Archive Page 2
Filem kita bagaimana?
Dalam kesibukan membaca, saya juga meminati menonton filem-filem yang memberikan beberapa kepelbagaian perspektif dalam jiwa dan minda untuk difikirkan dan direnungkan.
Beberapa minggu yang lalu, saya telah menonton sebuah filem India yang bertajuk Taare Zameen Par, lakonan aktor terkenal Aamir Khan di bawah terbitan milik syarikat beliau sendiri. Saya begitu tertarik dengan filem tersebut yang menyampaikan tentang sebuah konsep disleksia.
Menurut Wikipedia, disleksia bukan merupakan satu penyakit tetapi ia merupakan satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira walaupun daya pemikiran mereka dalam keadaan normal.
Ketika bersekolah rendah dahulu, saya pernah berada sekelas bersama seorang rakan sekelas yang menghadapi masalah ini. Namun, pada masa itu saya tidak tahu menahu lagi apa yang berlaku sebenarnya. Dari tahun ke tahun si dia masih gagal menguasai ejaan dan mengenal abjad a-b-c-d… walaupun umur sudah pun menginjak 12 tahun (darjah 6). Seringkali dia dimarahi oleh guru pada ketika itu. Kini, saya tidak tahu bagaimanakah nasibnya kerana apabila ingin melangkah ke sekolah menengah, dia berhenti daripada persekolahan.
Berbalik kepada filem tadi, saya berasa terhibur dan tersentuh apabila melihat babak-babak yang meruntun jiwa bagaimana seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Ishaan sering dimarahi dan dihukum oleh guru, tertekan dengan kehendak orang tua yang hanya mementingkan akademik 100% (persepsi ia memberikan peluang kerjaya lumayan dan menyenangkan) serta keseorangan dalam menangani masalah yang tiada siapa yang memahami apa yang berlaku sebenarnya. Daripada seorang pelajar yang ceria, Ishaan menjadi seorang kanak-kanak yang pendiam dan mengalami kemurungan yang amat serta terpinggir.
Kehadiran Ram Shankar Nikumbh (Aamir Khan) yakni seorang guru seni dalam hidup Ishaan nyata sekali berjaya mengubah dia kembali diterima dalam kehidupan. Melalui babak ini, saya kagum dengan semangat seorang guru yang mempunyai kesabaran tinggi, kecekalan dan kreatif dalam mengambil pelbagai pendekatan bagi mengembangkan bakat sedia ada dalam diri Ishaan. Beliau berusaha untuk memperkembangkan diri Ishaan bahawa dia berpotensi untuk berjaya dalam kehidupan masa hadapan sama sebagaimana insan yang lain. Contohnya bagaimana Ram menekankan beberapa tokoh terkenal yang mencipta nama pada usia dewasa di mana mereka juga mengalami disleksia ketika kanak-kanak seperti Albert Einstein, Leonardo da Vinci dan Walt Disney.
Apa yang dapat digambarkan melalui filem adalah bagaimana ia memberikan teguran sinis kepada ibu bapa yang terlalu mementingkan akademik tanpa menghargai bakat pada seorang anak dan memberikan kasih sayang sepatutnya dan kepada guru pula, ia memberikan satu persepsi bahawa kanak-kanak dilahirkan dengan kemahiran dan daya penerimaan yang berbeza. Maka, mereka perlu disalurkan dengan cara yang betul untuk menguasai pelajaran dan bukan menggunakan pendekatan memarahi dan meleteri membabi buta sahaja.
Sebuah filem yang mempunyai tema sangat bagus. Bukan seperti filem Malaysia yang kosong dengan jalan cerita yang haru biru merosakkan minda dan menjolok tekak sehingga mual dan jemu.
Filed under: Coret-coret | Leave a Comment
Tags: filem
Bersabar wahai buku..
Sekarang, kita sudah pun menginjak ke bulan November. Sungguh cepat masa berlalu. Setiap saat begitu berharga jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Hanya tinggal sebulan sahaja lagi kita akan melangkah ke tahun yang baharu.
Bulan ini juga menjadi aras bahawasanya sudah setahun berkhidmat dalam profesion keguruan. Tahun pertama. Rasanya baru macam sahaja dipostingkan beberapa minggu. InsyaAllah, pertengahan bulan ini berkesempatan untuk bertugas sebagai pengawas peperiksaan STPM yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Awal bulan ini juga menunjukkan bagaimana buku-buku berasa cemburu akibat tidak berpeluang menemani mereka kerana kesibukan untuk menguruskan hal persekolahan akhir tahun serta keaktifan para staf mengadakan kejohanan sukan seperti badminton, bola sepak, ping pong dan tenis yang berlangsung setiap minggu bermula akhir bulan lepas.
Sungguhpun begitu, berusaha juga untuk menemani dan menjamah buku-buku kesayangan di kala perbaringan sebelum melelapkan mata. Kini, saya sedang hanyut dalam era sejarah zaman Kesultanan Melayu Melaka yang memperlihatkan kebijaksanaan Tun Habib dan orang-orangnya berurusan dengan kerajaan Belanda dalam buku Saasatul Ibaad.
Tambahan, saya masih lagi belum dapat menyempurnakan The Hidden Face of Iran karya Terence Ward yang mengisahkan perjalanan penulis bersama keluarganya menjejak saudara Hassan yang pernah berkhidmat dengan mereka pada suatu ketika dahulu di bumi Iran. Pelbagai ilmu dan gambaran yang dapat dilihat melaluinya lewat perubahan tampuk kerajaan, sejarah dan latar belakang sesebuah tempat dan kawasan, budaya masyarakat setempat dan banyak lagi. InsyaAllah, akan dihabiskan dalam beberapa hari sahaja lagi.
Jika sudah usai kedua-duanya, sudah tidak sabar untuk menelanjangi beberapa buah buku yang masih berbalut kemas belum dinodai semenjak pembelian. Tunggu wahai kalian.
Filed under: Buku@Books | Leave a Comment
Tags: buku, novel
Seorang jutawan Yahudi dari etnik Rusia, Sergei Brin yang disebut-sebut
sebagai salah seorang pendokong utama Google, search engine nombor satu di dunia internet, telah menyumbangkan satu juta dolar AS ke lembaga sosial untuk imigran Yahudi “Hiace“.
Lembaga sosial “Hiace” diketahui milik organisasi imigran Yahudi Amerika yang membantu para imigran Yahudi di dunia dan khusus untuk kependudukan Zionis Israel dan juga imigran Yahudi di Amerika Syarikat. Organisasi ini dikhabarkan berpusat di New York. Brin menyerahkan bantuannya ini dalam rangka memperingati 30 tahun keluarnya beliau dan keluarga dari Union Soviet dan menetap di Amerika Syarikat.
Ketua lembaga itu dalam sambutannya dengan bangga mengatakan, “Tanpa adanya lembaga pembantu imigran Yahudi, Brein tentu tak akan sehebat sekarang, dan kita tidak akan mendapati Google sehebat ini”.
Beliau kemudian menceritakan, bagaimana keluarga Brein mendapatkan bantuan dari Hiace, ketika usianya menginjak enam tahun dan meninggalkan Union Soviet untuk menghindari gerakan anti-semit di sana. Brein dan keluarganya kemudian menjadi imigran di Amerika dan membesar serta berjaya di sana.
Organisasi Yahudi ini pun mengaku membantu nasib 4-5 juta imigran Yahudi di dunia. Orang-orang Yahudi memang dikenal memiliki rasa solidariti yang tinggi, kebanyakan dari mereka yang sukses dalam bidang perniagaan tidak berasa sangsi lagi untuk menyumbangkan jutaan dolar keuntungan peribadi mereka demi kemaslahatan kaumnya.
Sumber dipetik dan diubah suai daripada Era Muslim.
…Aduhai, sudah menjadi pengguna Google yang tegar. Anjakan segera..
Filed under: Coret-coret | 2 Comments
Tags: Google, Islam
Masjid al-Aqsa ditakluk
Israel ditubuhkan sebagai sebuah negara menjelang 1948. Mandat ini telah diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana mereka merasakan rakyat Yahudi berhak untuk memiliki negara sendiri setelah menjadi pelarian pada dekad sebelumnya. Tanah yang menjadi milik mereka sekarang merupakan sebahagian daripada tanah Palestin yang semakin susut setelah kehadiran puak Yahudi tidak mengenang jasa itu.
Kini, sudah hampir 60 tahun kita masih menjejak di permukaan bumi ini dengan segala rasa simpati dan belas kasihan akan nasib rakan kita di bumi Palestin yang merempat di negara sendiri. Beberapa hari ini, berlakunya satu peristiwa di mana pihak berkuasa Yahudi telah menguasai Masjid Al-Aqsa dengan menghalang kaum muslimin Palestin menggunakan masjid yang pernah menjadi kiblat kepada umat Islam tersebut. Kekerasan digunakan dengan memukuli para jemaah dan menembak peluru gas pemedih mata.
Syeikh Muhammad Hussein, seorang ulama terkemuka dan pemimpin agama, menggambarkan situasi di Al-Aqsa sangat berbahaya. “Para tentera Israel menyerang semua orang, termasuk perempuan dan anak-anak,” katanya.
Betapa tersiksanya rakan seMuslim kita di sana yang sering bersengketa demi mempertahankan kesucian agama Islam yang semakin dinodai oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan. Selepas puak Yahudi ini menguasai Masjid Al-Aqsa, kini mereka bermaharajela dengan menguasai sumber air pula sehingga menjejaskan keperluan seharian penduduk Palestin. Mereka hanya dibekalkan dengan penggunaan air yang terhad walaupun bilangan penduduk Palestin berjumlah 2-3 juta orang. Namun, bagi penduduk Yahudi pula mereka dimewahkan dengan sebegitu banyak sumber air walaupun penduduk Yahudi yang berada di Tebing Barat hanyalah seramai 450 000 orang. Kolam renang, menyiram rumput di halaman rumah dan air untuk irigasi penternakan besar di pemukiman Israel dapat digunakan dan dibazir-bazirkan oleh para penduduk Yahudi dan sangat berbeza berbanding penduduk desa-desa Palestin.
Ini merupakan diskriminasi yang keterlaluan dan pihak antarabangsa perlu mengambil berat berkenaan persengketaan ini dengan mencari jalan terbaik untuk membantu rakyat Palestin agar mereka tidak tertindas dengan sewenang-wenangnya. Pemimpin-pemimpin negara Islam pula haruslah berdiskusi dengan membuat keputusan yang berani dan lantang bagi membela umat Islam yang memerlukan bantuan. Bukan hanya dengan melihat mata hati yang buta dan tidak berperasaan.
Filed under: Coret-coret | Leave a Comment
Tags: Islam, palestin
Hari ini, saya berasa tertarik dengan satu isu yang dipaparkan dalam Kosmo berkenaan pengharaman kaum wanita di Acheh daripada memakai seluar panjang ketat dan jeans bermula tahun hadapan.
Menurut ketua daerah, Ramli Mansur bahawa mana-mana wanita yang ingkar dan gagal menepati ketetapan yang ditentukan, maka seluar yang mereka pakai akan digunting serta merta dan digantikan dengan skirt yang disediakan secara percuma oleh pemerintah Aceh Barat. Malahan tidak terkecuali golongan lelaki di mana seluar pendek juga diharamkan.
Saya berasa terpanggil untuk berkongsi dengan berita ini kerana ia amat berkait rapat dengan budaya pemakaian wanita tempatan sekarang yang amat menjolok mata walaupun bertudung litup. Seolah-olah pemakaian sedemikian menjadi trend di seluruh negara tidak kira di bandar besar mahupun di kampung pedalaman. Di mana-mana sahaja kita bisa melihat peratusan besar wanita berpakaian jeans ketat dan baju yang sendat sehingga menampakkan yang tersirat ini. Kenapa menjadi satu permasalahan pula untuk berpakaian sebagaimana yang disyariatkan?
Di manakah silapnya gambar di atas?
Rasulullah saw bersabda :
Telah berkata Aisyah, “ Sesungguhnya, Asma’ binti Abu Bakar menemui Nabi saw dengan memakai busana yang nipis ” , Maka nabi berpaling daripadanya dan bersabda “Wahai Asma’ , sesungguhnya apabila wanita itu telah baligh (sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini , sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya”.
Dalam sebuah riwayat dari Abdullah bin Abi Salamah bahawa Umar Bin Khattab r.a menghadiahkan kepada seseorang dengan pakaian nipis buatan Mesir Lama, kemudian berkata, “Jangan dipakaikan kepada isteri-isteri kamu!” Lalu seseorang berkata “ Ya Amirul Mukminin aku telah memakainya untuk isteriku, kemudian memutarkan badannya tetapi tidak kelihatan auratnya .” selanjutnya Umar berkata, “Memanglah auratnya tidak nampak, tetapi bentuk tubuhnya nampak”.
Maka, sayugianya saya berharap perundangan sebagaimana yang bakal dilaksanakan di Acheh menjadi contoh kepada negara Malaysia untuk turut menjejak langkah yang sama agar lebih memakmurkan pandangan mata dan mengurangkan dosa-dosa sama ada kepada pihak lelaki mahupun wanita itu sendiri dengan mengamalkan hidup yang hanya untuk keredhaan Yang Maha Esa.
“Sesungguhnya termasuk ahli neraka, yaitu perempuan- perempuan berpakaian tetapi telanjang, yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk berbuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Muslim)
Filed under: Agama, Coret-coret | Leave a Comment
Tags: aurat, Islam




