Arkib Label: guru

2010 : Pembekuan penempatan guru?

7 Okt

Bagaimanakah perasaan mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di institusi pendidikan pada masa ini apabila kemungkinan mulai tahun hadapan penempatan guru ke sekolah di seluruh negara akan dibekukan.

Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa semasa ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam ‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa dua hari lepas.

Isu ini mungkin masih belum diperbincangkan secara meluas untuk pengetahuan khalayak ramai kerana ia masih belum pasti untuk dilaksanakan. Namun jika ia benar, diharapkan pihak berkenaan mengambil pendekatan yang proaktif agar masalah ini dapat diatasi dengan keputusan yang boleh memberikan manfaat kepada para bakal graduan pendidikan tersebut.

Ini memandangkan sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak masih lagi mengalami kekurangan tenaga pengajar. Jikalau penempatan tersebut dibekukan, sudah semestinya berlaku kesukaran kepada pihak sekolah untuk memenuhi tuntutan mana-mana mata pelajaran yang memerlukan perkhidmatan guru ini.

Tambahan lagi, peningkatan jumlah bilangan pelajar di sekolah juga memberikan sedikit tekanan kepada para guru untuk mengajar atas ketidakselesaan kelas yang agak sesak. Ini sekaligus memberikan kesan yang tidak baik juga kepada hak para pelajar untuk menuntut ilmu dalam keadaan yang kondusif. Kesannya, segelintir pelajar mula berasa bosan dan tidak berminat untuk belajar dan seterusnya bisa menganggu rakan-rakan yang mempunyai keinginan tinggi untuk belajar. Implikasi seterusnya adalah para pelajar ini akan mencetuskan masalah disiplin di sekolah yang kini sudah pun semakin parah dengan pelbagai isu disiplin yang tidak enak untuk didengar di media massa saban tahun. Maka, nisbah guru kepada pelajar 1:25 semakin sukar untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara. Nyata sekali, banyak kesan berantai yang akan berlaku jika isu pembekuan guru ini dibekukan pada tahun hadapan.

Kepada mahasiswa/i pendidikan yang merasai keperitan atas perkhabaran ini, semoga tabah dan tidak patah semangat untuk terus menuntut ilmu serta terus bersiaga dalam menempuhi dunia yang luas ini dengan kemahiran yang sudah diasuh di tempat pengajian masing-masing.

Memoir Seorang Guru

26 Jan

Tika saat menunggu untuk memasuki kelas, saya mengambil peluang memenuhi masa yang ada untuk menghadam isi kandungan novel karyanya Pak Azizi Hj.Abdullah ini. Nyata sekali, kepuasan mengusaikan pembacaan begitu bermakna sekali. Takjub dan kagum dengan penulisnya yang mampu mengungkapkan setiap watak dengan cukup berkesan. Mungkin pada permulaan pembacaan, saya masih terkial-kial memahami perkataan yang digunakan seperti ‘kepikunan’ yang sedikit mengganggu penghayatan. Namun, setelah dari satu helaian ke satu helaian, ia menjadi kebiasaan dan keseronokan itu mula wujud dengan plot dan perwatakan yang diciptakan begitu menarik sehingga menimbulkan pelbagai perasaan dalam diri.

Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang ustaz yang cukup berkeras melarang anak gadisnya bernama kamariah menceburi bidang perguruan kerana baginya bidang tersebut tidak mendatangkan keberkatan dan jauh sekali untuk mencapai tahap kemurabbian. Ini semua adalah disebabkan beliau tidak mahu anaknya mengikuti apa yang telah dilaluinya sepanjang mencurahkan ilmu kepada anak-anak bangsa. (lagi…)

Alam pendidikan

24 Jan

Setelah sekian lama tidak berpeluang untuk menitipkan sebarang entri, kali ini jari jemari kembali mula menaip abjad-abjad yang berada di permukaan keyboard untuk menghangatkan semula aktiviti berblog. Selama tiga minggu bertugas di sekolah, tidak terasa masa cepat sungguh berlalu. Kini kembali untuk bercuti lagi selama seminggu sempena sambutan Tahun Baru Cina. Kebanyakan sekolah mengambil peluang menambah cuti sedia ada untuk memberi peluang kepada warga Cina menyambut perayaan dengan lebih meriah. (lagi…)

PPSMI : Perlukah diteruskan??

20 Nov

Assalamualaikum Puan,

Izinkan saya untuk kongsi pengalaman di sini. Jika ada mana-mana pihak yang berkaitan membaca coretan ini, ambillah sebagai makluman.

Usahlah disiasat dan dicari-cari pemberi maklumat itu.

Hari keputusan diumumkan, sekolah tempat anak saya belajar mengadakan Hari Kecemerlangan Murid.

Di akhir majlis, pihak sekolah umumkan keputusan UPSR yang baru diterima.

Tahun lepas, 5 orang pelajar sekolah luar bandar ini berjaya memperolehi 5 A. Tahun ini hanya seorang sahaja yang berjaya mendapat 5 A. Ada 4 orang yang mendapat 4 A 1 B.

Gred B yang diperolehi oleh mereka ialah masing-masing mata pelajaran sains ataupun matematik.

Berbohonglah jika saya katakan bahawa tidak ada guru yang merungut berkenaan dengan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris antara penyumbang kepada kemerosotan keputusan UPSR di sekolah itu. (lagi…)

UPSR: Penantian penuh debaran

12 Nov

Mulai esok, 13 November 2008, keputusan UPSR akan diumumkan. Sudah pasti pelajar tidak sabar ingin mengetahui keputusan yang bakal mereka perolehi setelah berhempas pulas menuntut ilmu untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan dan membanggakan.

Yang pasti, kebanyakan para ibu sudah semestinya tidak nyenyak tidur di malam hari berdebar-debar menunggu keputusan yang diperolehi oleh anak mereka. Ini berlaku kepada mak saya yang sememangnya tidak tidur lena setiap kali keputusan peperiksaan awam anak-anaknya diumumkan bila tiba waktunya. Para guru pula mesti ada yang gelisah untuk mengetahui prestasi pelajar-pelajarnya. Memikirkan adakah segala usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini membuahkan hasil yang berbaloi.

Keputusan UPSR kali ini juga akan menjadi kayu pengukur kepada pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) selama ini. Hasil daripada keputusan ini, Kementerian Pelajaran akan menilai dan mengkaji semula dasar yang telah dibentuk adakah ia perlu diteruskan atau dihentikan dengan segera. Pada penghujung tahun ini, rakyat akan dapat mendengar dan mengetahui keputusan status PPSMI dalam pendidikan negara.

Mengambil peluang ini, tahniah kepada adik-adik yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Semoga kejayaan yang diperolehi menjadi pencetus semangat untuk lebih berjaya di masa hadapan. Kepada yang kurang bernasib baik, jangan berasa kecewa. Percayalah, peluang untuk menikmati kejayaan sentiasa terhidang di hadapan. Yang penting, pergiatkan usaha dan sematkan keazaman dalam diri dalam menongkah arus kehidupan dengan lebih gemilang.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.