Arkib | Santai RSS feed for this section

Memori Tanjung Malim

28 Mei

Sudah lama benar rasanya jari jemari ini tidak mengetik semula di papan kekunci menitipkan sebarang entri di teratak usang yang sudah ditinggalkan lama tanpa khabar baharu.

Apa khabar pembaca semua? Sememangnya saya sendiri berasa bersemangat pada saat ini membuka semula lembaran baharu di ruangan ini. Sebentar tadi saya diserang satu perasaan rindu untuk menjejakkan kaki semula ke bumi yang nun jauh di lereng Banjaran Titiwangsa yakni Tanjung Malim. Saya sendiri tidak tahu mengapa tiba-tiba timbulnya perasaan tersebut.

Proton City Tg Malim berlatarkan Banjaran Titiwangsa (Kredit : Skyscrapercity)

Sememangnya, Tanjung Malim memberikan makna yang begitu besar dalam kehidupan saya. Di sana lah saya menimba ilmu daripada pelbagai cendekiawan, memperolehi pengalaman bermakna malahan mendapat calon suri rumah juga. Sudah tiga tahun saya tidak ke sana. Walaupun ia masih satu jangka masa yang masih belum lama, tetapi kerinduan itu sudah bertandang semula kerana terlalu banyak keistimewaan di bandar Tanjung Malim.

Masih saya ingat pada jejak kali pertama dalam tahun 2004, ayah sambil ditemani sepupu menghantar saya untuk pendaftaran bagi kemasukan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. Memandangkan ini kali pertama saya berjauhan daripada kampung halaman, ia satu perasaan yang istimewa kerana diri yang bakal berdikari di negeri orang. Tidak begitu terkejut kerana bandarnya yang sederhana seperti bandar Bintangor membuatkan saya cepat membiasakan diri. Paling menarik apabila saya pertama kali mendengar dan melihat deruan pantas kereta api KTM melintasi pekan Tanjung Malim yang memberikan satu pengalaman berharga. Sehingga kini saya masih dapat membayangkannya sambil mendengar dentingan loceng isyarat memberhentikan kenderaan dari kedua-dua arah yang berbaris panjang.

Pengalaman belajar di UPSI banyak meninggalkan kenangan yang tidak terkira. Suasana kampus dan kolej kediaman yang tenang dan mendamaikan menambahkan memori yang indah.

Bangunan Suluh Budiman

Di bandar Tanjung Malim, ada beberapa tempat yang selalu menjadi kewajipan khususnya pada hujung minggu ketika saya masih belajar di sana. Pertama, adalah kedai Nasi Kandar yang berhadapan kedai kain yang saya sudah tidak ingat nama kedai tersebut. Saya selalu makan di kedai itu kerana lauknya yang begitu menepati selera khususnya karinya yang pelbagai, ayam masak kurma dan ayam tandoori. Itulah antara lauk yang selalu menjadi kewajipan. Akibat sudah biasa, taukenya selalu memberikan diskaun setiap kali bertandang. Setelah 3 tahun meninggalkan Tanjung Malim dan menjamu di kedai mamak yang lain sekitar Kuala Lumpur, masih belum ada yang setanding dengan kedai mamak tersebut.

Saat pertama yang menyambut kedatangan ke Tanjung Malim, Perak

Suasana di Pasar Malam Tanjung Malim

Setiap hari Sabtu bermula 3.00 petang, pekan Tanjung Malim sesak kerana adanya Pasar Lambak. Tidak melepaskan peluang, di saat ini juga terdapat beberapa gerai “favourite” kerana menawarkan makanan yang lazat. Maka, jika anda bertandang jangan lupa untuk mencuba satu gerai yang menjual Nasi Lemak Ayam Berempah besertakan rendang dagingnya. Tidak ketinggalan Nasi Kerabu Kelantan yang sentiasa menjadi serbuan manusia terutamanya golongan rakan-rakan pelajar. Menjadi kewajipan juga saya membeli kebab pita yang dijual oleh abang-abang muda. Sehubungan itu, walaupun Tanjung Malim hanya sebuah pekan kecil, namun ia juga memberikan tarikan tersendiri.

Selain itu, saya juga suka dengan suasana di persekitaran Tanjung Malim. Suasananya yang tidak terlalu sesak malahan terletak di kaki Banjaran Titiwangsa  menghidangkan satu pemandangan yang cukup meneduhkan, lebih-lebih lagi di kawasan Proton City. Antara kelebihan Tanjung Malim adalah ia terletak di sempadan Perak-Selangor yang menawarkan jarak tidak terlalu jauh dengan kota metropolitan Kuala Lumpur di mana hanya memakan masa dalam 1 jam menggunakan kenderaan darat. Kini, agaknya Tanjung Malim sudah banyak berubah kemajuannya berdasarkan helaian foto melalui Google Images.

Bilakah agaknya dapat bertandang semula ke sana? Semoga mempunyai kesempatan untuk menginjakkan kaki semula.

Bengkel Penulisan dan beli buku lagi

7 Dis

AKTIVITI I

Alhamdulilah, setelah sering terhalang untuk menghadiri bengkel penulisan kerana jarak yang sangat jauh di mana saya yang menetap di seberang lautan, akhirnya pada ahad lepas (5 Disember 2010) saya berpeluang untuk mengikuti bengkel penulisan KJ Method yang dikendalikan oleh Puan Ainon Muhamad di Sekolah Al-Ikhlas, Taman Permata yang bermula pada pukul 10.00 pagi. Bertolak awal dari Kelana Jaya menaiki transit aliran ringan (LRT) untuk sampai ke stesen Wangsa Maju. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di situ. Sedikit kegusaran kerana tidak begitu mengenali tempatnya. Namun, untuk sampai ke bengkel tersebut, ianya tidak sesukar mana.

Foto diambil dari web Zamri Mohammad (klik gambar)

Walaupun sedikit lambat untuk tampil, namun saya mendapat banyak input yang berguna daripada Puan Sifu. Sebelum ini saya tercari-cari apa yang dimaksudkan dengan KJ. Apabila menghadiri diri, baru saya tahu dan memahami bahawa KJ adaah singkatan nama kepada seorang tokoh Jepun yakni Kawakita Jiro. Melalui penyertaan bengkel ini, saya berasa seolah-olah menerima banyak informasi yang menarik dan baharu khususnya tentang corak pemikiran, dunia perniagaan dan lain-lain lagi yag diselitkan dalam menyampaikan teknik-teknik penulisan menerusi kaedah tersebut. Memandangkan ini adalah kali pertama saya mengikutinya, terasa gembira dan segan apabila dapat berada berdekatan dengan penulis-penulis buku PTS lebih-lebih lagi Pn. Ainon sendiri seorang tokoh yang cukup dikagumi dalam memajukan industri penerbitan buku berbahasa Melayu di Malaysia.

Sepanjang dua jam lebih, saya mencatat segala-galanya apa yang diterangkan dan dijelaskan oleh Puan Sifu agar segala yang dicatat menjadi rujukan penting kepada saya untuk memulakan langkah penulisan. Kesimpulannya, apa yang perlu dilakukan oleh seorang penulis agar sentiasa produktif dalam melahirkan karyanya adalah melalui tiga langkah penting iaitu ;

1. Menyediakan judul buku

2. Mengenalpasti bahan/material yang berkaitan.

3. Mencari dan mendapatkan buku rujukan ( melakukan ‘adaptasi’)

dan tidak dilupai pastikan menggunakan bahasa Melayu Tinggi (BMT) dalam penulisan serta yang paling utama adalah berfikir secara NON-LINEAR.

InsyaAllah, jika ada kelapangan dan kesempatan sekali lagi saya cuba untuk hadir ke bengkel ini kerana kedatangan pada kadar satu kali masih tidak mencukupi untuk mendalami segala tunjuk ajar dan petua yang berguna daripada Puan Sifu.

 

AKTIVITI II

Sebaik sahaja usai bengkel penulisan, saya terus mencuri kesempatan untuk singgah sebentar ke kedai buku Bookxcess di Amcorp Mall sebelum pulang ke Kelana Jaya menggunakan LRT. Ini adalah kali kedua saya ke sini di mana pada kali pertama bersama isteri menonton wayang filem Harry Potter. Masa itu saya dan isteri masih berpacaran sahaja. Maka, kedatangan pada kali kedua di samping keadaan yang sesak dengan keramaian manusia, saya berpusing-pusing mencari kedai buku tersebut. Rupa-rupanya ia terletak di bahagian bekas panggung wayang dahulu berhadapan Mcdonald. Wahhh…saya menjadi penasaran apabila menginjak kaki di sana. Ini betul-betul syurga buku. Buku-buku disusun dengan menarik sama ada di rak mahupun di hadapan kedai yang disusun secara mendatar. Jiwa menjadi semakin kacau apabila harganya yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan buku yang sama ditawarkan di kedai buku seperti MPH, Borders dan Popular.

Saya meninjau semua ceruk dalam kedainya. Akhirnya saya menetapkan kaki lama di bahagian Biographies dan Reference. Ternampak buku yang menarik tentang Walt Disney, Nelson Mandela, Bill Bryson dan ramai lagi. Setelah meneliti satu persatu, akhirnya saya memilih tiga buah buku sahaja. Buku-bukunya adalah ;

1. The Kingdom of New York (Peter W. Kaplan) RM29.90

2. Our Choice : A plan to solve the climate crisis (Al Gore) RM 19.90

3. The Complete Guide To Cigars (Steve Luck) RM 19.90

Walaupun saya bukan seorang perokok, tetapi saya amat berminat untuk mengambil tahu tentang sejarah rokok dan jenis-jenis rokok yang ada di seluruh dunia mengikut negara-negara tertentu. Saya mula berminat tentang dunia rokok apabila pernah membaca satu artikel yang ditulis oleh saudara Karim Raslan yang menjelaskan tentang keretek di Indonesia dalam satu majalah. Inilah menjadi faktor kepada saya untuk mendapatkan buku ini. Bersertakan gambar dan keterangan yang mendalam seperti sejarah dan ciri-ciri rokok tersebut, saya rasa ia pembelian yang berbaloi sebagai tambahan ilmu pengetahuan.

Untuk buku yang ke-2, saya pasti semua orang mengenali sosok tokoh penulisnya yang merupakan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang kini menjadi seorang aktivis alam sekitar sehingga beliau dianugerahi dengan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2007. Buku ini telah diterbitkan pada tahun 2009 dan ini adalah buku ketiga berkaitan alam sekitar yang saya sudah miliki selepas buku Thomas L. Friedman dan buku How We Can Save The Planet.

Manakala buku karya Peter W. Kaplan, saya tertarik untuk mengenali lebih dekat gaya penulisan penulisnya iaitu seorang editor The New York Observer. Maka, buku ini apabila saya melihat tajuknya sudah pasti Peter mampu memberikan input yang menarik apa yang berlaku di bandar mega tersebut. Lebih-lebih lagi saya merasa berminat apabila melihat ilustrasi di depan bukunya yang menampilkan wajah-wajah tokoh besar Amerika seperti Donald Trump, Madonna, Hillary Clinton, Puff Daddy dan ramai lagi yang dilukiskan dengan cara berpakaian pada zaman King dahulu kala. Buku ini masih berbalut maka saya tidak mampu menghuraikan secara ringkas apa kandungannya.

Maka, itulah detik-detik yang berlaku yang memberikan kepuasan kepada saya pada 5 Disember 2010 yang berlalu begitu cepat sehingga tidak sedar sudah memasuki bulan Muharam tahun baharu bulan Islam. Salam Maal Hijrah 1432H.

Riang bersama buku (update)

30 Nov

Setelah beberapa hari hanya duduk di rumah, akhirnya hajat di hati kesampaian juga pada siang tadi. Rindu yang sudah lama terpendam membuatkan diri tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke situ. Mana lagi kalau tidak ke kedai buku.

Alhamdulilah, selepas solat Zuhur saya keseorangan meredah kerumunan orang ramai di Masjid India untuk ke Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin. Ketika sampai, ada beberapa orang pengunjung sedang memilih-milih buku dan kitab. Hati yang tersenyum dan berbunga hanya saya sahaja yang tahu. Sudah rindu benar untuk ke sini. Dari satu rak ke rak yang lain untuk memilih dan membaca buku yang betul-betul ingin dimiliki. Jika tidak dirancang awal, mahu sahaja memborong satu kedai kerana buku-buku yang ada sesungguhnya memang menggoda iman.

Bayangkan dari pukul 3 petang saya sampai, hingga pukul 4.15 petang baru saya keluar dengan menjinjing plastik yang berisi buku-buku. Sememangnya, FIB menawarkan banyak buku-buku terbaik dari Indonesia. Maka, setelah berpusing-pusing dari rak-rak yang ada, akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli 5 buah buku sahaja kerana perlu beringat dengan kertas berwarna warni di dalam dompet. Sungguhpun, niat di hati ingin mendapatkan lebih banyak lagi buku lain yang tidak kurang menariknya seperti Kitab Ringkasan Ihya Ulumuddin, buku Pram, buku Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan lain-lain lagi. Ini adalah antara buku-buku yang saya dapatkan ;

1. Supremasi Iran : Poros Setan atau Superpower Baru? (Ali M. Ansari)

2. Rahasia Datangnya Pertolongan Allah (Amru Khalid)

3. Menjala Pahala Dengan Shalat (Imam Al-Ghazali)

4. Israel Menjarah Organ Tubuh Muslim Palestina (Abdi Al-Haqq dan Tim Kajian Zionis)

5. Larangan Berjilbab Studi Kasus di Perancis (Dr Yusuf Al-Qaradhawi)

Hasil buku dari kedai FIB

Dalam masa menunggu tuan kedai mengira-gira jumlah pembelian, saya terpandang sebuah buku yang saya ingin dapatkan yakni tentang sosok peribadi Mustafa Kamal Attartuk yang tidak berjauhan daripada kaunter. Tetapi, memandangkan bajet yang sudah pun ditetapkan, saya meletakkannya semula. Pasti masa akan datang saya membelinya jika masih ada stok. Apabila sudah membayar untuk buku-buku tersebut, baru diketahui bahawa ada potongan 15% bagi setiap buku. Rasa menyesal pula tidak mengambil buku yang lain juga.

Sebaik sahaja keluar dari Wisma Yakin, saya bergegas ke Pustaka Mukmin di Jalan TAR iaitu yang berdekatan dengan Colliseum (pawagam untuk filem Tamil). Kali ini saya cuba menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya kerana tompokan awan gelap yang memberat menandakan hujan akan membasahi bumi. Saya perlu cepat jika tidak mahu basah untuk balik semula ke Stesen Masjik Jamek. Di Pustaka Mukmin, saya terus sahaja mencari buku di rak berdekatan kaunternya. Hasilnya saya mendapatkan buku yang saya sudah lama idam-idamkan selama ini. Bukunya adalah ;

1. Turki Negara Dua Wajah (Dr. Abdullah Azzam)

2. From Beirut to Jerusalem (Ang Swee Chai) – versi BI dengan cetakan terkini. Bertanya kepada tuan kedai, tiada versi BM dijual lagi. Sedikit hampa. Mengharapkan ada penerbit sudi menterjemahkan buku ini dalam BM semula.

3. Palestin Masalah Kita Bersama (Dr. Yusuf Al-Qaradhawi)

4. Formula Solat Sempurna (Ust. Zaharuddin Abd. Rahman)

Belian di Pustaka Mukmin

Buku Turki Negara Dua Wajah dan From Beirut To Jerusalem adalah buku yang sudah lama saya carikan. Jika dilihat kepada senarai buku yang dibeli, banyak buku-bukunya berkaitan tentang negara Palestin, Turki dan Iran. Saya amat berminat untuk mengetahui secara lebih mendalam tentang negara-negara ini. Tiga buah negara tersebut adalah antara negara yang kaya dengan sejarah Islam yang cukup menggugah jiwa dan keimanan seseorang Muslim. Khususnya tentang Palestin yang sehingga kini masih mengalami penjarahan ganas daripada tentera Zionis. Bagi negara Turki pula, saya amat berminat untuk mengambil tahu tentang zaman sekularisme yang dibawa oleh pemimpin mereka Mustafa Kamal Attartuk yang banyak melakukan perubahan besar yang bobrok dalam institusi kerajaan negara tersebut sehingga rakyatnya mengalami penjajahan Barat yang merosakkan iman.  Jika dilihat, kini saya terkadang berasa risau tentang negara kita yang seolah-olah mengulangi semula kesalahan besar yang berlaku di negara Turki pada era itu berdasarkan keputusan-keputusan pelik dalam pemerintahan negara kita masa ini. Namun, kini Turki seolah-olah sinar Islam itu kembali cerah di bawah pemerintahan Recep Tayyip Erdogan yang lantang dalam mempertahankan maruah Islam. Negara Iran pula yang paling saya ingin tahu adalah ketika berlakunya Revolusi Iran 1979 dan pemerintahan pemimpin agung yang saya cukup kagumi yakni Mahmoud Ahmadinejad. Bagi saya, walaupun Iran adalah sebuah negara yang dikuasai oleh golongan syiah, namun saya amat kagumi dengan segala usaha kerajaan Iran dalam mempertahankan hak wanita di sana serta perkara lain yang sesungguhnya mematuhi syiar  Islam ke atas penduduknya. Masalahnya kini, segelintir muda-mudi yang terjajah minda mereka dengan dakyah Barat membuat penentangan untuk menjatuhkan Ahmadinejad daripada tampuk pemerintahan. Geram pula rasanya.

Ini hasil pembelian untuk 30 November 2010

Panjang lebar pula entri saya kali ini. Hari ini saya berasa cukup gembira dan riang sekali walaupun poket sudah semakin menipis. Maka, kena berpuasa daripada membeli buku buat sementara waktu selepas ini. Hehe.

Selamat membaca.

Mabuk buku

28 Nov

Saya adalah penggemar buku. Sangat mencintai dan menggilai dunia perbukuan. Apabila meminati buku, secara langsung gemar kepada membaca. Membaca itu membuka minda. Membaca itu memperkayakan perspektif seseorang kepada beberapa hal. Membaca juga membuatkan diri menjelajah ke dunia yang cukup menghiburkan. Malahan, semakin banyak membaca semakin seseorang itu berasa kerdil kerana merasakan seperti masih kekurangan pengetahuan. Ilmu disingkap oleh para penulis dengan pelbagai cara.

Amalan membaca dalam diri dipupuk semenjak daripada kecil di mana saya masih mengingati buku yang saya paling gemari pada suatu masa dahulu adalah karya Enid Blyton yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Ia dipinjam dari perpustakaan terdekat. Tambahan, masa kanak-kanak saya juga dihabiskan dengan buku dongeng dan lagenda masyarakat Melayu. Apabila sudah meningkat remaja, bahan pembacaan itu beralih kepada buku yang lebih berat. Masih ingat lagi bagaimana semasa sekolah menengah saya sudah membaca buah fikiran Dato Seri Anwar Ibrahim, The Asian Renaissance versi bahasa Melayu. Masa itu, saya tidak mengikuti suasana politik negara dan hanya membacanya kerana perasaan ingin tahu. Antara majalah yang menjadi santapan minda pula adalah majalah MINDA dan Massa. Sampai sekarang, majalah-majalah tersebut tersimpan rapi dalam kotak peribadi.

Kini, apabila sudah meningkat dewasa dan mempunyai pendapatan sendiri, maka sudah pasti sebahagian gaji diperuntukkan untuk membeli buku. Cuma semenjak sudah berkahwin, pembelian buku dibuat secara bertahap. Jangan kerana buku, isteri dan anak dikesampingkan keperluan mereka. Tapi saya amat suka apabila memasuki kedai buku. Menjejakkan kaki ke dalam kedai buku kadang-kadang membuatkan diri tidak keruan apabila melihat buku yang banyak tambahan lagi jika ada buku yang sangat diidam-idamkan. Kedai buku ibarat syurga kecil kepada pencandu buku. Jika tidak ke kedai buku, kehidupan menjadi tidak ceria. Lebih-lebih lagi apabila mendapat khabar tentang adanya pesta buku dan jualan buku murah secara besar-besaran. Membuatkan diri lagi teruja untuk melibatkan diri.

Apakah sifat lain seorang pencandu buku? Biasanya golongan ini amat gembira jika dapat membeli buku yang sangat dinanti-nantikan dan tidak sabar untuk membaca sekaligus menghabiskannya. Contohnya saya amat menggemari tulisan akhi Faisal Tehrani dan Kang Abik. Apabila membeli buku daripada dua penulis ini, sudah pasti saya mengusaikannya dahulu berbanding buku lain. Lagi, pencandu buku juga gemar memberitahu apakah buku-buku yang mereka beli di halaman blog (jika ada blog) dan menulis resensi buku yang telah dibaca. Perasaan seronok apabila kegembiraan ini turut dikongsikan bersama pembaca tegar yang lain. Di samping itu, golongan pencandu buku juga sentiasa membeli buku baharu walaupun banyak buku dalam koleksi di rumah masih belum sempat dihabiskan. Malahan, ada buku yang masih berbalut kemas di rak buku menunggu untuk dinodai.

Sekarang, saya berada di Kuala Lumpur sempena cuti sekolah. Dan masa ini, memang nafsu untuk kedai buku tidak tertahan-tahan lagi. Kehidupan menjadi serba tidak kena. Wahai kedai buku di Kuala Lumpur, khususnya MPH, Pustaka Mukmin dan Fajar Ilmu Baru (FIB), tunggulah kehadiran saya ke sana untuk berbelanja kerana buku.

 

Percintaan ‘vampire’

18 Mei

Sudah lama benar rasanya tidak menonton dvd. Namun, siang tadi saya mengambil kesempatan yang ada untuk menonton filem Twilight daripada tidur di siang hari. Pertama sekali, saya berasa teruja dan ia memang sebuah filem yang mempunyai kelainan berbanding filem vampire yang lain.

Mungkin sebelum menonton filem ini kita meneka bahawa pasti wujudnya unsur-unsur yang ganas, aksi memberahikan dan pengaliran darah  sepanjang masa. Nyata sekali, ia adalah tekaan yang silap kerana filem ini lebih menekankan mengenai hubungan percintaan di antara seorang gadis manusia dengan salah seorang daripada puak vampire tersebut.

Filem yang diadaptasikan daripada novel karya Stephanie Meyer iaitu salah satu daripada novel yang menduduki lima buku bestseller di pasaran antarabangsa ini telah mengutip pendapatan tayangan sebanyak USD70.6 juta di Amerika Syarikat.

Kisahnya bermula apabila Bella yang berhijrah kolej di pekan Forks iaitu satu wilayah terpencil di Washington. Namun, di situ Bella telah jatuh cinta dengan Edward Cullen, remaja lelaki yang kacak dan merupakan sebahagian daripada keluarga vampire. Ciri fizikalnya yang putih pucat, beranak mata keemasan dan bersuara lunak telah menarik minat Bella untuk mengenali dengan lebih lanjut. Salasilahnya, Edward sebenarnya terdiri daripada keluarga Cullen iaitu vampire yang baik dan dididik tidak menghisap darah manusia sebaliknya mereka menghisap darah haiwan sahaja.

Akibat jiwa remaja yang saling bertarikan, akhirnya Bella dan Edward jatuh dalam dunia percintaan. Pendedahan demi pendedahan Edward bahawa dirinya yang sebenar nyata tidak sesekali mengubah perhatian dan minat Bella kepadanya. Klimaks filem ini apabila datangnya tiga orang vampire jahat yang telah membunuh beberapa penduduk tempatan semata-mata untuk mendapatkan darah mereka. Dan kedatangan mereka telah mencetuskan perbalahan dengan vampire terdidik (keluarga Cullen) akibat keliaran salah seorang daripada mereka iaitu dikenali sebagai James yang sentiasa dahagakan darah segar.

Sesungguhnya filem ini mempunyai unsur romantik dan suspen sehingga mengikat penonton untuk mengetahui kesudahannya. Suasana lokasi pengambaran juga begitu menarik sekali dengan unsur-unsur semulajadi yang begitu serasi dengan tema filemnya. Tidak rugi rasanya menonton filem ini.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.