Arkib Label: faisal tehrani

Mengidam buku baharu FT

7 Feb

Walaupun kini berlambak-lambak dan ‘menggunung’ buku-buku yang menunggu untuk dibaca, apakan daya nafsu ingin membeli buku baharu sentiasa membuak-buak bagaikan larva yang tidak sabar untuk meletus ke udara. Setiap hari tidak sah meninjau-ninjau laman-laman penerbit buku untuk menjenguk buku-buku menarik samada buku baharu ataupun buku lama tetapi masih belum menjadi koleksi. Amat berharap tahun ini berkesempatan untuk bertandang ke PBAKL 2011 setelah beberapa tahun kempunan untuk menginjakkan kaki. Meminta ehsan daripada Airasia agar ada tambang murah pada penghujung April :)

 

Buku baharu FT dijangka di pasaran hujung Februari 2011

Diterbitkan beberapa bulan yang lepas, teringin memilikinya.

Bedar Sukma Bisu

3 Mei

Iya..mungkin diri sudah ketinggalan untuk membicarakan mengenai isi buku ini. Namun, tidak salah kiranya berkongsi bersama tarikan dan kekuatan novel Bedar Sukma Bisu karya saudara Faisal Tehrani. Saya sudah usai membedahi novel ini. Sungguh menarik dan penuh dengan keintelektualan mengenai bidang maritim dan yang lebih utama tentang  ekonomi Islam.

Bedar bermaksud sebuah perahu besar sebagaimana di kulit depan novelnya. Penggunaan perkataan bedar ini amat sinonim dengan masyarakat Pantai Timur. Ia mengisahkan perjuangan sebuah perniagaan milik bumiputera Islam yang berpangkalan di bumi Semenanjung Emas iaitu di Terengganu. Pelbagai rintangan telah berlaku dalam memperkukuhkan kedudukan perniagaan ini terutamanya selepas berlakunya Perang Dunia Kedua dan kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun 1990-an. Demi kestabilan perniagaan, Bedar Sukma mula mengubah haluan dengan berorientasikan kepada bidang pelancongan maritim. (lagi…)

Godaan Buku..

25 Mac

Sudah 3 hari menginjak hari persekolahan setelah satu minggu bercuti. Selesema dan batuk masih belum kebah walaupun demam sudah beransur pulih. Cuma ingin berkongsi pengalaman ketika masa percutian. Semasa percutian lepas, saya dan isteri sibuk mencari barang-barang keperluan bagi persediaan majlis persandingan yang bakal dilangsungkan 2 bulan akan datang.

Mengambil kesempatan itu juga, saya yang gemar kepada bahan-bahan bacaan tidak mensia-siakan peluang untuk mengajak isteri singgah ke kedai buku berdekatan. Pada masa tersebut, nikmat buku merasuk diri yang meronta-ronta meminta kaki melangkah masuk ke kedai buku. Ketika membeli belah di Mid Valley, saya akhirnya mengajak isteri singgah ke MPH Bookstore. Isteri yang kurang berminat kepada dunia perbukuan memberi sokongan dan galakkan dengan setia menemani suaminya.  Terima kasih sayang :) Setelah lebih kurang 20 minit berada di dalamnya, akhirnya tangan menjinjing beberapa buku yang memang sudah lama diidamkan untuk dibaca kisah dan isinya. Antara buku dalam genggaman adalah ;

1. Ekuinoks (Azizi Ali)

2. Sangeetha (Azizi Hj. Abdullah)

3. Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani)

4. Aku Terima Nikahnya (Ustaz Hasrizal Abdul Jamil)

5. Sang Pemimpi (Andrea Hirata)

6. 300 Hadis Bimbingan (Ustaz Zahazan Mohammad dan Ahmad Hasan Mohd. Nazam)

7. 3T Taubat, Tasbih dan Tahajud (Zaini Ali Bakar)

8. Merantau Ke Deli (Hamka)

Pada dua hari sebelumnya, terlebih dahulu saya dan isteri ke Pustaka Mukmin yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman untuk mendapatkan Tafsir Al-Quran bagi dijadikan hantaran perkahwinan. Maka, sekali lagi pada masa itu jiwa tidak tenteram sekaligus menyelit buku-buku lain yang tidak dirancang pembeliannya iaitu Tunggu Teduh Dulu (Faisal Tehrani), Rindu Andalusia (Radwa Ashour), Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman (Muhd Kamil Ibrahim), Tip Menjadi Penulis Bestseller (Zamri Mohamad) dan Dua Wajah (Syed Husin Ali). Kesemua buku inilah yang memenuhi ruang bagasi ketika menaiki pesawat balik ke Sarawak. Walaupun berpuas hati dengan apa yang telah diperolehi, namun satu buku idaman iaitu Laskar Pelangi karya Andrea Hirata begitu sukar sekali untuk diperolehi. Semua kedai kehabisan stok. Nampak gayanya kena membeli secara online dengan bayaran lebih atas caj penghantaran.

Kini, Aku Terima Nikahnya dan Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman menjadi kudapan halwa minda dalam masa terluang terutamanya malam hari setelah kepenatan menggalas tugas di sekolah.

karya nan indah

26 Dis

Bagi yang sentiasa mengikuti perkembangan dunia kesusasteraan negara pastinya amat mengenali insan yang bernama Faisal Tehrani. Beliau adalah seorang penulis yang begitu aktif dalam menghasilkan cerpen dan novel yang bermutu. Kewibawaan beliau telah diberikan penghormatan sehingga menerima anugerah tertinggi kerajaan Malaysia iaitu Anugerah Seni Negara pada tahun 2006. Tambahan lagi, cerpen beliau bertajuk ‘Kerana Manisnya Epal’ dijadikan sebagai subjek komponen sastera (KOMSAS) untuk Bahasa Malaysia Tingkatan Empat.

KARYA NAN INDAH adalah sebuah buku yang amat bagus untuk dijadikan sebagai panduan kepada seseorang individu yang berniat menceburi diri dalam bidang penulisan kreatif. Buku ini amat lengkap isinya dengan disertai dengan contoh-contoh yang amat mudah untuk dimengertikan.

Setiap perkara yang diperlukan untuk menulis iaitu dari A-Z diperincikan dengan berkesan. Antaranya ialah bagaimana ingin mendapatkan idea, menerapkan falsafah dan fikrah, mencipta watak, gaya bahasa yang harus dipatuhi dan pantang larang sepanjang penulisan.

Menariknya, di permulaan buku ini penulis menulis peringatan yang harus menjadi pegangan jika ingin menjadi penulis yang baik dan diterima umum. Pertama adalah menguatkan peribadi. Maksudnya adalah dengan berpegang kepada prinsip bahawa mengarang adalah ibadah yang harus dilaksanakan bagi memanusiakan kembali manusia. Kedua, memperkayakan ilmu. Seseorang penulis itu perlu menguasai sebarang ilmu yang bermanfaat mencakupi semua bidang sama ada politik, agama, ekonomi, falsafah dan pelbagai lagi. Penulis itu juga harus memperkukuhkan jati diri dengan berpegang kuat pada ajaran agama. Ketiga, menulis untuk memperkongsikan ilmu itu bersama orang lain sekaligus menyumbang karyanya untuk kegunaan masyarakat, negara dan agama. Terakhir ialah setiap karya yang ditulis mestilah berlandaskan tiga perkara iaitu politik, agama dan sejarah sebagai intinya.

Ternyata buku ini sangat bagus dan amat bernilai. Isinya lengkap. Penyampaiannya jelas dan mudah untuk difahami. Sehubungan itu, saudara Faisal Tehrani turut meletakkan sembilan buah cerpen yang pernah ditulis oleh beliau sejak bermulanya penglibatan beliau dalam bidang penulisan sehingga kini. Tujuannya adalah memudahkan pembaca membuat perbandingan dan dijadikan motivasi kepada penulis yang ingin dan baru memulakan langkah mereka dalam bidang penulisan cerpen mahupun novel.

Tajuk : Karya Nan Indah

Penulis : Faisal Tehrani

Penerbit : Ameen Serve Holding

Harga : RM 29.00

Ulasan novel ’1515′

10 Nov

Malam semalam saya baru sahaja usai membaca buku karya Faisal Tehrani. Sememangnya ia karya yang sudah lama di pasaran iaitu semenjak tahun 2003. Tetapi, sebuah buku tidak pernah lekang ditelan masa. Sebaliknya, isi bukunya yang paling bernilai sekali.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada saudara Faisal Tehrani atas penghasilan buku ini. Sudah semestinya untuk menghasilkan buku ini, ia memerlukan kajian dan penyelidikan yang mendalam sekali terutamanya mengenai sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan pemerintahan Portugis. Dalam novel ’1515′ ini, pembaca diperkenalkan dengan watak Dr. Adi Fimiyun Abdul Hadi, seorang sejarawan yang ingin menukar perjalanan sejarah Melaka yang tewas di tangan Portugis pada tahun 1511. Sesungguhnya, beliau ingin mengubah sejarah tersebut dengan kemenangan kepada kerajaan Melaka. Ia diceritakan bagaimana tentera Portugis di bawah arahan wizurai Alburqueque tewas di tangan seorang srikandi yang memiliki ilmu persilatan dan kuasa sakti bersama panglima Melaka. Srikandi tersebut bernama Tun Nyemah Mulya. Seterusnya, kemenangan ke atas Portugis ini membina semangat di kalangan mereka untuk menjajah bumi Portugis diketuai Tun Nyemah Mulya dengan diiringi 100 bahtera perang berisi 60,000 bala tentera bersama kerajaan yang berada di Nusantara seperti Aceh, Jawa, Palembang dan Siak dan 20 kapal Turki lantas menakluki kerajaan Portugal.

“Lisbon pada tahun 1515 jatuh ke tangan Melaka. Orang Melayu memerintah di sana dengan bantuan Sepanyol sehingga tahun 1580 apabila kuasa Melayu mula merosot di Eropah”.

Dalam karya ini, Faisal Tehrani telah mencipta terdapat dua watak Nyemah Mulya. Seorang ketika wujud di zaman kesultanan melayu melaka dan seorang lagi wujud di dunia semasa. Pada mulanya, pembaca berasa keliru kerana memikirkan adakah dua watak ini saling berkait rapat. Namun, setelah membaca secara lebih lanjut, pembaca akan memahaminya bahawa antara mereka hanya sama atas nama sahaja. Tiada hubungan khusus. Di samping itu, penulis turut menyelitkan perasaan cinta dan kasih sayang tiga segi antara Fimiyun, Frida dan Maude. Akhirnya, Fimiyun menerima Maude sebagai suri rumahnya.

Saya tidak menafikan buku ini amat bermutu untuk dibaca. Dengan prosanya yang indah dan asli disertai peribahasa yang menarik serta maksudnya menjadikan buku ’1515′ wajib menjadi koleksi pembaca. Ia mengandungi sejarah. Sejarah yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu ambil tahu.

Saya berasa puas apabila selesai membaca buku ini. Setelah itu terpikir, kenapa tiada pihak produksi filem tidak berminat membikin filem sejarah. Kalau kisah Tun Nyemah Mulya ini difilemkan sudah pasti ia mendapat sambutan. Dengan teknologi sedia ada, cerita ini boleh sahaja menandingi filem Troy, Alexander dan seumpamanya.

Tidak mustahil novel ini dipertimbangkan sebagai karya kategori A atau umum sehingga ia dinobatkan sebagai pemenang kategori novel remaja untuk Hadiah Sastera tahun 2002 oleh Kumpulan Utusan.

GAMBAR : Peninggalan Portugis ( atas- A Famosa, bawah-St. Paul Church )

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.