Arkib Label: bahasa

Martabatkan bahasa Melayu

8 Mac

“Boni ak Bungan, please arrange the numbers in descending order.” tanya Cikgu Hamidah kepada salah seorang pelajarnya sambil menunjukkan soalan di papan tulis setelah segala ilmu diajar sebentar tadi. Kali ini respon pelajar dilihat untuk menilai kefahaman mereka.

Boni bangun dan pergi ke hadapan kelas dengan perlahan untuk menulis jawapan. Dia kelihatan teragak-agak untuk memberikan jawapan.

Semua pelajar diam menunggu termasuk Cikgu Hamidah.

“Boniii, arrange the numbers in descending orderrr. What are you looking for?” Cikgu Hamidah sekali lagi bertanya dengan nada yang agak tinggi. Geram.

Kelas senyap. Pelajar-pelajar lain mula gerun apabila mengetahui cikgu mereka sudah kelihatan naik angin. Semua mata terpaku ke arah Boni. Boni masih kaku tanpa jawapan. Matanya terkebil-kebil melihat soalan di papan tulis. Mulutnya bagaikan terkunci. Otaknya ligat berfikir apa maksud yang ditanyakan oleh Cikgu Hamidah.

Akibat terlalu lama menunggu, akhirnya telinga Boni dipulas dan dikerah untuk berdiri sebagai hukuman. Para pelajar lain pula sudah mula ketakutan jika giliran mereka pula ke hadapan.

***

Inilah realiti yang berlaku kepada anak-anak bangsa yang menjadi mangsa kepada perlaksanaan PPSMI di sekolah sejak 6 tahun dahulu. Keperitan ini lebih dirasai oleh anak-anak di pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan yang baik dalam meningkatkan kemahiran mereka sebagaimana di bandar. (lagi…)

Lanjut mengenai PPSMI

9 Feb

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kajian pemansuhan PPSMI yang telah dilakukan tokoh bahasa bolehberkunjung di laman ini.

Amanah baru

9 Jan

Alhamdulilah, lima hari pertama berada di sekolah menjalankan tugas berjalan dengan lancar. Maaf atas kekurangan diri yang tidak sempat untuk menulis sebarang entri di sini dalam beberapa hari kebelakangan ini walaupun banyak isu yang telah berlaku untuk dikongsikan bersama.

Pada hari Isnin bertarikh 5 Januari 2009, saya telah ditugaskan untuk mengajar kelas Tingkatan Enam bagi kertas Pengajian Am Bahagian 2 (penulisan kreatif). Ternyata, tanggung jawab ini disambut dengan syukur kerana berpeluang untuk mencurahkan ilmu yang ada kepada anak didik. Amanah ini juga saya jadikan sebagai pemangkin untuk memajukan diri melengkapkan minda dengan isu-isu semasa sama ada di dalam mahupun luar negara.

Setelah mengharungi 5 hari mengajar, didapati rata-rata pelajar kurang membaca bahan-bahan berunsur ilmiah. Sebagai pelajar yang mengambil ujian STPM pada tahun ini, para pelajar kelihatan tidak mempunyai inisiatif sendiri untuk mematangkan pemikiran dan mengasah kemahiran dalam mengolah karangan yang bermutu. Ternyata, begitu banyak kelemahan dalam penulisan mereka terutamanya dari segi penggunaan struktur bahasa dan ayat, ejaan dan  tatabahasa. Namun, alhamdulilah terdapat segelintir pelajar yang mampu menghasilkan karangan yang baik. Cuma masih perlu diberi bimbingan bagi menjadikan mereka lebih mahir dalam penulisan.

Dewan Masyarakat, Dewan Ekonomi dan Dewan Kosmik adalah majalah-majalah yang asing bagi kebanyakan pelajar untuk membacanya. Bila mengenangkan perkara ini, tiada jalan lain yang dapat dilakukan kecuali pelajar harus disogokkan dengan seberapa banyak maklumat agar mereka menimba pengetahuan am yang luas dan mencukupi. Pengorbanan harus dilakukan asalkan pelajar berjaya.

Dua perkara ini bakal menjadi amanah bagi  saya dalam melahirkan pelajar yang cekap dan berkemahiran tinggi dalam dunia penulisan sekaligus membantu memperkasakan bahasa agar dijulang martabatnya.  InsyaAllah, doakan saya agar semuanya berjalan dengan lancar.

BAHASA JIWA BANGSA.

Mari ‘klaka’ Sarawak

31 Okt

Tiba-tiba muncul idea untuk mengetengahkan belajar bahasa Sarawak. Sebab saya pasti masih belum ramai yang mengetahui makna dan berbahasa Sarawak terutamanya masyarakat luar Sarawak. Memandangkan ramai rakan-rakan yang akan posting ke Sarawak bermula 10 November ini, apa kata kita belajar bahasa bumi Kenyalang. Jom, kita mulakan sekarang yok..

Kata Ganti Nama

  • BAHASA SARAWAK                        BAHASA MELAYU
  • Kamek                                                         Saya /aku
  • Kitak                                                           Kamu/awak
  • Nya                                                             Dia
  • Sidak                                                           Mereka
  • Kamek orang                                              Kami

Kata Arah

  • BAHASA SARAWAK                         BAHASA MELAYU
  • Ya                                                                 Itu
  • Tok                                                               Ini
  • Siney                                                            Ke mana
  • Sitok                                                             Sini
  • Sinun                                                           Sana

Baiklah, sekian untuk kita pelajari hari ini. InsyaAllah, kemudian akan bersambung dengan lebih banyak perkataan untuk dipelajari. Kepada pengunjung yang bisa berbicara bahasa Sarawak, boleh sahaja menambahkan beberapa perkataan lain di ruang komen ya.. :)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.