Menjamu mata melihat kafe-kafe buku di seluruh dunia,
Semua foto-foto di atas dikesani dengan menggunakan Google Images. Tetapi, tak jumpa pula Kafe Buku di tanah air sendiri. Wujud jugakah di Malaysia? Jika ada, sudi berkongsi bersama saya..
Kewujudan laman sosial Facebook ciptaan Mark Zuckerberg ini memang telah banyak mengubah kehidupan manusia termasuk saya. Semenjak adanya laman tersebut, masa yang ada untuk menitipkan sebarang entri di blog sudah semakin menurun tahapnya sehingga boleh bersawang agaknya.
Kali ini saya ingin berkongsi tentang satu masalah saya yakni menghabiskan pembacaan buku dalam bahasa Inggeris. Yang saya ingat antara buku dalam bahasa Inggeris yang saya dapat habiskan dengan sempurna adalah karya Paulo Coelho bertajuk The Alchemist dan Thomas L. Friedman (Hot, Flat and Crowded..). Selebihnya ada yang berhenti setengah jalan. Malahan ada juga yang terus terperuk di almari buku tidak disentuh. Sehubungan itu, rak buku saya lebih banyak terkandung buku-buku bahasa Melayu dan Indonesia. Untuk membaca karya-karya agung penulis Barat mahupun Timur Tengah, saya lebih rela membaca terjemahannya dalam bahasa Indonesia.
Walau bagaimanapun, saya tidak anti bahasa Inggeris. Cuma saya tidak mempunyai kesabaran dan keyakinan yang tinggi untuk menghabiskan buku dalam bahasa tersebut. Dengan tulisan yang kecil dan halamannya yang tebal, ia betul-betul menguji kesabaran lebih-lebih lagi jika isi kandungannya tidak menarik. Syukur dengan adanya Facebook, saya sering mengikuti perkembangan buku-buku bahasa Inggeris yang dijual oleh Bookxcess. Memang mengujakan apabila melihat buku yang ditawarkan dengan harga yang begitu murah jika dibandingkan dengan kedai buku besar seperti MPH, Popular, Borders dan Kinokuniya KLCC.
Maka, semenjak mengenali Bookxcess, saya lebih gemar membeli buku berbahasa Inggeris daripada mereka. Beberapa bulan lepas sempat memesan daripada adik yang tinggal di IPG Bahasa Melayu untuk mendapatkan buku yang saya ingin miliki. Dan apabila adik balik bercuti, rasa seronok apabila memegang dan membelek helaian buku tersebut.
Buku berkaitan CEO Apple dan asal-usul sesuatu perkara/benda
Halaman belakang ‘blurb’ The Book Of Origins by Trevor Homer
Sebenarnya sudah banyak juga saya berbelanja di Bookxcess sebelum ini. Tetapi, sehingga sekarang masih belum sempat menodai semua buku-buku yang dibeli itu. Hehe.
Alhamdulilah, saya dan keluarga kecil saya (isteri dan bayi perempuan) selamat kembali selepas hampir seminggu bercuti di halaman sebelah isteri. Syukur juga kepada Allah swt kerana memberikan kesihatan yang baik kepada bapa mertua setelah dua malam bermalam di hospital kerana sakit.
Kini, baki persekolahan berbaki dua hari sahaja lagi sebelum rutin biasa kembali dijalani. Mengambil kesempatan cuti yang ada, seperti biasa diri ini sering tidak tertahan dengan godaan buku-buku di toko buku sedia ada di sekitar Kuala Lumpur walaupun pada tujuan asalnya menemani isteri untuk membeli barang keperluan isteri di sekitar Jalan TAR. Walaupun hajat di hati cuba bertahan untuk membeli buku baharu, namun masih juga gagal mengawal nafsu itu.
Sepanjang seminggu, kami menaiki kereta untuk ke mana-mana sahaja termasuk ke Jalan TAR tadi. Justeru, apa yang menjadi pelajaran baru kepada saya ialah perbelanjaan seharian bermula keluar daripada rumah. Baru saya memahami mengapa perniagaan online mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai khususnya bagi masyarakat tinggal di kawasan bandar dan pinggirannya. Kos yang terlibat amat besar yakni seperti pembayaran minyak kereta (tersangkut-sangkut dalam kesesakan jalan raya), bayar tol, parkir kereta dan perbelanjaan lain yang tidak berkaitan dengan tujuan asalnya.
Atas sebab-sebab ini juga selain minat saya sendiri kepada BUKU, maka saya telah menyertai jaringan Stormreaders bagi membantu menyebar luaskan bekalan buku-buku agama untuk tatapan khalayak ramai secara atas talian. Walaupun ini adalah usaha awal dan dibuat secara kecil-kecilan, alhamdulilah sambutannya agak menggalakkan. Perkara ini sudahpun saya nukilkan dalam entri saya sebelum ini yakni Kedai Buku Maya.
Pada minggu lepas sepanjang ketiadaan saya di kampung halaman, akhirnya stok yang agak lama saya tunggu sampai juga yang terdiri daripada puluhan naskhah Majalah Solusi Isu 29 dan beberapa buah buku yang ditempah oleh pelanggan.
Bungkusan yang diterima daripada Stormreaders
Buku yang sudah ditempah pelanggan kecuali
(Solat Berjemaah, 41 Kelebihan Rasulullah saw dan sebuah Diari Hamil)
Apabila mendapat bungkusan mengandungi buku-buku sebegini, diri terasa begitu teruja sekali untuk membuka helaian bungkusan dan memegang buku yang ada dengan penuh kenikmatan. Dalam masa yang sama, saya juga membuat tempahan dua jilid kitab yakni kitab FATHUL BARI Syarah Sahih al-Bukhari daripada seorang pengedar yang membekalkan kitab-kitab agama dengan harga yang menarik. Mungkin anda boleh kunjungi ke halaman web beliau di sini. Saya memang sudah lama berkeinginan untuk memiliki kitab ini kerana saya berpegang dengan amanah Allah swt supaya hamba-Nya berpegang kepada dua sumber iaitu Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw ataupun dikenali sebagai ilmu hadis.
Jaminan daripada pengedar membuatkan pembeli selesa dengan
sticker sebegini pada bungkusan
Fathul Bari Jilid 1 dan 2 (Jilid lain kena kumpul wang dulu)
InsyaAllah, dengan adanya sumber bacaan yang kini pelbagai di pustaka mini saya, cuba berazam lebih gigih untuk lebih banyak membaca demi meluaskan lagi perspektif dalam pelbagai isu sekaligus menjana minda ke arah yang lebih kritis dan positif. Amin.
AKTIVITI I
Alhamdulilah, setelah sering terhalang untuk menghadiri bengkel penulisan kerana jarak yang sangat jauh di mana saya yang menetap di seberang lautan, akhirnya pada ahad lepas (5 Disember 2010) saya berpeluang untuk mengikuti bengkel penulisan KJ Method yang dikendalikan oleh Puan Ainon Muhamad di Sekolah Al-Ikhlas, Taman Permata yang bermula pada pukul 10.00 pagi. Bertolak awal dari Kelana Jaya menaiki transit aliran ringan (LRT) untuk sampai ke stesen Wangsa Maju. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di situ. Sedikit kegusaran kerana tidak begitu mengenali tempatnya. Namun, untuk sampai ke bengkel tersebut, ianya tidak sesukar mana.
Foto diambil dari web Zamri Mohammad (klik gambar)
Walaupun sedikit lambat untuk tampil, namun saya mendapat banyak input yang berguna daripada Puan Sifu. Sebelum ini saya tercari-cari apa yang dimaksudkan dengan KJ. Apabila menghadiri diri, baru saya tahu dan memahami bahawa KJ adaah singkatan nama kepada seorang tokoh Jepun yakni Kawakita Jiro. Melalui penyertaan bengkel ini, saya berasa seolah-olah menerima banyak informasi yang menarik dan baharu khususnya tentang corak pemikiran, dunia perniagaan dan lain-lain lagi yag diselitkan dalam menyampaikan teknik-teknik penulisan menerusi kaedah tersebut. Memandangkan ini adalah kali pertama saya mengikutinya, terasa gembira dan segan apabila dapat berada berdekatan dengan penulis-penulis buku PTS lebih-lebih lagi Pn. Ainon sendiri seorang tokoh yang cukup dikagumi dalam memajukan industri penerbitan buku berbahasa Melayu di Malaysia.
Sepanjang dua jam lebih, saya mencatat segala-galanya apa yang diterangkan dan dijelaskan oleh Puan Sifu agar segala yang dicatat menjadi rujukan penting kepada saya untuk memulakan langkah penulisan. Kesimpulannya, apa yang perlu dilakukan oleh seorang penulis agar sentiasa produktif dalam melahirkan karyanya adalah melalui tiga langkah penting iaitu ;
1. Menyediakan judul buku
2. Mengenalpasti bahan/material yang berkaitan.
3. Mencari dan mendapatkan buku rujukan ( melakukan ‘adaptasi’)
dan tidak dilupai pastikan menggunakan bahasa Melayu Tinggi (BMT) dalam penulisan serta yang paling utama adalah berfikir secara NON-LINEAR.
InsyaAllah, jika ada kelapangan dan kesempatan sekali lagi saya cuba untuk hadir ke bengkel ini kerana kedatangan pada kadar satu kali masih tidak mencukupi untuk mendalami segala tunjuk ajar dan petua yang berguna daripada Puan Sifu.
AKTIVITI II
Sebaik sahaja usai bengkel penulisan, saya terus mencuri kesempatan untuk singgah sebentar ke kedai buku Bookxcess di Amcorp Mall sebelum pulang ke Kelana Jaya menggunakan LRT. Ini adalah kali kedua saya ke sini di mana pada kali pertama bersama isteri menonton wayang filem Harry Potter. Masa itu saya dan isteri masih berpacaran sahaja. Maka, kedatangan pada kali kedua di samping keadaan yang sesak dengan keramaian manusia, saya berpusing-pusing mencari kedai buku tersebut. Rupa-rupanya ia terletak di bahagian bekas panggung wayang dahulu berhadapan Mcdonald. Wahhh…saya menjadi penasaran apabila menginjak kaki di sana. Ini betul-betul syurga buku. Buku-buku disusun dengan menarik sama ada di rak mahupun di hadapan kedai yang disusun secara mendatar. Jiwa menjadi semakin kacau apabila harganya yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan buku yang sama ditawarkan di kedai buku seperti MPH, Borders dan Popular.
Saya meninjau semua ceruk dalam kedainya. Akhirnya saya menetapkan kaki lama di bahagian Biographies dan Reference. Ternampak buku yang menarik tentang Walt Disney, Nelson Mandela, Bill Bryson dan ramai lagi. Setelah meneliti satu persatu, akhirnya saya memilih tiga buah buku sahaja. Buku-bukunya adalah ;
1. The Kingdom of New York (Peter W. Kaplan) RM29.90
2. Our Choice : A plan to solve the climate crisis (Al Gore) RM 19.90
3. The Complete Guide To Cigars (Steve Luck) RM 19.90
Walaupun saya bukan seorang perokok, tetapi saya amat berminat untuk mengambil tahu tentang sejarah rokok dan jenis-jenis rokok yang ada di seluruh dunia mengikut negara-negara tertentu. Saya mula berminat tentang dunia rokok apabila pernah membaca satu artikel yang ditulis oleh saudara Karim Raslan yang menjelaskan tentang keretek di Indonesia dalam satu majalah. Inilah menjadi faktor kepada saya untuk mendapatkan buku ini. Bersertakan gambar dan keterangan yang mendalam seperti sejarah dan ciri-ciri rokok tersebut, saya rasa ia pembelian yang berbaloi sebagai tambahan ilmu pengetahuan.
Untuk buku yang ke-2, saya pasti semua orang mengenali sosok tokoh penulisnya yang merupakan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang kini menjadi seorang aktivis alam sekitar sehingga beliau dianugerahi dengan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2007. Buku ini telah diterbitkan pada tahun 2009 dan ini adalah buku ketiga berkaitan alam sekitar yang saya sudah miliki selepas buku Thomas L. Friedman dan buku How We Can Save The Planet.
Manakala buku karya Peter W. Kaplan, saya tertarik untuk mengenali lebih dekat gaya penulisan penulisnya iaitu seorang editor The New York Observer. Maka, buku ini apabila saya melihat tajuknya sudah pasti Peter mampu memberikan input yang menarik apa yang berlaku di bandar mega tersebut. Lebih-lebih lagi saya merasa berminat apabila melihat ilustrasi di depan bukunya yang menampilkan wajah-wajah tokoh besar Amerika seperti Donald Trump, Madonna, Hillary Clinton, Puff Daddy dan ramai lagi yang dilukiskan dengan cara berpakaian pada zaman King dahulu kala. Buku ini masih berbalut maka saya tidak mampu menghuraikan secara ringkas apa kandungannya.
Maka, itulah detik-detik yang berlaku yang memberikan kepuasan kepada saya pada 5 Disember 2010 yang berlalu begitu cepat sehingga tidak sedar sudah memasuki bulan Muharam tahun baharu bulan Islam. Salam Maal Hijrah 1432H.
Setelah beberapa hari hanya duduk di rumah, akhirnya hajat di hati kesampaian juga pada siang tadi. Rindu yang sudah lama terpendam membuatkan diri tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke situ. Mana lagi kalau tidak ke kedai buku.
Alhamdulilah, selepas solat Zuhur saya keseorangan meredah kerumunan orang ramai di Masjid India untuk ke Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin. Ketika sampai, ada beberapa orang pengunjung sedang memilih-milih buku dan kitab. Hati yang tersenyum dan berbunga hanya saya sahaja yang tahu. Sudah rindu benar untuk ke sini. Dari satu rak ke rak yang lain untuk memilih dan membaca buku yang betul-betul ingin dimiliki. Jika tidak dirancang awal, mahu sahaja memborong satu kedai kerana buku-buku yang ada sesungguhnya memang menggoda iman.
Bayangkan dari pukul 3 petang saya sampai, hingga pukul 4.15 petang baru saya keluar dengan menjinjing plastik yang berisi buku-buku. Sememangnya, FIB menawarkan banyak buku-buku terbaik dari Indonesia. Maka, setelah berpusing-pusing dari rak-rak yang ada, akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli 5 buah buku sahaja kerana perlu beringat dengan kertas berwarna warni di dalam dompet. Sungguhpun, niat di hati ingin mendapatkan lebih banyak lagi buku lain yang tidak kurang menariknya seperti Kitab Ringkasan Ihya Ulumuddin, buku Pram, buku Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan lain-lain lagi. Ini adalah antara buku-buku yang saya dapatkan ;
1. Supremasi Iran : Poros Setan atau Superpower Baru? (Ali M. Ansari)
2. Rahasia Datangnya Pertolongan Allah (Amru Khalid)
3. Menjala Pahala Dengan Shalat (Imam Al-Ghazali)
4. Israel Menjarah Organ Tubuh Muslim Palestina (Abdi Al-Haqq dan Tim Kajian Zionis)
5. Larangan Berjilbab Studi Kasus di Perancis (Dr Yusuf Al-Qaradhawi)
Dalam masa menunggu tuan kedai mengira-gira jumlah pembelian, saya terpandang sebuah buku yang saya ingin dapatkan yakni tentang sosok peribadi Mustafa Kamal Attartuk yang tidak berjauhan daripada kaunter. Tetapi, memandangkan bajet yang sudah pun ditetapkan, saya meletakkannya semula. Pasti masa akan datang saya membelinya jika masih ada stok. Apabila sudah membayar untuk buku-buku tersebut, baru diketahui bahawa ada potongan 15% bagi setiap buku. Rasa menyesal pula tidak mengambil buku yang lain juga.
Sebaik sahaja keluar dari Wisma Yakin, saya bergegas ke Pustaka Mukmin di Jalan TAR iaitu yang berdekatan dengan Colliseum (pawagam untuk filem Tamil). Kali ini saya cuba menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya kerana tompokan awan gelap yang memberat menandakan hujan akan membasahi bumi. Saya perlu cepat jika tidak mahu basah untuk balik semula ke Stesen Masjik Jamek. Di Pustaka Mukmin, saya terus sahaja mencari buku di rak berdekatan kaunternya. Hasilnya saya mendapatkan buku yang saya sudah lama idam-idamkan selama ini. Bukunya adalah ;
1. Turki Negara Dua Wajah (Dr. Abdullah Azzam)
2. From Beirut to Jerusalem (Ang Swee Chai) – versi BI dengan cetakan terkini. Bertanya kepada tuan kedai, tiada versi BM dijual lagi. Sedikit hampa. Mengharapkan ada penerbit sudi menterjemahkan buku ini dalam BM semula.
3. Palestin Masalah Kita Bersama (Dr. Yusuf Al-Qaradhawi)
4. Formula Solat Sempurna (Ust. Zaharuddin Abd. Rahman)
Buku Turki Negara Dua Wajah dan From Beirut To Jerusalem adalah buku yang sudah lama saya carikan. Jika dilihat kepada senarai buku yang dibeli, banyak buku-bukunya berkaitan tentang negara Palestin, Turki dan Iran. Saya amat berminat untuk mengetahui secara lebih mendalam tentang negara-negara ini. Tiga buah negara tersebut adalah antara negara yang kaya dengan sejarah Islam yang cukup menggugah jiwa dan keimanan seseorang Muslim. Khususnya tentang Palestin yang sehingga kini masih mengalami penjarahan ganas daripada tentera Zionis. Bagi negara Turki pula, saya amat berminat untuk mengambil tahu tentang zaman sekularisme yang dibawa oleh pemimpin mereka Mustafa Kamal Attartuk yang banyak melakukan perubahan besar yang bobrok dalam institusi kerajaan negara tersebut sehingga rakyatnya mengalami penjajahan Barat yang merosakkan iman. Jika dilihat, kini saya terkadang berasa risau tentang negara kita yang seolah-olah mengulangi semula kesalahan besar yang berlaku di negara Turki pada era itu berdasarkan keputusan-keputusan pelik dalam pemerintahan negara kita masa ini. Namun, kini Turki seolah-olah sinar Islam itu kembali cerah di bawah pemerintahan Recep Tayyip Erdogan yang lantang dalam mempertahankan maruah Islam. Negara Iran pula yang paling saya ingin tahu adalah ketika berlakunya Revolusi Iran 1979 dan pemerintahan pemimpin agung yang saya cukup kagumi yakni Mahmoud Ahmadinejad. Bagi saya, walaupun Iran adalah sebuah negara yang dikuasai oleh golongan syiah, namun saya amat kagumi dengan segala usaha kerajaan Iran dalam mempertahankan hak wanita di sana serta perkara lain yang sesungguhnya mematuhi syiar Islam ke atas penduduknya. Masalahnya kini, segelintir muda-mudi yang terjajah minda mereka dengan dakyah Barat membuat penentangan untuk menjatuhkan Ahmadinejad daripada tampuk pemerintahan. Geram pula rasanya.
Ini hasil pembelian untuk 30 November 2010
Panjang lebar pula entri saya kali ini. Hari ini saya berasa cukup gembira dan riang sekali walaupun poket sudah semakin menipis. Maka, kena berpuasa daripada membeli buku buat sementara waktu selepas ini. Hehe.
Selamat membaca.
Komen