini setelah seharian menanggung lapar dan dahaga. Sambil berbuka, ayah membuka bicara menjadi penglipur lara. Tak tahu lah sama ada cerita betul ataupun hanya fantasi semata-mata. Sukar untuk dipercayai kalau ceritanya berantai-rantai daripada beberapa orang.

Al-kisah pada tahun 50-an, ada seorang pakcik Y ni kerjanya adalah sebagai seorang nelayan. Pada suatu ketika, di penghujung bulan ramadhan (agak-agak dalam 10hari terakhir ramadhan) berlaku peristiwa yang sukar untuk dipercayai. Menurut cerita, pakcik Y ni terbangun sahur. Pada masa itu, duduk jauh di pedalaman di muara lautan, tiada jam seperti masa sekarang. Semuanya bergantung kepada alam sekitar. Hanya orang-orang tua sekarang je pakar menilai waktu berdasarkan alam semulajadi. Pada kedinginan pagi yang masih yang pekat, pakcik Y bersahur. Sudahnya, riak2 matahari mula keluar sedikit. Pakcik Y terus keluar untuk membina sebuah perahu.

Disebutlah kisah, pakcik Y begitu tekun membina perahunya sehingga memuncak dan menyinarnya cahaya matahari. Sehingga ke petang, maka siap lah perahu yang dibina oleh pakcik Y. Setelah siapnya perahu tersebut, maka pakcik Y pun pulang ke rumah dan berehat. Sambil-sambil berehat, pakcik Y terdengar suara azan Subuh. Pakcik Y merasa pelik. Pakcik Y bangun dan membuka tingkap, kelihatan sesungguhnya waktunya amat gelap sekali. Pakcik Y berfikir bagaimana boleh berlaku kejadian sebegini padahal dia sudah pun keluar dari pagi sampai ke petang membina perahunya. Tanpa melengahkan masa, pakcik Y terus ke jeti dan tanpa disangka perahunya sudah siap. Maka, paginya hebohlah satu kampung dengan berita Pakcik Y menyiapkan perahunya dalam masa satu malam sahaja….

Maka, ini menunjukkan bahawa apakah ini rezeki daripada-Nya untuk Pakcik Y di malam Lailatul-Qadr? Wallahualam.

Mencari Lailatul Qadar

22 Sep

Sesungguhnya kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam al-Qadr. Dan apakah kamu tahu malam al-Qadar itu. Malam al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Turunlah para malaikat dan ruh (Jibril) ke bumi dengan izin Rabbnya untuk menjalankan segala urusan. Sejahteralah malam itu sehingga terbit fajar

Surah Al-Qadar : Ayat 1-5

Berdasarkan ayat di atas dapat dimengerti bahawa pada malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. Sebagai umat Islam, kita haruslah sentiasa memperbanyakkan amal ibadat pada malam tersebut dengan mengurangkan waktu tidur.

Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah swt melalui surah di atas, malam lailatul qadr itu mempunyai fadhilat dan kelebihan yang amat besar. Faedah dan ganjarannya bagi mereka yang beriktikaf dan beribadat pada malam tersebut adalah menyamai ibadat beriktikaf selama 1,000 bulan atau 83 tahun.

Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda :

Carilah malam lailatul-qadr pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

Hasan al-Basri meriwayatkan pula bahawa tanda-tanda turunnya malam lailatul-qadr, di antaranya ialah suasana alam pada malam itu tenang, damai dan tenteram, tidak panas dan tidak pula dingin. Cahaya matahari keesokan harinya tidak terik.

Dalam sahih Muslim disebutkan bahawa pada malam lailatul-qadr seramai 70,000 malaikat turun dari Sidratul Muntaha ke bumi. Mereka membawa rahmat Allah memasuki rumah-rumah dan memberi salam kepada orang Islam, kecuali rumah orang yang ada anjing. Apabila matahari naik esoknya, para malaikat ini naik semula ke langit dengan serentak. Sayap puluhan ribu malaikat ini melindungi pancaran panas cahaya matahari, menyebabkan suasana dingin dan tenang.

Sesungguhnya, mari lah sebagai umat Islam kita merebut malam lailatul-qadr ini dengan penuh ketakwaan, menggandakan ibadat kita dan memperbanyakkan doa kepada-Nya agar kita menjadi insan yang diredhai dan disayangi oleh-Nya.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.