Arkib | Pendidikan@Education RSS feed for this section

Hampir penghujung tahun

30 Okt

Ah, lama sungguh teratak ini menyepi. Nyata sekali, momentum untuk mula menulis itu sudah semakin berkurangan. Bagaimana ya untuk mengembalikan tenaga dan semangat untuk menceriakan ruangan ini.

Sekejap benar detikan waktu meninggalkan jejaknya di belakang. Kini, ia sudah semakin menghampiri penghujungnya yang menyimpan pelbagai memori suka dan duka dunia. Dari setiap penjuru dunia, masing-masing membawa berita yang menarik perhatian warga global. Dalam masa yang sama, puteriku sudah semakin membesar. Pada 21 Ogos lalu, dirinya sudah menginjak usia 2 bulan. Sekarang sudah merasai betapa manisnya apabila melihat zuriat yang membesar dengan sihat. Sekali sekala dia mencuit hati ibu dan ayahnya. Sekali sekala ia menduga kesabaran kedua-dua orang tuanya. Namun, yang paling indah apabila puteriku merupakan satu-satunya buah hati yang menghiburkan sepanjang masa.

Atas perhatian yang melebihi segalanya, ruangan ini menyepi sekian lama tanpa diuruskan dengan konsisten. Tambahan lagi, hujung tahun sebegini para guru seperti saya sibuk mengusaikan segala tugasan-tugasan di sekolah. Menyemak kertas jawapan pelajar dengan kadar seberapa segera agar markahnya dapat diserahkan kepada guru tingkatan. Selepas itu, diberi penilaian untuk mendapatkan penghargaan semasa hari penyampaian hadiah untuk anak-anak didik yang berjaya. Bagi kelas-kelas peperiksaan, perhatian lebih besar diberikan kerana hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi peperiksaannya. “Marilah mengejar mimpi anak-anak didikku. Jangan biarkan ia hanya disimpan dalam tidur”

Dalam masa yang sama, hari ini saya dengan hati berbunga apabila menerima sebungkus kiriman dari PTS Publications. Ianya mengandungi buku-buku yang dipilih sendiri selepas berjaya dalam Peraduan Mengulas Buku PTS sebelum ini. Sengaja memilih dua buah buku tersebut iaitu Negeri 5 Menara dan Maria kerana ia merupakan novel yang sarat dengan ilmu, motivasi dan perjuangan tokoh-tokohnya. Semoga kehadiran buku-buku ini memulihkan kembali semangat membaca kerana tahu sekarang momentum membaca itu sudah semakin banyak menurun. Walau bagaimanapun, ia tetap diteruskan walaupun dalam keadaan yang sangat perlahan.

Semalam, sesudah menunggu selama setahun lebih akhirnya dipanggil untuk menduduki Kursus Induksi yang bakal dijalankan pada penghujung November sehingga pertengahan Disember. Alhamdulilah, harapnya dapat lulus ujiannya nanti. Setelah lama meninggalkan dunia pembelajaran, sekarang kembali merasai dunia belajar untuk peperiksaan. Kali ini, kursusnya dibuat secara fleksibel yakni pembelajaran secara kendiri melalui CD dan pada tarikh tertentu, ujian dijalankan selama 3 hari di tempat yang ditetapkan.

Harapan dengan entri ini, semangat menulis kembali pulih ^_^

Program Membaca Sekolah

9 Ogo

Buku yang dijadikan sebagai hadiah kepada pemenang peraduan

Bermula dari 26-30 Julai 2010, satu program telah diadakan sempena dengan Bulan Membaca Kebangsaan yang disambut pada setiap bulan Julai di Malaysia. Penganjuran program ini telah dilaksanakan oleh sebuah kelab di sekolah dan saya sebagai guru penasihatnya. Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar dan meningkatkan kesedaran kepada pelajar kepentingan membaca sebagai budaya hidup. Di samping itu, ia juga sebagai satu langkah untuk mendedahkan kepada pelajar kaedah pengurusan dan pengendalian sesuatu program sebagai latihan awal sebelum menginjak kaki ke menara gading.

Alhamdulilah, program tersebut berjalan dengan baik kecuali satu kegiatan tidak dapat berlangsung yakni pameran buku atas beberapa kesulitan pada saat akhir. Sepanjang minggu tersebut, antara program yang berlangsung adalah Program 15 Minit Membaca, Peraduan Teka Silang Kata, Peraduan Mengulas Buku dan Peraduan Mencipta Puisi Keamanan. Maka, sebagai penghargaan ke atas sokongan para pelajar yang menyertai beberapa peraduan tersebut, saya telah memilih untuk menghadiahkan beberapa buah buku  dengan tujuan sebagai pengenalan kepada mereka bahawa kini pelbagai buku yang menarik boleh didapati di pasaran khususnya terbitan syarikat PTS, Utusan Publications dan DBP. Ini adalah memandangkan kepada situasi  di sekolah apabila para pelajar tidak dapat menikmati buku-buku yang berkualiti kerana perpustakaan sekolah menawarkan buku tender yang kebanyakannya tidak menepati selera pelajar sekarang. Maka, mungkin dengan langkah ini ia boleh mencetuskan keinginan pelajar untuk mendapatkan bahan bacaan yang terbaik sama ada secara kendiri mahupun melalui sokongan ibu bapa.

Walaupun penyertaan para pelajar agak kurang menggalakkan,  sebenarnya ia sudah memadai untuk dijadikan sebagai kayu pengukur dalam menaiktaraf program yang sama pada masa akan datang. Saya berharap dengan usaha ini akan menambahkan bilangan pelajar yang gemar membaca dalam masyarakat Malaysia dan  sekaligus cintakan kepada buku.

Takziah kepada mangsa

27 Okt

Sebagai seorang guru, apabila menerima berita ini sudah semestinya mengundang simpati dan belas kasihan.

Hari ini, akhbar berbahasa Inggeris telah melaporkan berkenaan peristiwa seorang pelajar mati lemas dan dua orang lagi masih dalam pencarian apabila jambatan gantung yang mereka naiki secara beramai-ramai untuk menyeberangi Sungai Kampar, Perak putus.

Ketika kejadian, seramai 22 orang pelajar telah dihanyutkan arus deras dan 19 orang daripadanya berjaya diselamatkan.

Mereka adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Ironiknya, jambatan gantung tersebut baru sahaja dibina untuk menggantikan jambatan lama yang sudah dimamah usia.

Mangsa yang mati lemas adalah seorang pelajar berbangsa India yakni Dina Deve Nathan, 11, dari SK Tamil Mambang Diawan. Semoga ahli keluarga adik Dina tabah menerima apa yang telah berlaku. Takziah.

Sumber foto : The Star Online

Tips Peperiksaan

25 Okt

Hari kian berlalu. Akhir tahun sudah semakin menjelang tiba. Para pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM sudah pasti sedang berkeringat menelaah pelajaran kerana ujian yang dinanti-nantikan hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi.

Apa yang penting sekarang, para pelajar perlu bijak menggunakan masa yang ada untuk mengoptimumkan daya ulang kaji pelajaran. Antaranya adalah ;

Mengemaskini segala nota yang telah dipelajari.

Memperbanyakkan latihan menjawab soalan yang berbentuk peperiksaan sebenar.

Mengenalpasti dan mengaplikasikan teknik menjawab yang betul sebagaimana kehendak soalan.

Bagi pelajar Muslim khususnya, paling penting adalah mereka harus mendekatkan diri kepada Allah swt dengan menunaikan amalan-amalan yang mulia dan meninggalkan larangan-Nya. Ini adalah kerana hati yang bersih daripada segala kekotoran akan mudah mencerna isi pelajaran dan meluahkannya di kala peperiksaan.

Dari segi jasmani, pelajar perlu mendisiplinkan diri agar fizikal yang sihat dan cergas dapat dihasilkan. Antaranya ;

Tidur yang cukup. (6-7 jam sehari)

Menjaga keselamatan diri. Khususnya ketika berada di tempat terbuka yang terdedah dengan bahaya seperti di jalan raya.

Menjaga pemakanan seharian. Makanan yang berkualiti akan membekalkan nutrien yang mencukupi dalam tubuh badan. Bagi insan Muslim, digalakkan memakan manisan seperti kurma, kismis dan madu lebah kerana ia memberikan hikmah yang istimewa dalam diri seorang pelajar terutamanya untuk mengingat nota pelajaran.

Bersukan. Ini penting untuk melancarkan peredaran darah dalam tubuh badan sekaligus membekalkan oksigen yang mencukupi kepada otak. Namun, dalam bersukan ia hanya memadai dengan bersederhana sahaja kerana takut memberikan kepenatan yang berlebihan.

Justeru, diharap para pelajar membuat persediaan rapi dengan melipat gandakan usaha kerana apa yang dilalui sekarang merupakan pelaburan yang paling utama untuk kehidupan masa hadapan. Tidak lupa untuk sentiasa berdoa kepada Yang Maha Berkuasa agar dipermudahkan segala apa yang bakal dilalui.

2010 : Pembekuan penempatan guru?

7 Okt

Bagaimanakah perasaan mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di institusi pendidikan pada masa ini apabila kemungkinan mulai tahun hadapan penempatan guru ke sekolah di seluruh negara akan dibekukan.

Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Zakaria Kasa semasa ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam ‘Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia’ anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa dua hari lepas.

Isu ini mungkin masih belum diperbincangkan secara meluas untuk pengetahuan khalayak ramai kerana ia masih belum pasti untuk dilaksanakan. Namun jika ia benar, diharapkan pihak berkenaan mengambil pendekatan yang proaktif agar masalah ini dapat diatasi dengan keputusan yang boleh memberikan manfaat kepada para bakal graduan pendidikan tersebut.

Ini memandangkan sekolah-sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak masih lagi mengalami kekurangan tenaga pengajar. Jikalau penempatan tersebut dibekukan, sudah semestinya berlaku kesukaran kepada pihak sekolah untuk memenuhi tuntutan mana-mana mata pelajaran yang memerlukan perkhidmatan guru ini.

Tambahan lagi, peningkatan jumlah bilangan pelajar di sekolah juga memberikan sedikit tekanan kepada para guru untuk mengajar atas ketidakselesaan kelas yang agak sesak. Ini sekaligus memberikan kesan yang tidak baik juga kepada hak para pelajar untuk menuntut ilmu dalam keadaan yang kondusif. Kesannya, segelintir pelajar mula berasa bosan dan tidak berminat untuk belajar dan seterusnya bisa menganggu rakan-rakan yang mempunyai keinginan tinggi untuk belajar. Implikasi seterusnya adalah para pelajar ini akan mencetuskan masalah disiplin di sekolah yang kini sudah pun semakin parah dengan pelbagai isu disiplin yang tidak enak untuk didengar di media massa saban tahun. Maka, nisbah guru kepada pelajar 1:25 semakin sukar untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara. Nyata sekali, banyak kesan berantai yang akan berlaku jika isu pembekuan guru ini dibekukan pada tahun hadapan.

Kepada mahasiswa/i pendidikan yang merasai keperitan atas perkhabaran ini, semoga tabah dan tidak patah semangat untuk terus menuntut ilmu serta terus bersiaga dalam menempuhi dunia yang luas ini dengan kemahiran yang sudah diasuh di tempat pengajian masing-masing.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.