Arkib Label: cinta

Alhamdulilah..

22 Mac

Terlaksana sudah..

Pada Ahad yang lepas bersamaan 15 Mac 2009, saya bersama keluarga berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menyunting bunga yang sudah lama menanti sang kumbangnya. Syukur alhamdulilah, pada 19 Mac 2009 terlaksana jua tanggungjawab saya memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah s.a.w dalam mendirikan rumahtangga. Ternyata, ia menjadi satu detik paling indah dalam kehidupan.

Cincin perkahwinan

Bermula saat itu juga, saya bergelar seorang suami dan menjadi pemimpin untuk isteri. InsyaAllah, dengan berkat doa daripada semua diharapkan semua berjalan sebagaimana yang diredhai oleh-Nya. Amalan 7P yang disuarakan oleh tok kadi sebelum lafazĀ  ijab dan kabul akan menjadi pegangan dan diamalkan bagi membentuk sebuah keluarga yang sakinah. Amin.

Resensi Ketika Cinta Bertasbih vo.1

9 Dis

Ketika Cinta Bertasbih vol.1

Setelah mengenali Kang Abik menerusi karya Ayat-ayat Cinta(AAC), saya kepingin sekali mendapatkan karyanya Ketika Cinta Bertasbih. Mungkin saya insan yang sudah ketinggalan mengikuti novel ini kerana ia sudahpun dikenali ramai sebelumnya. Ya. Saya sudah usai membaca novel ini beberapa hari yang lalu. Kini sedang mengikuti sambungannya vol.2.

Jika dihalusi, Ketika Cinta Bertasbih (KCB) masih menerapkan tema yang sama sebagaimana AAC iaitu kisah cinta seorang lelaki yang berdasarkan ajaran Islam di kota Mesir. Jikalau dalam AAC pembaca dikenali dengan tokohnya Fahri, tetapi di dalam KCB pemain utamanya ialah Kang Azzam ataupun nama penuhnya Abdullah Khairul Azzam. Di Mesir, sesiapapun tidakĀ  pernah mengelarkan namanya dengan nama Abdullah. Sebaliknya dia lebih dikenali dengan panggilan Kang Azzam dan Mas Insyinyur. Jika sesiapa mencari dengan namanya Abdullah, tiada siapa yang mengenali Abdullah yang mana satu. (lagi…)

Ayat-Ayat Cinta

5 Sep

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh..

Lewat malam tadi, diriku baru sahaja menghabiskan membaca novel yang menjadi best seller iaitu “Ayat-Ayat Cinta”. Ternyata kepuasan dan keinsafan terbit dari dalam diri. Tidak kusangka penulisnya, Habiburrahman El-Shirazy cukup berjaya mempengaruhi diri pembaca sehingga terkadang diriku tersenyum, geram, sedih dan gembira keseorangan membacanya. Ternyata tulisan beliau mempunyai aura yang begitu kuat untuk menyedarkan pembacanya betapa agungnya cinta itu jika berlandaskan kepada Allah swt. Ku kira ini sudah boleh dianggap sebagai dakwah oleh penulis kepada para pembaca. Arakian, dakwah ini cukup berkesan. Alhamdulilah..

Aku merasakan sudah pastinya ramai rakan-rakan yang pernah membaca novel ini kagum dengan watak-watak yang ditonjolkan. Malahan, watak-watak yang tertulis menjadi inspirasi kepada para pembaca untuk menginsafi diri dan kembali ke jalan yang lurus. Tidak hairan, watak Fahri dan Aisha mahupun Maria menjadi model untuk dicontohi bagi menempuhi kehidupan yang serba mencabar tika ini. Selepas membaca novel ini, terkadang diri ku terpikir adakah sememangnya masih wujud insan-insan seperti mereka ini di dunia ini.? Jikalau masih wujud di luar sana, Allah yubarik fik (Semoga Allah melimpahkan berkah padamu).

Kehebatan watak Fahri begitu mengujakan. Fahri adalah seorang yang miskin tetapi merupakan pelajar yang bijak dan pandai sehingga memperolehi biasiswa untuk mengikuti pelajaran di Universiti al-Azhar. Dia juga seorang amat kuat berpegang kuat pada prinsipnya dan kehormatannya serta kuat agamanya. Namun, beliau juga kepingin untuk berkahwin. Namun, dalam hidupnya dia hanya rapat kepada dua wanita iaitu ibu dan neneknya. Tapi, bila di Mesir..kehidupannya berubah apabila menjadi rebutan empat wanita yang berlainan bangsa dan pegangan prinsipnya. Ini lah serba ringkas watak utamanya Fahri yang begitu aku kagumi. Di dalam novel ini, antara satu kejadian yang paling aku terkesan ialah di mana pada satu saat Fahri terlantar di hospital dan bermimpi menemui Abdullah bin Mas’ud iaitu insan yang Baginda Nabi saw ingin sekali mendengar bacaan Al-Quran darinya..

“Abdullah bin Mas’ud tersenyum padaku, serta merta aku mencium tangannya, ia menyambutku dan memeluk diriku. Ibnu Mas’ud membisikkan syafakallah ke telingaku. Aku mencium bau harum dari jubah dan tubuhnya..”

Semasa membaca novel ini, dalam diriku berkata betapa beruntungnya menjadi insan seperti Fahri. Kejadian ini hanya dapat dialami umat yang jitu iman dan takwanya kepada Allah swt. Bahawa roh orang yang telah wafat boleh bertemu dengan roh orang masih hidup atas keizinan dan kekuasaan Allah swt. Buktinya, kejadian seperti ini diambil oleh novelis daripada kisah keyakinan Rasulullah ketika bermimpi akan berhaji dan membuka kota Makkah.

Satu lagi watak yang memikat ialah watak Maria iaitu seorang gadis Mesir yang berpegang pada Kristian-koptik. Gadis ini seorang pemalu kepada mana-mana lelaki dan berfikiran terbuka kepada ajaran Al-Quran. Mengagumkan, dia telah menghafal beberapa surah seperti surah Maryam dan al-Maidah dan melantunkannya dengan memulai ta’awudz (A’udzubillahi minasy syaithaanir rajiim). Maria merupakan tetangga kepada Fahri di apartmennya. Namun dalam diam, Maria telah jatuh cinta kepada keperibadian Fahri. Dan seluruh rasa cintanya dinukilkan dalam diarinya sehingga dia jatuh sakit. Sukar untuk menceritakan keseluruhannya. Tetapi sekali lagi novelis memberikan kejutan apabila semasa sakit, Maria telah bermimpi menemui Maryam di hadapan pintu syurga sehingga dia dapat mencium betapa wanginya bau-bauan di syurga. …Tika diriku membaca babak ini, sekali lagi aku mengagumi kebesaran Ilahi.

Ya Allah, betapa kerdilnya diriku pada kebesaranMu. Menerusi novel ini, aku cukup terkesan dan menyedari segala kekurangan pada diri. Novel ini telah meningkatkan lagi takwa ku kepada-Nya. Sebenarnya begitu banyak pengajaran dan ilmu yang boleh diperolehi daripada novel ini. Kepada sesiapa yang masih belum membaca novel ini, alangkah baiknya di bulan Ramadhan ini mencari keredhaan dengan membacanya sementara menunggu waktu berbuka. Mudah-mudahan hati dan jiwa kita tenteram dan mengagungkan diri pada kebesaran-Nya kerana novel ini memberikan gambaran Islam itu teduh, penuh cinta, penuh perasaan, sangat menghargai diri wanita dan benar-benar sebuah karya yang luar biasa.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.