Arkib | Agama RSS feed for this section

Kumpul wang beli kitab

26 Dis

Sebagaimana menurut Dr.Raghib as-Sirjani dalam bukunya Spiritual Reading, hadis adalah sumber ilmu yang amat dititikberatkan untuk dikuasai oleh seorang pembaca khususnya seorang Muslim selepas kitab al-Quran. Mungkin bagi golongan yang mempunyai penguasaan agama yang tinggi dan sederhana dapat memahami dan mengetahui definisi hadis dengan baik.

Biasanya, kita membaca dan melihat hadis-hadis ini di televisyen, mendengarnya di radio, dalam buku-buku motivasi malahan dalam novel juga diselitkan oleh beberapa penulis.

Hadis boleh dimaksudkan sebagai sebarang perbuatan dan lafaz Rasulullah saw sepanjang kehidupan baginda dalam menyampaikan kefahaman Islam kepada para sahabat dan kaum muslimin. Walau bagaimanapun, hadis terdiri daripada beberapa jenis yakni hadis sahih, hadis hasan, hadis daif dan hadis maudu’.

Alhamdulilah, semasa menunggu isteri di kedai rambut, saya menyempatkan diri membaca sebuah buku yang menerangkan secara terperinci tentang ilmu hadis. Dalam masa yang agak lama ketika menunggu, saya berpeluang menghabiskan buku yang nipis tetapi mempunyai zat yang besar dalam memahamkan tentang bidang ilmu tersebut kepada individu yang lemah seperti saya. Dengan membaca dan menghayatinya, saya amat berterima kasih kepada penulis buku tersebut kerana berjaya mengolah dan menulis pengenalan bidang ilmu hadis secara menarik dan amat mudah untuk difahami. Bukunya bertajuk Apa Itu Ilmu Hadis? karya  Hasnan Abu Bakar, terbitan PTS.

Buku ini sudah diulang cetak buat kali kedua. Tuan Hasnan dianggap telah berjaya mencapai tujuan penulisannya untuk memberikan kefahaman kepada pembaca tentang ilmu hadis. Dalamnya dimuatkan bagaimana sesuatu hadis itu diproses sehingga menjadi tatapan generasi kini. Apa yang menarik bagi saya yang serba kekurangan ini berasa kagum adalah mengenai satu pernyataan oleh penulis.

Bangsa Arab mempunyai ingatan yang kuat. Mereka mampu menghafal berpuluh-puluh baris syair yang didengar pada pertama kali tanpa perlu menyalinnya pada kertas. Malahan kelebihan ini turut dikuasai oleh para pengikut Nabi Muhammad saw. Mereka mampu menghafal setiap patah ayat al-Quran dan tutur kata baginda.

Itulah keadaan bangsa Arab pada suatu ketika dahulu yang mempunyai daya ingatan yang begitu kuat. Maka, dengan kelebihan ini mereka mampu menghafaz dan mengulang semula segala pesanan Rasulullah saw kepada kaum Muslimin yang seterusnya. Hadis ini disampaikan daripada satu generasi kepada generasi yang lain sehingga ianya akhir dibukukan oleh para tokoh agama. Antara tokoh agama yang paling berjasa dalam mencatat dan membukukan ilmu hadis adalah Imam Bukhari dan Imam Muslim sehingga kedua-dua kitab yang ditulis oleh mereka adalah kitab terbaik sebagai rujukan utama kepada orang Islam.

Tambahan lagi, teknik penyampaian oleh penulis dalam menjelaskan ilmu hadis juga amat menarik dan kreatif. Berserta dengan gambar rajah membuatkan pembaca lebih memahami apa yang disampaikan. Pelbagai teknik penjelasan yang digunakan bagi memudahkan pembaca untuk mendalami apa yang ingin disampaikan oleh penulis khususnya tentang perbandingan hadis-hadis dan juga bagaimana sesuatu hadis itu direkodkan berdasarkan kepada kriteria yang ada.

Contoh kitab hadis Shahih Bukhari

Selepas membaca buku ini, saya berasa senang dan lega kerana sudah lama ingin mendalami bidang hadis untuk rujukan dalam kehidupan seharian. Kini, saya sedang cuba menyimpan wang untuk membeli kitab hadis yang tinggi nilai harganya di pasaran. Diharapkan dengan pembacaan dan penghayatan daripadanya nanti membuatkan diri lebih mendekatkan kepada-Nya kerana kerendahan dan kelalaian diri.

Cinta kepada-Nya boleh dimana-mana

7 Sep

Berdasarkan firman Allah dan hadis Rasulullah yang jelas dan tegas itu tidak ada alasan bagi orang mukmin untuk meninggalkan solat walau dalam apa keadaan sekalipun. Mengingkari perintah solat bererti menolak perintah Allah, dan barangsiapa yang menolak perintah Allah maka dia telah merosakkan imannya dan meruntuhkan agamanya.

Akhir Ramadan

7 Sep

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, umat Islam bakal meninggalkan bulan Ramadan yakni bulan keberkatan. Doakan semoga masih diberikan kesempatan umur yang panjang untuk meraikan Ramadan untuk tahun seterusnya. Dan jika diandaikan kita pergi meninggalkan alam yang bersifat sementara ini sebelum tibanya Ramadan akan datang, semoga segala amalan dan usaha untuk mendekatkan diri kepada-Nya pada bulan mulia ini adalah yang terbaik dalam hidup. Semalam, di surau berdekatan seorang ustaz menceritakan bahawa terdapat seorang hamba Allah swt yang sanggup mengambil cuti daripada majikannya pada satu minggu sebelum menjelangnya takbir raya Aidilfitri. Maksudnya, bahawa insan yang kamil ini bercuti dengan tujuan untuk merebut peluang dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai kekasih Allah agar beliau dapat mendekatkan diri kepada-Nya dengan sepenuh kekhusyukan pada sepuluh malam terakhir Ramadan demi merebut ganjaran malam lailatul-qadr.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: “Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan” (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Sehubungan itu, betapa besarnya hikmah dan ganjaran yang bakal diperolehi oleh seseorang yang beramal di malam lailatul-qadr. Kisah ini nyata sekali membuka mata dan hati kita memandangkan situasi sekarang yang sudah berubah dalam persekitaran hidup komuniti Islam di negara ini. Sebagaimana yang diperkatakan oleh seorang khatib ketika solat Jumaat secara langsung dari siaran TV1 minggu lepas, bahawa di Malaysia sudah tidak asing bahawa tika menjelangnya akhir Ramadan, jumlah jemaah yang berterawih akan mula berkurangan khususnya para ibu yang sudah mula menyibukkan diri membuat persiapan raya di rumah. Semoga amalan ini tidak berterusan pada Ramadan yang seterusnya.

Oleh demikian, kita mengharapkan segala amalan yang dikerjakan mendapat keredhaan Allah swt dan mengharapkan pengampunan atas segala kelalaian dan kesilapan kita dalam segenap aspek yang kita laksanakan sama ada secara langsung mahupun tidak. Kami bakal merinduimu Ramadan. Semoga kita bersua lagi pada tahun hadapan.

SALAM RAMADAN

10 Ogo

Pejam celik, kita sudah pun melangkah ke bulan Ramadan. Rasa baru sekejap kita menyambut bulan mulia ini. Sekarang, kita kembali meraikannya. Alhamdulilah, syukur ke hadrat Ilahi atas kesempatan yang diberikan oleh Allah swt untuk menyambut Ramadan sekali lagi.

Semoga Ramadan kali ini cukup bermakna dalam hidup kita dengan bermuhasabah diri sekaligus menjadikan ia sebagai satu medan perjuangan dan permulaan untuk memperbaiki diri sebagai hamba-Nya yang paling dikasihi dan diredhai.

SALAM RAMADAN AL MUBARAK KEPADA SEMUA UMAT ISLAM DI SELURUH DUNIA

Fikir sedalam-dalamnya

9 Mac

Malam Sabtu yang lepas, saya begitu tertarik dengan sebuah drama yang disiarkan di tv3.

Apa yang menariknya? Melalui drama tersebut, kita dapat melihat bagaimana kisah percintaan orang muda yang diakhiri dengan sebuah talian perkahwinan. Persoalannya, adakah pasangan muda benar-benar bersedia untuk membina mahligai mereka demi mengelakkan diri terjerumus ke lembah kemaksiatan? Sememangnya, terdapat banyak kebaikan apabila insan muda mengikat hubungan mereka dengan ikatan yang sah. Tetapi, apa yang dikhuatiri adalah dari segi persediaan mereka. Jika kedua-dua pasangan tidak berkompromi dan tidak bertolak ansur, masalahnya di akhir hubungan berlakulah penceraian dan masalah kahwin lain sehingga kesannya pula ke atas anak2 yang tidak mengerti apa2.

Drama lakonan Fahrin Ahmad dan Syarifah Amani cukup berkesan dan mampu menyampaikan nilai-nilai penting yang patut dijadikan iktibar kepada pasangan muda yang ingin membina keluarga sendiri. Bukan sudah berkahwin, apabila berlaku masalah dalaman, salah seorang pasangan pula mengungkapkan ayat TERIMA LAH SAYA SEADANYA. Kalau begini penyelesaiannya, sampai bila-bila rumah tangga tersebut tidak dapat dibina dengan asas yang kukuh. Tidak pandai memasak. Tidak pandai mengemas. Tidak pandai melipat kain baju. TERIMALAH SAYA SEADANYA.  Jika begini keadaannya, sudah mestinya salah seorang akan makan hati dan menyesal dengan hubungan yang dibina seterusnya menyebabkan berantakan di kesudahannya. Maka, perbaiki lah diri. Lengkapkan diri atas kekurangan yang ada. Bukan hanya menyerah begitu sahaja. Kini, pelbagai sumber boleh diperolehi dengan mudah untuk belajar dan dijadikan sebagai rujukan. Sama ada mahu atau tidak sahaja lagi.

Segelintir orang muda ingin berkahwin cepat kerana tidak mengawal gelora nafsu. Maka, jalan penyelesaiannya adalah perkahwinan. Tetapi mereka tidak memikirkan ia secara mendalam dan berpandangan lebih jauh. Perkahwinan bukan dibina hanya dalam 2-3 tahun sahaja. Sebaliknya, ia perlu dibajai dan disuburi dengan persefahaman dan kasih sayang yang berkekalan hingga ke akhir hayat. Ada pasangan yang baharu, baru beberapa tahun sudah menyatakan kebosanan dan kejemuan serta rindu kepada kehidupan bujang semula. Jika perasaan sebegini masih berdaki dalam diri seseorang, maksudnya perkahwinan itu hanya dibina atas landasan nafsu semata-mata.

Melalui drama ini juga, mengingatkan saya kepada sebuah buku bertajuk Aku Terima Nikahnya yang ditulis oleh seorang pendakwah yang kini semakin dikenali iaitu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Beliau lebih popular dengan laman sesawangnya Saifulislam.com.  Seterusnya, pada tahun lepas beliau melancarkan buku sambungannya yang bertajuk Bercinta Sampai ke Syurga. Bagi saya, setiap pasangan muda yang ingin membina rumah tangga dalam tempoh awal khususnya kepada lepasan IPT digalakkan membaca karya ini kerana ia memuatkan banyak kisah dan pengalaman sebenar yang mesti dilalui oleh setiap pasangan ketika melayari rumah tangga mereka. Banyak kesedaran dan motivasi yang dapat dijadikan sebagai panduan dan peringatan bahawa perkahwinan itu bukan sekadar keseronokan semata-mata sebaliknya ia memerlukan pengorbanan yang sangat besar demi kemaslahatan keluarga. Dan persediaan itu juga harus terdiri daripada persediaan fizikal, mental dan emosi yang kukuh.

Maka, pasangan yang mempunyai niat untuk melangsungkan pernikahan perlu muhasabah diri dengan sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan. Tetapi, bagi yang sudah betul-betul bersedia ingin melakukan pergorbanan dan sudah pun berazam dengan menanam keinginan menjadi seorang suami dan isteri yang soleh mahupun solehah, pemimpin keluarga yang bertanggung jawab, laksanakan lah dan jangan bertangguh-tangguh.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.