Filem bulan April yang tak sabar nak tengok..
Adaptasi buku ke filem
18 Mac
Mungkin sedikit terlambat untuk saya menonton filem ini. Ada aura tersendiri yang dimiliki oleh filem arahan Nora Ephron yang diadaptasikan daripada sebuah buku yang bertajuk Julie & Julia. Buku tersebut ditulis melalui satu kisah yang sebenar dialami oleh penulisnya yakni Julie Powell.
Sesungguhnya, filem Barat tidak semuanya membawa kepada kerosakan minda dan tingkah laku. Ada filem mereka lebih baik daripada filem negara kita yang berfikiran sempit dan hanya mengandungi unsur keseronokan semata-mata tanpa mengandungi nilai-nilai yang murni untuk dihayati dan menyedarkan penonton. Tengoklah di pawagam sekarang di mana filem kita lebih menggalakkan masalah sosial yang kini sudah pun semakin meruncing.
Berbalik semula kepada filem Julie & Julia, ia mengisahkan berkenaan dua orang wanita yang hidup pada zaman yang berlainan tetapi mempunyai kesamaan dari segi kemampuan memasak. Julia Child yang hidup di Paris ketika tahun 50-an merupakan seorang perempuan yang ceria dan riang serta suka kepada makanan sehingga membuatkan Julia belajar untuk memasak masakan Perancis. Akhirnya, Julia telah berjaya dan menjadi chef bagi masakan negara Eiffel tersebut. Namun, Julia mempunyai satu impian untuk menerbitkan sebuah buku masakan dengan objektifnya ditujukan kepada wanita-wanita Amerika untuk memasak masakan Perancis. (kerana buku masakan Perancis langsung tidak mempunyai terjemahan bahasa Inggeris)
Berbanding dengan kehidupan Julie Powell pula, beliau merupakan seorang wanita yang berkerjaya di Lower Manhattan Development Corporation iaitu sebagai pelayan panggilan (call center). Akibat tekanan yang dihadapi, maka Julie telah membuat keputusan untuk memperbaiki dan menceriakan dirinya dengan melaksanakan satu matlamat sebagai cabaran dirinya iaitu memasak kesemua masakan yang terdapat dalam buku masakan Julia Child yang bertajuk Mastering the Art of French Cooking terbitan pada tahun 1961 dan Julie akan memuatkan segala proses masakannya di dalam satu halaman blog miliknya. Julie membuat satu deadline bahawa dia akan memasak sebanyak 524 resipi dalam buku tersebut dalam masa satu tahun (365 hari).
Menariknya melalui kedua-dua watak ini adalah apabila kisah mereka
mempunyai beberapa persamaan secara tidak langsung. Sepanjang Julia Child berusaha belajar masakan Perancis sebelum dia terkenal sebagai chef dan seterusnya berusaha untuk mencari penerbit bagi menerbitkan buku masakannya, Julie Powell pula berusaha untuk mencapai deadline yang telah ditetapkan olehnya. Kedua-dua situasi ini membuatkan mereka sentiasa menghadapi cabaran dan ianya perlu difahami oleh suami mereka. Di sini dapat dilihat bagaimana suami mereka memainkan tanggungjawab penting bagi memulihkan semangat isteri mereka dengan cuba memahami masalah yang dihadapi dan bersedia setiap masa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi walaupun pada suatu ketika Eric Powell (suami Julie) melarikan diri sekejap kerana pergaduhan kecil berlaku.
Daripada hanya keseronokan berblog, akhirnya blog Julie Powell mempunyai peminat tersendiri sehingga blognya menduduki tangga ke-3 di Amerika yang menghimpunkan paling ramai pengunjung. Ini telah menambahkan lagi semangat kepada Julie untuk terus melaksanakan objektif yang telah dibuatnya. Hanya berblog, akhirnya pelbagai pihak media massa datang mampir untuk mewawancara dan ingin menghasilkan sebuah buku berdasarkan blog yang dititipkan olehnya. Ini sedikit sebanyak membuka ruang kepada Julie untuk mencapai impiannya sebagai seorang penulis.
Dalam kehidupan Julia Child pula, setelah syarikat penerbitan Houghtan Mifflin menolak untuk menerbitkan buku masakannya, akhirnya terdapat sebuah syarikat menerima manuskrip dan sudi untuk menerbitkan buku masakan Julia’s selepas editor penerbitan tersebut mencuba salah satu resipi yang terkandung dalam manuskrip itu di rumah. Menarik.
Paling menggembirakan adalah pada babak akhirnya Julia Child menerima satu bungkusan pos yang sangat istimewa baginya.
Maka, melalui filem ini kita dapat melihat kepada keasyikan perfileman Barat mengadaptasikan sesebuah filem berdasarkan buku-buku samada fiksyen ataupun bukan fiksyen. Jika dilihat kepada filem ini, terdapat dua buku yang menjadi sumber utamanya iaitu buku masakan Mastering the Art of French Cooking dan buku Julie and Julia. Dan ia sekaligus menggalakkan dunia pembacaan di kalangan warga Barat kerana ia menunjukkan bukti bahawa melalui pembacaan pelbagai kemahiran dan faedah yang dapat diperolehi serta menjadi bukti bahawa membaca itu mempunyai keseronokan sebagaimana menonton filem juga.
Kasih sayang, culik dan rasuah
22 NovI dont know who you are,
but
If you dont let my daughter go
I will find you
I will kill you
Itu lah antara bait-bait kata yang membuatkan penonton filem ini berasa teruja untuk mengetahui apakah yang berlaku selepas itu.
Sebelumnya, Bryan Mills (Liam Neeson) adalah seorang bekas agen penyiasat rahsia kerajaan yang telah bersara. Sepanjang kariernya yang sulit telah menyebabkan kehidupan peribadinya musnah apabila bercerai dengan isterinya dan kini, isterinya tinggal bersama suami baharu bersama anak perempuannya, Kim yang sudah menginjak umur remaja.
Filem ini mengisahkan bagaimana kasih sayang seorang ayah kepada anaknya sehingga segala perkembangan anak diambil tahu supaya anaknya berada dalam keselamatan yang baik di bumi asing. Ini mungkin disebabkan oleh tabiat yang telah tertanam dalam sepanjang kariernya sebagai agen kerajaan. Kisahnya bermula apabila Kim yang diberi keizinan melancong ke Paris bersama rakannya, Amanda secara persendirian tanpa ditemani ibu bapa dan orang yang lebih dewasa. Ketika baru sahaja menginjakkan kaki di bumi Paris, Kim dan Amanda telah diculik oleh sebuah kumpulan sindiket pelacuran di rumah tumpangan mereka.
Tuah menyebelahi Bryan apabila Kim sempat menelefonnya secara bersembunyi memberitahu ciri-ciri geng tersebut. Selepas itulah bait-bait kata di atas tadi diucapkan kepada salah seorang geng tersebut yang memegang telefon bimbit Kim dan berkata “Good Luck” sebelum meleraikannya.
Kehebatan filem arahan Pierre Morel ini adalah terkandungnya tiga perkara utama yang ingin disampaikan. Pertama, berkenaan kasih sayang seorang bapa kepada anak sehingga melampaui segala-galanya agar anaknya berada dalam keadaan selamat di negara asing. Kedua, isu korupsi yang diamalkan oleh pihak berkuasa Perancis yang bersekongkol dengan geng sindiket dengan nisbah keuntungan yang dibahagikan. Ketiga, bagaimana keasingan di negara luar menjadi kemudahan kepada geng sindiket melakukan penculikan wanita muda untuk dijadikan pelacuran.
Lakonan Liam Neeson dalam filem ini nyata sekali memberikan impak yang sangat bagus dengan peranannya sebagai seorang bapa dan bekas agen perisikan demi menyelamatkan anak gadisnya. Filem yang berunsurkan aksi dan keganasan ini mungkin sesuai ditonton oleh kaum dewasa sahaja bagi mengelakkan kanak-kanak terikut-ikut dengan aksi yang dipertontonkan. Berkenaan filem Taken ini, ia memberikan pengajaran kepada para wanita agar lebih berhati-hati ketika berkembara di bumi asing agar tidak mudah dieksploitasikan oleh pihak yang mempunyai kepentingan sendiri. Lihatlah bagaimana liciknya kegiatan sindiket tersebut menggunakan wanita muda yang baru sahaja masuk ke negara Paris misalnya, diculik sebelum diberikan dadah dan seterusnya dijadikan pelacur dengan dihantar dan dijual ke negara-negara yang lain.
Kekuatan filem yang ditayangkan tahun 2008 ini adalah penerapan unsur ketegangan dan suspen yang berterusan semenjak pencarian Bryan di bumi Paris menyelongkar setiap sisi dan sudut jenayah kumpulan sindiket tersebut sehingga penemuan anaknya, Kim yang sedang dalam pelelongan sebelum beberapa jam dibawa keluar dari negara Perancis dan kelewatan mungkin akan menyebabkan kegagalan penemuan anak gadisnya buat selamanya. Filem ini juga mengingatkan kita kepada kes-kes penculikan wanita dan kanak-kanak perempuan di negara kita yang masih lagi gagal ditemui seperti adik Sharlinie yang kita tidak tahu akan nasibnya sehingga kini.
Kesedaran di kalangan penonton bahawa jenayah tidak akan dapat dibanteras jika masih terdapat tangan-tangan belakang yang mengambil rasuah demi kelangsungan hidup untuk melindungi kegiatan kumpulan jenayah dalam negara. Maka, rasuah itu sememangnya perosak dan penghancur negara. Ia bukan hanya dilaungkan dengan slogan dan tanda pin di dada. Tindakan dan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh sahaja yang dapat membanteras gejala kotor ini daripada menjangkiti barah rasuah yang sedia ada sekarang.
Bintang yang diberi adalah 4/5.
Filem kita bagaimana?
17 Nov
Dalam kesibukan membaca, saya juga meminati menonton filem-filem yang memberikan beberapa kepelbagaian perspektif dalam jiwa dan minda untuk difikirkan dan direnungkan.
Beberapa minggu yang lalu, saya telah menonton sebuah filem India yang bertajuk Taare Zameen Par, lakonan aktor terkenal Aamir Khan di bawah terbitan milik syarikat beliau sendiri. Saya begitu tertarik dengan filem tersebut yang menyampaikan tentang sebuah konsep disleksia.
Menurut Wikipedia, disleksia bukan merupakan satu penyakit tetapi ia merupakan satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira walaupun daya pemikiran mereka dalam keadaan normal.
Ketika bersekolah rendah dahulu, saya pernah berada sekelas bersama seorang rakan sekelas yang menghadapi masalah ini. Namun, pada masa itu saya tidak tahu menahu lagi apa yang berlaku sebenarnya. Dari tahun ke tahun si dia masih gagal menguasai ejaan dan mengenal abjad a-b-c-d… walaupun umur sudah pun menginjak 12 tahun (darjah 6). Seringkali dia dimarahi oleh guru pada ketika itu. Kini, saya tidak tahu bagaimanakah nasibnya kerana apabila ingin melangkah ke sekolah menengah, dia berhenti daripada persekolahan.
Berbalik kepada filem tadi, saya berasa terhibur dan tersentuh apabila melihat babak-babak yang meruntun jiwa bagaimana seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Ishaan sering dimarahi dan dihukum oleh guru, tertekan dengan kehendak orang tua yang hanya mementingkan akademik 100% (persepsi ia memberikan peluang kerjaya lumayan dan menyenangkan) serta keseorangan dalam menangani masalah yang tiada siapa yang memahami apa yang berlaku sebenarnya. Daripada seorang pelajar yang ceria, Ishaan menjadi seorang kanak-kanak yang pendiam dan mengalami kemurungan yang amat serta terpinggir.
Kehadiran Ram Shankar Nikumbh (Aamir Khan) yakni seorang guru seni dalam hidup Ishaan nyata sekali berjaya mengubah dia kembali diterima dalam kehidupan. Melalui babak ini, saya kagum dengan semangat seorang guru yang mempunyai kesabaran tinggi, kecekalan dan kreatif dalam mengambil pelbagai pendekatan bagi mengembangkan bakat sedia ada dalam diri Ishaan. Beliau berusaha untuk memperkembangkan diri Ishaan bahawa dia berpotensi untuk berjaya dalam kehidupan masa hadapan sama sebagaimana insan yang lain. Contohnya bagaimana Ram menekankan beberapa tokoh terkenal yang mencipta nama pada usia dewasa di mana mereka juga mengalami disleksia ketika kanak-kanak seperti Albert Einstein, Leonardo da Vinci dan Walt Disney.
Apa yang dapat digambarkan melalui filem adalah bagaimana ia memberikan teguran sinis kepada ibu bapa yang terlalu mementingkan akademik tanpa menghargai bakat pada seorang anak dan memberikan kasih sayang sepatutnya dan kepada guru pula, ia memberikan satu persepsi bahawa kanak-kanak dilahirkan dengan kemahiran dan daya penerimaan yang berbeza. Maka, mereka perlu disalurkan dengan cara yang betul untuk menguasai pelajaran dan bukan menggunakan pendekatan memarahi dan meleteri membabi buta sahaja.
Sebuah filem yang mempunyai tema sangat bagus. Bukan seperti filem Malaysia yang kosong dengan jalan cerita yang haru biru merosakkan minda dan menjolok tekak sehingga mual dan jemu.
Percintaan ‘vampire’
18 Mei
Sudah lama benar rasanya tidak menonton dvd. Namun, siang tadi saya mengambil kesempatan yang ada untuk menonton filem Twilight daripada tidur di siang hari. Pertama sekali, saya berasa teruja dan ia memang sebuah filem yang mempunyai kelainan berbanding filem vampire yang lain.
Mungkin sebelum menonton filem ini kita meneka bahawa pasti wujudnya unsur-unsur yang ganas, aksi memberahikan dan pengaliran darah sepanjang masa. Nyata sekali, ia adalah tekaan yang silap kerana filem ini lebih menekankan mengenai hubungan percintaan di antara seorang gadis manusia dengan salah seorang daripada puak vampire tersebut.
Filem yang diadaptasikan daripada novel karya Stephanie Meyer iaitu salah satu daripada novel yang menduduki lima buku bestseller di pasaran antarabangsa ini telah mengutip pendapatan tayangan sebanyak USD70.6 juta di Amerika Syarikat.
Kisahnya bermula apabila Bella yang berhijrah kolej di pekan Forks iaitu satu wilayah terpencil di Washington. Namun, di situ Bella telah jatuh cinta dengan Edward Cullen, remaja lelaki yang kacak dan merupakan sebahagian daripada keluarga vampire. Ciri fizikalnya yang putih pucat, beranak mata keemasan dan bersuara lunak telah menarik minat Bella untuk mengenali dengan lebih lanjut. Salasilahnya, Edward sebenarnya terdiri daripada keluarga Cullen iaitu vampire yang baik dan dididik tidak menghisap darah manusia sebaliknya mereka menghisap darah haiwan sahaja.
Akibat jiwa remaja yang saling bertarikan, akhirnya Bella dan Edward jatuh dalam dunia percintaan. Pendedahan demi pendedahan Edward bahawa dirinya yang sebenar nyata tidak sesekali mengubah perhatian dan minat Bella kepadanya. Klimaks filem ini apabila datangnya tiga orang vampire jahat yang telah membunuh beberapa penduduk tempatan semata-mata untuk mendapatkan darah mereka. Dan kedatangan mereka telah mencetuskan perbalahan dengan vampire terdidik (keluarga Cullen) akibat keliaran salah seorang daripada mereka iaitu dikenali sebagai James yang sentiasa dahagakan darah segar.
Sesungguhnya filem ini mempunyai unsur romantik dan suspen sehingga mengikat penonton untuk mengetahui kesudahannya. Suasana lokasi pengambaran juga begitu menarik sekali dengan unsur-unsur semulajadi yang begitu serasi dengan tema filemnya. Tidak rugi rasanya menonton filem ini.








Komen